Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 07/06/2007
IJN bedah pesakit hiperhidrosis termuda

IJN bedah pesakit hiperhidrosis termuda

KUALA LUMPUR 6 Jun – Institut Jantung Negara (IJN) hari ini melakukan pembedahan memotong saraf simpatetik melalui endoskopi toraks (ETS) ke atas pesakit peluh berlebihan (hiperhidrosis) paling mudanya, Tan Juin Hong, 13.

Selain Juin Hong, IJN juga sudah melakukan pembedahan yang sama ke atas sepupu pelajar tingkatan satu dari Port Dickson, Negeri Sembilan itu, Wong Wei Chein, 22, semalam.

Menurut Pakar Runding dan Bedah Kardiotorasik IJN, Dr. Jeswant Dillon, keduadua sepupu itu mengalami masalah peluh berlebihan di tangan dan kaki yang lebih dikenali sebagai hiperhidrosis.

Katanya, masih ramai yang tidak mengetahui masalah tersebut boleh dirawat melalui pembedahan kecil dan IJN mempunyai kepakaran untuk melakukan pembedahan tersebut.

‘‘Masalah tersebut dapat dirawat dengan pembedahan memotong saraf simpatetik pesakit yang akan menghalang rangsangan berlebihan kepada kelenjar peluh di tangan dan kaki.

‘‘Walaupun IJN pusat rujukan dan rawatan jantung, masih ramai tidak menyedari (termasuk doktor lain) bahawa pelbagai rawatan lain yang melibatkan pembedahan pada dada pesakit turut dilakukan di sini.

‘‘Kami juga pernah membuat pembedahan ETS ke atas seorang pesakit berusia 62 tahun bulan lalu yang turut mengalami masalah hiperhidrosis,” katanya ketika ditemui media sebelum pembedahan tersebut dijalankan di sini hari ini.

Kata beliau, kebanyakan pesakit terpaksa hidup dengan masalah tersebut memandangkan mereka tidak tahu mengenai cara rawatan tersebut kerana agak baru dan kurang pendedahan di kalangan doktor.

Tambahnya, pembedahan itu mudah dan cepat, malah pesakit boleh pulang selepas 24 jam dibedah.

Katanya, ia sesuai dilakukan bagi pesakit yang hidup sehariannya (belajar atau bekerja) terganggu akibat keadaan peluh berlebihan itu.

Hiperhidrosis adalah masalah peluh berlebihan yang boleh menyerang semua peringkat usia dan jantina tetapi lebih kerap berlaku pada golongan berusia antara 25 dan 50 tahun.

Penyakit ini dikesan melalui anggota badan pesakit terutama muka, tangan, ketiak dan kaki yang berpeluh secara berlebihan akibat stimulasi saraf yang berlebihan ke atas kelenjar peluh.

Punca penyakit ini masih samar tetapi separuh daripadanya mungkin melibatkan faktor genetik manakala selebihnya akibat kesan sampingan penyakit lain seperti hipertiroid dan kencing manis.

Dianggarkan tiga peratus (800,000) rakyat pelbagai usia di negara ini mengalami masalah hiperhidrosis dan kebanyakan daripada mereka masih tidak mengetahui cara rawatan yang sesuai.

IJN yang memulakan program pembedahan ETS empat tahun lalu juga telah menerima lebih 150 pesakit hiperhidrosis di samping lebih 200 pesakit lain yang menjalani pembedahan serupa untuk masalah jantung dan paru-paru.

Sementara itu, Juin Hong yang ditemui sebelum pembedahannya menyatakan dia memilih untuk menjalani pembedahan kerana masalah peluh berlebihan pada tangan dan kakinya mengganggu pembelajaran di sekolah.

‘‘Masalah ini (hiperhidrosis) bermula lebih lima tahun lalu semasa saya masih di sekolah rendah. Akibat tangan sering berpeluh, buku saya juga basah dan comot sehingga menyukarkan saya belajar.

‘‘Saya juga terpaksa sentiasa membawa sapu tangan supaya dapat mengeringkan tangan sebelum bersalam, menulis atau memegang barang,” ujarnya.

Menurut Juin Hong, ibunya, Cheok Guat Ling, 39, yang mencadangkan pembedahan ETS itu selepas membaca mengenai rawatan hiperhidrosis di dalam sebuah akhbar.

Jelasnya, walaupun berasa takut, dia bersetuju untuk dibedah berikutan berasa tidak selesa mempunyai tangan dan kaki yang sering basah dan mengotorkan buku latihan serta lantai di rumahnya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN