SASTERA

ARKIB : 07/06/2007
Sastera Nusantara belum layak terima Anugerah Nobel?

Sastera Nusantara belum layak terima Anugerah Nobel?

Bersama: AZMAN ISMAIL (adik1102@yahoo.com)
HARI ini akan berlangsung satu forum khas bertajuk Hadiah Nobel, Kreativiti dan Sasterawan Nusantara. Majlis akan berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Panel terdiri daripada Prof. Chambert-Loir (Perancis), Datuk A. Samad Said (Malaysia) dan Prof. Dr. Budi Darma (Indonesia). Ia akan dipengerusikan oleh penyair Datuk Ahmad Kamal Abdullah (Kemala.)

Persoalan pokok yang akan dibincangkan ialah masa depan sastera Nusantara dengan fokus khusus mengenai pencapaian tertinggi dalam kesusasteraan dunia iaitu Anugerah Nobel.

Antara lain intipati forum itu akan melihat kenapa sastera Asia Tenggara masih gagal untuk mendapat tempat sebaris dengan negara-negara Barat dan Amerika Latin.

Sebenarnya kita tidak tahu kenapa belum pernah ada penulis Asia Tenggara yang mampu meraih anugerah berprestij tersebut. Adakah wujud diskriminasi di kalangan jawatankuasa Anugerah Nobel? Atau karya kita sendiri tidak layak?

Penulis besar Indonesia, Pramoedya Ananta Toer dalam satu wawancara dengan saya pada 2002 di rumahnya di Bogor melontarkan pendapat yang agak sinis.

‘‘Bukan sastera kita (Nusantara) tidak kuat tetapi birokrasi dan orang yang ada di sekitar kita lebih kuat untuk tidak menyokong atau menolak calon bagi Anugerah Nobel.

‘‘Selagi wujud pertembungan tidak langsung ini, jangan fikir kita boleh meraih anugerah (Nobel) walaupun ia bukan ukuran kekuatan sebenar seseorang penulis,’’ katanya.

Lalu, apa yang dimaksudkan dengan birokrasi dan orang berada di sekitar sastera itu sendiri. Mungkin Pramoedya mengambil contohnya beliau secara peribadi.

Pramoedya dicalonkan sebagai penerima Anugerah Nobel sejak penghujung 1980 selepas beberapa tahun dibebaskan dari Pulau Buru. Namun, ‘dosa-dosa’ beliau sebagai ketua dalam Lembaga Kebudayaan Rakyat (Lekra), bahagian kebudayaan dalam Parti Komunis Indonesia (PKI) tidak dilupakan oleh khalayak dan pengarang sastera negara itu.

Beliau tidak pernah mendapat sokongan, malah pencalonannya turut dibantah oleh penulis-penulis Indonesia sendiri. Akhirnya, Pramoedya hanya tercatat sebagai calon hingga akhir hayatnya pada 30 April tahun lalu.

Sebenarnya Anugerah Nobel itu sendiri merupakan satu institusi yang aneh. Kita tidak tahu kriteria seperti apa yang melayakkan seseorang untuk menerimanya.

Misalnya pada 1953, bekas Perdana Menteri Britain, Winston Churchill menerima Anugerah Nobel Kesusasteraan. Sesuatu yang menimbulkan perdebatan serta pertanyaan. Apa sebenarnya sumbangan beliau kepada kesusasteraan dunia?

Kalau ideologi khususnya komunisme seseorang penulis dijadikan alasan untuk ditolak pencalonan, ia turut menimbulkan perdebatan.

Kita pasti mempertanyakan siapa sebenarnya Dario Fo (1997) dan Jose Saramago yang menerimanya pada 1998. Kedua-duanya adalah penganut Marxisme dan juga orang kuat dalam Parti Komunis Portugal dan Parti Komunis Itali. Begitu juga Gabriel Garcia Marquez (1982). Tidakkah beliau juga seorang pengkagum Marx?

Selain itu, kita juga boleh mempertanyakan dimanakah kekuatan novel-novel Saramago atau naskhah-naskhah drama Fo yang berbau kritikan keras terhadap Injil dan Kristian.

Beberapa novel Saramago seperti ‘The Death Year of Richardo Reis, The Gospel of Jesus Christ dan terbaru Blindness tidak menampilkan kekuatan seperti membaca karya-karya Pramoedya atau beberapa tulisan penulis besar Malaysia.

Blindness misalnya hanya sebuah kritikan terhadap kepincangan politik dan struktur pentadbiran negara-negara Eropah khususnya Portugal sendiri.

Tidak lebih daripada itu. Plot yang diutarakan oleh Saramago juga mendatar dan konvensional. Bahasa dan diksi juga tidak menampilkan sebarang kekuatan yang memukau.

Malah, kita tidak menemukan ‘getaran’ emosi ketika membaca sebagaimana yang ditemukan dalam karya penulis Asia yang pernah menerima Anugerah Nobel seperti Yasunari Kawabata (1968), Kenzaburo Oe (1994) atau Gao Xinjian (2000).

Jauh sama sekali untuk menemukan suatu persoalan tentang kemanusiaan dan persoalan budaya yang benar-benar kuat seperti mana kita membaca Salina (A. Samad Said), Soul Mountain (Gao Xinjiang), Ranjau Sepanjang Jalan (Shahnon Ahmad) atau Bukan Pasar Malam (Pramoedya Ananta Toer).

Namun, kita tetap gagal mencari jawaban tentang kemampuan sastera kita. Kenapa sastera Nusantara atau Asia Tenggara seolah-olah hanya buih-buih kecil di tengah gelora laut dan kemudian hilang dibawa ombak.

Tidakkah ada usaha daripada pelbagai pihak untuk mempromosi sastera Nusantara ke peringkat yang lebih jauh? Kadang-kadang kita terlalu merindui untuk melihat penulis rantau tercatat sebagai penerima Anugerah Nobel sejak ia diwujudkan pada 1901.

IKLAN@UTUSAN
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:14
Asar 4:16
Maghrib 7:17
Isyak 8:26
 
IKLAN@UTUSAN


IKLAN@UTUSAN
BANCIAN
IKLAN@UTUSAN
Untitled Document
IKLAN@UTUSAN
Untitled Document
Utusan Online on Facebook