VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 April 2014 / 20 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 13/06/2007

Aksesori pakaian tradisional, warisan unik


KEBAYA songket terus menjadi kegemaran bakal pengantin dan ke majlis-majlis adat istiadat.


RUTIN menghias diri di kalangan wanita mahupun lelaki sejak dulu lagi membuktikan pemakaian aksesori bukan sekadar menyerlahkan gaya tetapi melengkapkan penampilan.

Dahulu pemakaian aksesori seperti kerongsang, do-koh, subang, cucuk sanggul, rantai tangan, rantai, gelang lengan dan gelang kaki yang dikenakan pada baju kebaya atau kurung menjadi simbol status si pemakai.

Aksesori daripada emas dan perak ini sebenarnya sudah popular sejak dahulu lagi.

Barang kemas sentiasa menjadi pilihan untuk tampil lebih anggun.

Apa yang menarik tentang rekaan aksesori zaman dahulu ialah buatannya yang halus hasil pertukangan tangan.

Begitu juga dengan motif yang sering kali yang berasaskan alam semula jadi terutamanya flora dan fauna.

Keindahan itu juga memperlihatkan keistimewaan aksesori antik masyarakat Melayu.

Wanita yang tampil serba-serbi lengkap juga lazimnya dianggap datang dari golongan bangsawan atau kerabat diraja untuk menampakkan ketinggian darjat atau martabat mereka.

Aksesori tersebut juga hanya dipakai pada majlis-majlis tertentu atau dijadikan hiasan pengantin perempuan pada majlis perkahwinan.

Seiring dengan peredaran zaman aksesori lama seperti itu mula dilupakan. Generasi muda kini lebih gemar dengan aksesori yang diperbuat daripada manik, mutiara, batu-batu permata dan sebagainya.

Begitupun, kini terdapat usaha untuk mengenengahkan kembali aksesori asli dahulu kala agar tidak hilang ditelan zaman tetapi diberi nafas baru dengan penggunaan material yang mudah digabungkan, cantik dan tidak terlalu berat.

Menyusuri sejarah aksesori pakaian Melayu, pakaian tradisional biasanya dilengkapi dengan pelbagai aksesori sama ada bagi tujuan tertentu mahupun untuk kecantikan diri.

Perhiasan-perhiasan ini semuanya adalah hasil seni pertukangan yang halus sebagai sebahagian dari warisan kebudayaan Melayu. Ia melambangkan kepekaan pemikiran, perasaan dan kreativiti yang merangkumi jiwa dan nurani bangsa itu.

Baju Melayu lelaki dan baju kurung wanita yang mempunyai leher bulat dengan belah di bahagian hadapan (baju kurung Teluk Belanga) di semat dengan butang kecil emas berbentuk bulat atau segi empat.

Baju kurung cekak musang berkolar tinggi mempunyai dua butang pada bahagian leher dan tiga atau lima butang pada bahagian dada.

Baju kebaya labuh pula dikenakan dengan satu set iaitu tiga kerongsang, ibu dan anak kerongsang.

Yang besar dan berbentuk hampir menyerupai hati ialah ibu dan yang kecil dan bulat ialah anak.

Sampin lelaki pula dikemaskan dengan tali pinggang emas atau perak lengkap dengan pending. Keris iaitu senjata Melayu pula disisipkan dalam samping atau bengkong terletak di sisi.

Kebanyakan wanita Melayu berada, merapikan sanggul rambut mereka dengan memakai cucuk sanggul emas atau perak.

Kebiasaannya cuma satu atau dua cucuk sanggul digunakan, tetapi bagi menyambut sesuatu perayaan mereka menggunakan set dalam bilangan tiga, lima dan tujuh.

Gelang tangan dan gelang kaki lazimnya dipakai sepasang dan ditempa dari emas keping corak timbul.

Selainnya ialah bekas tembakau hidu dan minyak wangi diperbuat dari wayar emas yang berkerawang serta bekas tembakau (celapa) emas bertatahkan batu permata yang digantung ke pinggang dengan rantai.

Selain dari menghias diri, barang kemas turut dipakai untuk mempamerkan kekayaan pemakainya sesuai dengan keunggulan sesuatu busana itu.

INFO

*Pakaian Puteri Riau Pahang berkonsepkan kain songket kebaya labuh sarat benang emas dipadan baju Melayu tanjak dan samping seiring.

*Baju Riau Pahang lazimnya mempunyai tujuh atau sembilan butir butang yang diletakkan pada bahagian hadapan baju. Lubang butang ini ditindih dari kanan ke kiri dan dibiarkan terbuka dari bahagian perut ke bawah.

*Baju panjang Bunda Kandung, Ratu Alam Minangkabau, Negeri Sembilan menampilkan kain sarung sutera emas penuh berkaca, tengkolok gonjong lambang rumah adat, dipadankan baju Datuk Penghulu Adat berbaju hitam baldu Parsi dipadan seluar gadang berhias bunga tabur logam.

*Kebaya kurung mengetengahkan songket cekak musang corak catur dipadan cucuk sanggul cantik tersusun.

*Baju Cik Puan Besar Selangor daripada songket hijau sutera dewangga biasanya dipadan segak dengan Baju Putera Bugis berseluar baldu Parsi dilengkapi destar.

*Kebaya dan kurung pada zaman dahulu berhubung rapat dengan songket yang diserikan dengan perhiasan cucuk sanggul, gelang tangan dan kaki, dokoh atau rantai panjang bertingkat serta tidak ketinggalan pending atau kepala tali pinggang.

*Dokoh; Loket yang berupa kepingan yang lebar daripada emas dan berhias dengan batu permata di tengahnya (biasanya berbentuk bulat bagi lelaki dan menyerupai bulan sabit bagi perempuan).

*Pending; Perhiasan pada dada atau tali pinggang yang dibuat daripada emas (perak) dan berkerawang.

*Sampin; Kain sarung yang dipakai selepas dipakai seluar (pada pakaian Melayu) dan biasanya dari pinggang hingga ke pasar lutut.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.