|
![]() |
|
Pintu kunci air dan terusannya yang kini dalam pembinaan akan mengawal dan mengalirkan air ke kolam Jinjang apabila berlaku hujan lebat di ibu negara. |
KUALA LUMPUR 12 Jun – Semua projek tebatan banjir di Lembah Klang yang diarahkan disiapkan segera bagi mengatasi masalah banjir kilat di ibu negara perlu melalui beberapa peringkat pembinaan sebelum ia dapat berfungsi sepenuhnya.
Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Paduka Ir. Keizrul Abdullah berkata, kesemua projek berkenaan tertakluk kepada jadual pembinaan yang telah ditetapkan.
Sebagai contoh, katanya, projek kolam takungan banjir (KTB) di Batu dan Jinjang di sini hanya boleh digunakan pada Januari tahun depan.
‘‘Begitu juga dengan projek KTB Sri Johor di Cheras. Projek ini dijangka siap pada Julai 2008. Bagi KTB Sungai Damansara, projek ini hanya boleh digunakan pada Ogos 2009.
“Secara umumnya kesemua projek tebatan banjir yang telah dirancang di Kuala Lumpur akan siap sepenuhnya menjelang 2009,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan projek-projek tebatan banjir JPS selain projek Terowong Jalan dan Pengurusan Air Banjir (SMART) antara Jalan Ampang dan Jalan Sungai Besi di sini.
Dalam kejadian banjir di ibu negara Ahad lalu, beberapa kawasan seperti Dataran Merdeka, Jalan Masjid India, Jalan Ipoh, Kampung Baru dan Sentul ditenggelami air sehingga paras pinggang.
Kejadian itu disifatkan sebagai yang terburuk sejak 2003. Akibat bencana itu, penduduk di kawasan berkenaan mengalami kemusnahan harta benda.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika melawat kawasan kejadian semalam mengarahkan semua projek tebatan banjir di ibu kota diberi keutamaan dan dipercepatkan bagi mencegah berulangnya banjir kilat.
Mengulas lanjut, Keizrul berkata, terowong banjir SMART sepanjang 9.7 kilometer tidak mampu untuk menangani masalah banjir di ibu negara. Terowong dwifungsi bernilai RM1.9 bilion itu memerlukan komponen-komponen lain bagi menyokong fungsinya mengelakkan banjir di ibu kota.
“Semua projek tebatan yang sedang dibina ini merupakan komponen yang saling melengkapi dalam usaha JPS menangani masalah banjir kilat dengan lebih berkesan,’’ jelasnya.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|