|
PERHIMPUNAN aman yang melibatkan kira-kira 2,000 orang penduduk wilayah selatan Thai di salah sebuah masjid di wilayah Pattani baru-baru ini memberi isyarat cukup jelas kepada pihak berkuasa di Bangkok secara amnya dan buat dunia khususnya.
Ia menunjukkan bahawa para penduduk terbabit tidak sanggup lagi menanggung penderitaan dan kesengsaraan akibat perlaksanaan undang-undang darurat yang diterapkan sejak tahun 2005.
Setelah hampir lima hari berkumpul, kesemua penunjuk perasaan itu akhirnya bersurai setelah pihak kerajaan berjanji akan menubuhkan 50 orang jawatankuasa suruhanjaya siasatan untuk menyiasat kezaliman yang berlaku di wilayah mereka.
Setelah hampir dua tahun undang-undang tersebut dilaksanakan, pihak tentera masih gagal mengekang keganasan-keganasan yang berlaku. Usaha yang dilakukan itu tidak keterlaluan dikatakan bahawa ia tidak membantu mengurangkan indeks keganasan di situ, yang berlaku hampir saban hari.
Bahkan amat malang sekali kerana jumlah keganasan semakin meningkat sejak rampasan kuasa tentera pada bulan September tahun lepas yang menyaksikan Perdana Menteri sebelumnya, Thaksin Shinawatra digulingkan.
Kelengahan kerajaan sementara pimpinan Perdana Menteri Surayud Chulanont menangani krisis di wilayah selatan mungkin akan memakan dirinya sendiri. Ini adalah kerana, pada ketika ini telah terdapat pakatan di kalangan tentera untuk menjatuhkan beliau.
Namun beliau masih terselamat kerana buat masa ini ketua junta tentera Thai, Jeneral Sonthi Boonyaratglin masih setia menyokong beliau. Tetapi, tidak mustahil itu akan berubah. Dan pada ketika itu, kemungkinan Thailand terjerumus ke dalam anarki tidak boleh dielak sama sekali.
Dalam hal ini, ada sebilangan penganalisis berpandangan bahawa ketidaktentuan politik di selatan dikhuatiri menjadi sengketa etnik jika tiada langkah drastik dilakukan pihak kerajaan.
Sementara itu, kerajaan pimpinan Surayud juga dilihat semakin hilang kewibawaan. Hampir setiap hari akan berlaku kejadian keganasan. Sama ada letupan bom atau kejadian serangan tembakan. Lebih memburukkan keadaan, tiada siapa yang benar-benar dapat memastikan dalang di sebalik semua keganasan itu. Di dalam sesetengah kejadian, persoalan timbul mengapa Surayud enggan memberikan sebarang ulasannya.
Di dalam hampir semua kejadian keganasan, pihak tentera akan mengatakan ia adalah angkara pejuang pemisah Islam. Maknanya, semua kejadian keganasan yang dicetuskan oleh insiden serangan di kem tentera di Narathiwat pada 4 Januari 2003 adalah angkara pejuang pemisah. Jangan dilupakan bahawa ada pihak-pihak tertentu boleh mengambil kesempatan dengan menangguk di air keruh di atas konflik yang berlarutan sejak sekian lama ini.
Jangan dilupakan juga bahawa pada satu masa sebelum tentera dan askar pernah bersengketa selain Thailand turut ada masalah perbalahan di antara kumpulan-kumpulan yang terlibat dengan dadah. Ini juga sudah pasti menyumbang kepada keganasan atau tindak balas jika mereka kurang berpuas hati di antara satu sama lain.
Walaupun terdapat bukti-bukti yang menunjukkan kebanyakan serangan bom dilakukan oleh pejuang pemisah Islam, tetapi di dalam kebanyakan kes tembakan rambang, para penganalisis melihat terdapat penglibatan tentera.
Bebas
Di bawah undang-undang darurat, tentera bebas melakukan apa sahaja ke atas para penduduk. Buktinya, pada 18 Mac lalu, seramai 24 orang rakyat Thailand dari wilayah Narathiwat melarikan diri ke sempadan Malaysia sambil mengadu kepada wartawan tempatan bahawa mereka dan keluarga mereka telah dizalimi oleh pihak tentera.
Sonthi, yang juga ketua Majlis Keselamatan Kebangsaan dan beragama Islam pada awalnya diharapkan dapat mengembalikan keamanan di wilayah tersebut, tetapi beliau juga dilihat semakin hilang arah atau tersasar. Ini adalah kerana corak serangan letupan bom yang berlaku sukar untuk dijangka.
Menurut salah seorang guru yang berasal dari wilayah Pattani, peningkatan keganasan yang berlaku sebenarnya telah pun dijangka oleh pihak tentera. Tidak hairanlah Surayud tetap menambah bilangan askar di ketiga-tiga wilayah yang bergolak itu walaupun keadaan di Bangkok tidak menentu. Pada ketika ini, tentera dapat dilihat hampir di merata tempat di Narathiwat, Pattani dan Hatyai.
Guru yang enggan dikenali itu mengakui bahawa perkara yang menjadi kebimbangannya ialah keselamatan keluarganya dan para penduduk kampung.
Menurutnya lagi, tindakan pihak tentera yang melepaskan tembakan rambang telah kerap kali membunuh orang-orang kampung yang tidak berdosa.
‘‘Pernah ada satu kes, seorang kanak-kanak yang sedang nyenyak tidur mati kerana terkena tembakan rambang tersebut. Tembakan rambang yang dihalakan ke rumah-rumah penduduk biasanya akan menembusi dinding papan dan kadang-kadang mengenai penghuni di dalamnya,’’ ujar guru terbabit.
Dalam pada itu, daripada sumber penduduk tempatan pula, kematian 21 orang tentera di dalam masa yang singkat baru-baru ini adalah balasan akibat tindakan zalim mereka ke atas beberapa orang penduduk kampung.
Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, perlaksanaan undang-undang darurat seolah-seolah telah ‘mengizinkan’ tentera menubuhkan mahkamah siasatan mereka sendiri dan membenarkan tahanan diseksa.
Kerajaan Surayud perlu bertindak segera dengan menyiasat kezaliman yang dilakukan oleh pihak tentera dan membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan untuk dibicarakan. Walaupun tidak semua kehendak umat Islam di wilayah selatan dapat dipenuhi, sekurang-kurangnya kezaliman kemanusiaan yang dilakukan ke atas mereka dapat dibela dengan sewajarnya.
- TAIFUNISYAM TAIB ialah pensyarah Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
IKLAN@UTUSAN
|