Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 29/05/2007
Peguam menipu ditahan -- Tangkapan pertama daripada senarai 25 suspek dikehendaki polis

Peguam menipu ditahan -- Tangkapan pertama daripada senarai 25 suspek dikehendaki polis

KUALA TERENGGANU 28 Mei – Tidak sampai 24 jam selepas media menyiarkan berita mengenai senarai 25 peguam yang dikehendaki oleh polis bagi membantu 217 kes pecah amanah, seorang daripadanya ditahan di Marang, dekat sini, malam tadi.

Lelaki berusia 40 tahun berasal dari Kangar, Perlis itu adalah peguam pertama daripada senarai tersebut yang berjaya diberkas polis setakat ini dan kini ditahan reman sehingga 4 Jun ini.

Dia ditahan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, diketuai Supritendan Adnan Abdullah hasil maklumat orang awam di sebuah pusat peranginan di Marang, pada pukul 10.45 malam.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner II Muhammad Fuad Taib dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini berkata, suspek dipercayai bersembunyi di Terengganu sejak dua tahun lepas.

“Dalam tempoh itu, lelaki tersebut menetap bersama isterinya di resort berkenaan yang disewa RM300 sebulan.

“Sepanjang berada di resort itu, dia dipercayai bekerja sebagai pekerja biasa di sebuah kilang kitar semula di sini,” katanya.

Menurut Muhammad Fuad, lelaki berkenaan ditahan reman selama lapan hari mulai hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

“Siasatan awal polis mendapati lelaki tersebut dikehendaki oleh polis bagi membantu siasatan satu kes pecah amanah di Kota Tinggi, Johor pada 2003,” tambahnya.

Semalam, akhbar-akhbar melaporkan JSJK Bukit Aman sedang mengesan 25 peguam bagi membantu siasatan 217 kes jenayah penyelewengan dan pecah amanah yang dilaporkan di seluruh negara.

Sejak 1995 hingga sekarang, polis menerima 249 aduan kes mengenai dakwaan kegiatan pecah amanah membabitkan peguam dan 32 daripadanya berjaya diselesaikan.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan memberitahu, daripada 25 nama yang dicari polis, hanya seorang saja yang masih menjadi peguam, manakala 24 orang tidak lagi menjadi pengamal undang-undang, malah telah menutup firma masing-masing.

Katanya, kebanyakan peguam yang sedang dikesan itu terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman tujuh tahun ke atas dan penyelewengan itu dilakukan kerana perniagaan yang hampir ‘gulung tikar’.

“Setakat hari ini, tiada seorang pun daripada mereka yang menghubungi Majlis Peguam, kita tidak akan menyembunyikan fakta dan melindungi mana-mana peguam yang didapati bersalah, malah sentiasa bekerjasama dengan polis bagi membantu siasatan.

“Ini bagi meyakinkan orang ramai bahawa Majlis Peguam merupakan badan profesional yang telus, malah menerusi Lembaga Tatatertib Peguam, ahli-ahli yang menyeleweng akan digantung lesen atau dilucutkan daripada senarai pengamal undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar khas di ibu negara, hari ini.

Tambah beliau, sejak 1981 hingga hari ini, 171 peguam digantung, 99 digantung sementara dan 233 dilucutkan daripada senarai pengamal undang-undang.

Dalam pada itu, menurut Ambiga, Majlis Peguam menerima tuntutan hampir RM44 juta daripada mangsa- mangsa pecah amanah oleh peguam dari 1998 hingga 2004 dengan 297 jumlah aduan keseluruhan, manakala 100 peguam dipecat.

Katanya, tuntutan tertinggi ialah RM20 juta pada 2004 dengan 120 aduan diterima dan pada tahun yang sama 29 peguam digantung, manakala 51 peguam dipecat.

Dalam tempoh sama, tambah beliau, pihak majlis terpaksa membayar pampasan berjumlah RM5.7 juta atau anggaran RM0.8 juta hingga RM1.2 juta setahun kepada mangsa-mangsa.

“Majlis Peguam tidak mampu membayar keseluruhan jumlah tuntutan, selalunya hanya 10 peratus daripada jumlah tersebut yang akan dibayar,” ujarnya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN