VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 Julai 2014 / 25 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
POLIS & TENTERA

ARKIB : 07/06/2007

Che Ilias sanjung pengorbanan rakan seperjuangan


MEMORI...Che Ilias bersama rakan-rakan semasa menjalani latihan di Fort Khemer.


Pertama kali bersua dengan insan bernama Che Ilias Che Mat, 56, pasti ramai yang menyangka beliau seorang yang serius dan garang.

Namun sebaik sahaja beliau membuka mulut ternyata tekaan tersebut silap kerana beliau sebenarnya seorang yang ramah dan sangat suka bercakap serta sering memberi motivasi kepada orang lain.

Sepanjang dua jam bersama beliau, bibirnya tidak lekang bercerita tentang kenangan-kenangan sewaktu bersama rakan-rakan seperjuangan di medan pertempuran.

Pujian demi pujian yang diluahkannya menunjukkan beliau seorang yang sangat menghargai rakan-rakannya.

Malah, cerita mengenai detik-detik beliau sewaktu bersama rakan-rakan yang terbit dari bibir sungguh lancar dan cepat sekali.

Namun, apabila pertanyaan mengenai lipatan sejarah silam serta cerita duka dalam kerjayanya diajukan, riak wajah bekas pesara polis ini segera berubah.

Menurutnya, sepanjang lebih 37 tahun berkhidmat sebagai anggota polis, kerjaya tersebut banyak mengajar beliau erti sebuah kehidupan sebenar yang tidak dapat diungkapkan.

“Pelbagai peristiwa yang tidak ternilai dapat saya rasai sepanjang saya berkhidmat dalam pasukan polis.

“Antaranya ialah peristiwa sewaktu menyertai beberapa operasi-operasi besar yang sejarahnya tidak mungkin akan dapat diulang atau dibeli,’’ ujarnya.

Menurut beliau, antara operasi yang disertainya ialah Ops Beruang pada tahun 1978.

Waktu itu, beliau mengetuai Patrol 37 dalam pertempuran tersebut dan berjaya bunuh sepasang pengganas.

Namun, menurutnya salah satu operasi yang tidak dapat beliau lupakan ialah sewaktu membantu pasukan yang diketuai oleh Asisten Supritendan (ASP) Zamri Ishak dalam Ops Bamboo pada tahun 1975.

“Waktu itu, saya dalam kumpulan bantuan (polis hutan), sebaik sahaja dapat tahu Zamri cedera, lalu pasukan saya yang disertai oleh 6 anggota yang diketuai oleh ACP Ishak Yahya dihantar untuk berikan bantuan kepada Zamri.

“Apabila sampai di tempat pertempuran, saya melihat Zamri berada dalam keadaan kritikal kerana sebelah kakinya telah putus akibat terkena jerangkap samar.

“Pasukan saya terus memberikan bantuan untuk membawanya ke luar bagi dapatkan rawatan, bagaimanapun beliau meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan pada 3 Ogos 1975,’’ katanya sebak.

Walau bagaimanapun, kejadian itu tidak pernah melunturkan semangat beliau malah terus menjadi pembakar semangat untuk menjejaki pengganas.

Katanya, beliau pernah menjejaki pengganas hingga ke Genting Langsat di sempadan Thailand, bagaimanapun disebabkan persahabatan dengan negara tersebut mereka berundur untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Menyingkap rentetan penglibatan beliau dalam kerjaya, anak jati kelahiran Alor Star, Kedah ini berkata, semangatnya untuk menyertai pasukan polis tercetusnya ekoran peristiwa 13 Mei pada tahun 1969.

Impian tersebut menjadi kenyataan apabila beliau terdengar pengumuman pengambilan anggota polis baru melalui van penerangan atau petrol car ketika sedang membantu ayahnya berniaga di Pekan Rabu.

Lantas beliau segera Ke Balai Polis Alor Star untuk menghadiri temuduga.

Setelah melepasi pelbagai ujian, permohonan beliau diterima dan beliau mula menjalani latihan di Ulu Kinta pada 8 Jun 1969 dan berjaya menamatkan latihan tersebut dengan jayanya.

“Kemudian 10 Oktober 1969, saya diserap menjadi rekrut sebelum ditukarkan ke Batalion 11, Pasukan Polis Hutan (PPH) di Pangkalan Chepa, Kelantan,’’ katanya.

Sewaktu dalam PPH, beliau menawarkan diri untuk memasuki unit khas dan kemudian menjalani latihan di Fort Khemer di Kelantan selama enam bulan dan sejurus tamat latihan Che Ilias memulakan kerjaya sebagai seorang komander.

Menurutnya, beliau memegang jawatan tersebut hinggalah ditukarkan ke Balai Polis Pasir Putih, Ipoh, Perak pada 1 Februari 1989 hingga tahun 1991.

“Di sana saya ditugaskan sebagai Ketua Polis Balai (OCS) sebelum bertukar ke Balai Polis Pekan Baru, Ipoh, Perak pada tahun 1994 dan untuk jawatan yang sama.

“Saya hanya sempat memegang jawatan tersebut setahun sahaja kerana selepas itu, saya ditugaskan sebagai OCS dan Pegawai Tatatertib di Balai Polis Jelapang, Ipoh, Perak pada tahun 1995 hingga 1997,’’ ujar beliau.

Segala ranjau dan penat-lelah yang dilalui beliau turut dihargai apabila dianugerahkan Pingat Pangkuan Negara (PPN) tahun 1999, Bintang Kebesaran Polis Bintara Pasukan Polis (BPP) tahun 2001 dan Pingat Jasa Bakti Perak 2005 dan Pingat Sultan Azlan Shah.

Beliau yang bersara pada Disember lalu, berhasrat menghabiskan masa serta melakukan aktiviti yang digemarinya bersama isteri tercinta, Siti Fatimah Sahid, 54, yang dikahwini pada 18 Disember 1977.

Kehidupan yang dilalui bersama isteri diserikan dengan kehadiran lima orang cahayamata iaitu empat puteri dan seorang putera.

Mengakhiri pertemuan petang itu, beliau sempat menasihati anggota-anggota PDRM supaya berkhidmat dengan penuh dedikasi, ikhlas dan jujur serta mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pucuk pimpinan.

Selain itu, beliau menyenangi kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh pasukan polis dan amat benci mendengar keterlibatan anggota pasukan itu dengan sebarang aktiviti salah laku.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.