VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 Julai 2014 / 26 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
MUKA HADAPAN

ARKIB : 31/05/2007

Rayuan Lina Joy ditolak -- Mahkamah Persekutuan putuskan perkataan Islam kekal dalam MyKad


ORANG ramai berkumpul di pekarangan Palace of Justice menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai kes Lina Joy di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 30 Mei – Seorang wanita Melayu, Azlina Jailani atau Lina Joy yang mengaku murtad sejak 17 tahun lalu, gagal dalam usahanya untuk menggugurkan perkataan ‘Islam’ daripada MyKad setelah Mahkamah Persekutuan hari ini mengumumkan penghakiman secara majoriti 2-1 menolak rayuannya.

Mahkamah itu menegaskan bahawa Azlina, 43, yang menukar namanya kepada Lina Joy, perlu mendapat sijil Mahkamah Syariah yang mengesahkan dia tidak lagi menganut agama Islam sebelum Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) boleh menggugurkan perkataan Islam dalam MyKadnya itu.

Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Alauddin Mohd Sherif menolak rayuan tersebut, manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Richard Malanjum membenarkan permohonan itu.

Hakim Ahmad Fairuz berkata, JPN berhak mengenakan syarat kepada Lina Joy supaya mengemukakan sijil atau deklarasi atau perintah Mahkamah Syariah untuk mengesahkan dia murtad sebelum boleh menggugurkan perkataan ‘Islam’ daripada kad pengenalannya itu.

Hakim Malanjum pula berpendapat arahan JPN supaya Lina Joy mengemukakan sijil murtad dari Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan tidak munasabah kerana, walaupun jabatan itu tidak melakukan apa-apa kesalahan undang-undang, namun adalah mustahil bagi syarat itu dipatuhi.

Galeri awam penuh sesak dengan orang ramai termasuk wartawan tempatan dan asing untuk mendengar penghakiman bersejarah oleh Mahkamah Persekutuan hari ini berhubung tiga persoalan undang-undang yang dibangkitkan oleh Lina Joy.

Tiga persoalan itu ialah:

* Sama ada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhak dari segi undang-undang mengenakan peraturan bagi memadamkan perkataan ‘Islam’ daripada kad pengenalan iaitu meminta pemohon menunjukkan sijil atau deklarasi atau perintah Mahkamah Syariah yang menyatakan pemohon telah murtad.

* Sama ada JPN menterjemah dengan betul bidang kuasanya di bawah Peraturan Kebangsaan 1990 terutama Peraturan 4 dan 14 untuk mengenakan syarat berkenaan sedangkan ia tidak dinyatakan dalam peraturan tersebut.

* Sama ada kes rujukan iaitu Soon Singh diputuskan dengan betul walaupun ia mengguna pakai teori pelaksanaan bidang kuasa yang mengisytiharkan bahawa Mahkamah Sivil boleh mengekalkan bidang kuasa mereka dalam keadaan di mana bidang kuasa tidak dinyatakan kepada Mahkamah Syariah.

Hakim Ahmad Fairuz membacakan sebahagian daripada alasan penghakimannya setebal 42 muka surat yang turut dipersetujui oleh Hakim Alauddin.

Hakim Malanjum kemudian mengambil alih membentangkan alasan penghakimannya dalam prosiding yang berlangsung kira-kira sejam tujuh minit.

Dalam penghakimannya, Hakim Ahmad Fairuz berkata, JPN mempunyai justifikasi untuk mendapat pengesahan penguasa agama Islam bahawa Lina Joy telah murtad sebelum meluluskan permohonan wanita itu untuk memadamkan perkataan ‘Islam’ daripada kad pengenalannya.

Beliau berkata, jika JPN menerima pengakuan seseorang bahawa dia telah keluar agama Islam berasaskan perisytiharan pemohon semata-mata, maka JPN mengambil risiko apabila menyatakan dia sebagai bukan Muslim sedangkan mengikut undang-undang Islam, orang itu masih belum murtad.

‘‘Ini juga akan menyenangkan mereka yang dilahirkan dan dididik sebagai Muslim tetapi bersikap acuh tak acuh atau tidak peduli kepada agama Islam, untuk diklasifikasikan sebagai bukan Muslim hanya untuk mengelak daripada dihukum atas kesalahan-kesalahan di bawah undang-undang Islam.

‘‘Ini semua akan mengakibatkan celaan daripada masyarakat Muslim. Atas sebab ini, saya percaya, JPN mengguna pakai dasar bahawa perakuan bersumpah sahaja tidak cukup untuk membolehkan perkataan ‘Islam’ dipadamkan daripada kad pengenalan seseorang Muslim,” katanya.

Hakim Ahmad Fairuz berkata, ini kerana hal ehwal keluar dari agama Islam adalah suatu perkara yang berkaitan dengan undang-undang Islam.

Lina Joy merayu mengetepikan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan yang menghalangnya memadamkan perkataan ‘Islam’ daripada kad pengenalannya dengan alasan tindakannya keluar daripada Islam tidak mendapat pengesahan Mahkamah Syariah atau pihak berkuasa Islam lain.

Wanita itu bertindak mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan setelah Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa sebagai orang Melayu yang beragama Islam seperti tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan, dia tidak boleh keluar daripada Islam (murtad) dan soal tindakan murtad itu perlu diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

Lina Joy menamakan tiga responden iaitu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), kerajaan Malaysia dan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (ketika itu), Datuk Wan Ibrahim Wan Ahmad.

Wanita itu diwakili peguam Datuk Dr. Cyrus V. Das, manakala peguam Sulaiman Abdullah mewakili MAIWP dan pihak kerajaan pula diwakili Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Azizah Nawawi dan Mohamad Nasir Disa.

Kes itu menarik minat masyarakat awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk yang bertindak sebagai peguam pemerhati antaranya Majlis Peguam yang diwakili Malik Imtiaz Sarwar dan Harris Ibrahim, Persatuan Peguam Muslim (Pawan Chik Marican), Meera Samanther mewakili Sisters In Islam dan Badan Tindakan Wanita Malaysia (AWAM).

Seorang lagi peguam Lina Joy, Benjamin Dawson, berkata pihaknya akan menimbang sama ada akan memfailkan semakan terhadap keputusan hari ini atau sebaliknya.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.