Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
KORPORAT

ARKIB : 24/05/2007
Ananda cari rakan kongsi bangunkan lagi Maxis

Ananda cari rakan kongsi bangunkan lagi Maxis

KUALA LUMPUR 23 Mei – Tokoh korporat T Ananda Krishnan melalui syarikat yang dikuasainya, Binariang GSM Sdn. Bhd. (Binariang) bercadang mencari rakan kongsi baru untuk memajukan lagi Maxis Communications Bhd. (Maxis)

Menurut sumber, langkah berkenaan merupakan cadangan awal yang dirancang untuk membolehkan Maxis meneroka bidang-bidang baru selain telekomunikasi.

‘‘Seperti mana yang diketahui umum, pada masa ini, Maxis merupakan syarikat telekomunikasi dan operator telefon, tetapi pada masa depan, mungkin ia akan terlibat dalam bidang-bidang baru seperti e-pembayaran, e-bank, e-transaksi dan televisyen atau lain-lain bidang yang belum diceburinya.

‘‘Pastinya, syarikat akan membangunkan syarikat usaha sama dengan syarikat tempatan dalam bidang-bidang berkenaan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata, langkah seperti itu telah berjaya dilakukan oleh syarikat tersebut di Indonesia dan India.

Selain itu, Binariang juga memberi jaminan tidak akan melaksanakan proses pemberhentian kerja kakitangan syarikat tersebut setelah mengambil alih Maxis.

Utusan Malaysia difahamkan terdapat kira-kira 2,000 kakitangan sedang berkhidmat dengan Maxis pada masa ini.

Menurut pekeliling tawaran pengambilan alih saham Maxis itu yang diperoleh lebih awal dan bakal mula diedarkan esok kepada pemegang-pemegang sahamnya, Binariang berkata, perkhidmatan dan sokongan kakitangan Maxis masih diperlukan untuk mengukuhkan lagi operasinya di negara ini.

Pekeliling itu turut menyatakan pendirian Binariang yang tidak akan membubarkan Maxis dan tetap meneruskan operasi serta perniagaan sedia ada.

Syarikat itu bagaimanapun akan melaksanakan perubahan ke atas struktur perniagaan Maxis dan mengkaji operasinya dari masa ke semasa sebagai usaha mengukuhkan kedudukannya dalam industri itu pada masa depan.

Pekeliling tawaran berkenaan menawarkan tawaran harga tunai kepada pemegang-pemegang sahamnya sebanyak RM15.60 sesaham.

Jelasnya, tawaran itu akan membolehkan Binariang mendapat persetujuan daripada para pemegang saham Maxis untuk membeli saham-saham yang mereka miliki kepada syarikat terbabit.

‘‘Tarikh tutup tawaran itu adalah pada 14 Jun ini dan Binariang yakin akan mendapat persetujuan yang baik iaitu hampir 90 peratus pemegang saham minoriti Maxis,’’ kata sumber.

Katanya, maklum balas daripada para pemegang saham minoriti adalah positif dan memberangsangkan selepas Ananda mengumumkan cadangannya itu pada 2 Mei lalu.

Beliau berkata, walaupun kelulusan itu hanya 90 peratus, proses nyah senarai Maxis dari Bursa Malaysia telap dilaksanakan, manakala kedudukan baki 10 peratus pemegang saham minoriti yang mungkin tidak bersetuju akan diserahkan kepada mahkamah untuk diputuskan.

Pemegang saham minoriti Maxis antaranya terdiri daripada syarikat milik kerajaan (GLC) seperti Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Khazanah Holdings Bhd, ValueCap Sdn. Bhd. (Valuecap) dan Misc GLIs yang memegang 18 peratus manakala empat peratus lagi di kalangan pelabur runcit.

Melalui proses tawaran itu, dijangkakan kesemua GLC berkenaan bakal menerima durian runtuh secara tunai berjumlah sehingga RM7 bilion ekoran pembelian saham-saham Maxis oleh tokoh korporat tersebut.

Ananda dijangka memperuntukkan sebanyak RM39.9 bilion untuk membeli semua saham yang belum dimilikinya dan merupakan antara pembelian balik (buyout) terbesar di rantau Asia Pasifik.

Menurut sumber, proses menjadikan Maxis sebagai syarikat persendirian itu sedang mengikut jadual yang ditetapkan.

Utusan Malaysia difahamkan, saham Maxis yang mula disenaraikan di Papan Utama pada bulan Julai, 2002 itu dijangka dinyah senarai daripada bursa tersebut sebelum akhir tahun ini.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN