|
PUTRAJAYA 23 Mei — Polis diminta mengambil tindakan terhadap ibu bapa atau waris yang cuai yang menyebabkan anak hilang bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berlaku lagi.
Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharom berkata, ini kerana mengikut rekod polis sejak 2003 hingga sekarang sejumlah 1,914 kanak-kanak dilaporkan hilang dan jumlahnya dijangka lebih besar kerana ada ibu bapa yang tidak melaporkan kehilangan anak mereka kepada polis.
Katanya, undang-undang sedia ada iaitu Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak mesti dikuatkuasakan yang mana ibu bapa atau waris yang cuai hingga menyebabkan anak hilang boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.
“Kita nak polis selepas ini, sekiranya ada ibu bapa yang terlibat dengan kes-kes cuai yang menyebabkan anak hilang, kita minta polis ambil tindakan terhadap mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembinaan pusat latihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) antara Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad serta Glomac Rawang Sdn Bhd di sini hari ini.
Beliau berkata, takrifan kanak-kanak di bawah akta tersebut ialah mereka yang berusia bawah 18 tahun.
Sambil merujuk kepada kes kehilangan Muhammad Nazrin atau Yin, lima tahun di kompleks membeli-belah Sogo pada 31 Mac lalu Johari berkata, sepatutnya tindakan diambil terhadap ibu bapa kerana cuai tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
“Sepatutnya tindakan diambil terhadap ibu bapa kerana cuai dan menyebabkan masalah kepada orang lain seperti masalah kepada polis, kita terpaksa membuat rondaan dan sebagainya untuk mengesan semula budak itu,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat perlu mengubah minda dengan menjaga anak masing-masing seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini tentang cara untuk menjaga dan mendidik anak.
Katanya, masalah sosial yang sedang dihadapi oleh kerajaan pada masa ini juga tidak akan berlaku seperti masalah penagihan dadah dan sebagainya, jika semua dapat menjaga anak masing-masing dengan baik.
Beliau berkata, setakat ini belum ada waris atau ibu bapa yang dikenakan tindakan di bawah akta tersebut dan mungkin undang-undang berkenaan tidak dikuatkuasakan.
Semasa ditanya mengenai kemungkinan ibu bapa tidak membuat laporan kepada polis mengenai kes kehilangan anak sekiranya undang-undang itu dikuatkuasakan, Johari berkata: “Terpulanglah kepada dia. Itu masalah dia. Kita nak buat macam mana.”
Sementara itu beliau berkata, projek pembinaan pusat latihan di Dengkil, Sepang itu akan menjalankan kursus dan latihan merangkumi program pencegahan, pemulihan, undang-undang dan pengurusan am kepada semua pegawai dan kakitangan AADK bertujuan melahirkan warga kerja yang profesional dan berintegriti.
Katanya, projek tersebut menelan belanja sebanyak RM25 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2010.-Bernama
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|