VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 April 2014 / 23 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
TERKINI

ARKIB : 21/05/2007

Gaji kakitangan awam naik antara 7.5 dan 35 peratus

PUTRAJAYA 21 Mei — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan kenaikan gaji bagi 1.02 juta kakitangan awam sehingga 35 peratus berkuatkuasa 1 Julai ini.

Kerajaan juga menaikkan kadar bantuan sara hidup atau COLA sebanyak 100 peratus.

Gaji pokok Kumpulan Sokongan 2 (iaitu Gred 1 hingga 16) dinaikkan 35 peratus, Kumpulan Sokongan 1 (iaitu dari Gred 17 hingga 40) dinaikkan 25 peratus, Kumpulan Pengurusan dan Profesional dinaikkan 15 peratus, dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi dinaikkan 7.5 peratus.

Kerajaan juga memutuskan untuk memberi kenaikan tambahan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebanyak 20 peratus di atas peratusan kenaikan gaji untuk semua anggota sektor awam yang diumumkan hari ini.

Pengumuman Perdana Menteri itu pada perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, disambut dengan tepukan gemuruh, dan di akhir ucapannya, Abdullah diberi penghormatan tepukan sambil berdiri oleh mereka yang hadir yang melaungkan “Hidup Pak Lah”.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, kenaikan gaji ini berjumlah RM3.4 bilion bagi tahun ini, ataupun, perbelanjaan tambahan sebanyak RM6.8 bilion setahun, manakala peningkatan kadar COLA melibatkan perbelanjaan tambahan RM600 juta bagi tahun ini atau RM1.2 bilion setahun.

Abdullah berkata, faktor pertama yang diambil kira dalam membuat pertimbangan kenaikan gaji sektor awam adalah pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang baik dalam tempoh lima tahun yang lalu iaitu purata 5.6 peratus setahun.

Pertumbuhan ini, kata Abdullah, didorong oleh pertumbuhan pelaburan swasta serta imbangan dagangan melebihi RM1 trilion.

“Pertumbuhan ini telah memungkinkan keadaan di mana kadar faedah, kadar inflasi dan kadar pengangguran kekal rendah. Indeks Komposit Bursa Malaysia juga membayangkan kepesatan ekonomi negara dengan mencapai tahap paling tinggi baru-baru ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata, faktor kedua adalah keperluan untuk menarik serta mengekalkan modal insan yang berkelayakan, berprestasi tinggi dan bermotivasi dalam sektor awam.

Faktor ketiga ialah kenaikan kos sara hidup akibat kenaikan harga minyak dunia yang memberi kesan besar kepada kumpulan berpendapatan rendah.

Faktor keempat, kata Perdana Menteri, adalah kemampuan kewangan kerajaan di mana pengutipan cukai negara telah bertambah dengan ketara, manakala keberkesanan perbelanjaan telah dapat ditingkatkan.

“Dalam memutuskan kenaikan gaji, kerajaan sentiasa berjaga-jaga akan kesannya kepada kewangan negara. Sebarang kenaikan gaji akan juga melibatkan pengiraan pencen serta elaun-elaun tertentu.

“Dengan itu, kuantum kenaikan telah diputuskan secara cermat dan berhemat. Kerajaan telah berjaya mengurangkan defisit perbelanjaan kerajaan dari 5.3 peratus dalam tahun 2003 kepada 3.5 peratus tahun lalu dan pengurusan fiskal berhemat ini akan diteruskan,” katanya.

Abdullah berkata, kenaikan itu akan dapat meringankan beban yang dirasai anggota sektor awam, terutamanya mereka yang dalam kumpulan terendah, dan dalam masa yang sama, semua anggota sektor awam perlu ingat bahawa dengan kenaikan gaji ini, harapan seluruh rakyat serta kerajaan terhadap sektor awam akan meningkat.

“Harapan untuk melihat mutu perkhidmatan yang terbaik, yang setimpal dengan kenaikan gaji, akan dirasai secara umum. Gunakanlah peluang ini untuk terus meningkatkan produktiviti serta mutu perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Perdana Menteri juga menyeru anggota sektor awam supaya menjadi pengguna yang berhemat memandangkan akhir-akhir ini terdapat laporan mengenai kenaikan harga barang.

“Jika ada peniaga yang tidak berhemat, laporkan kepada pihak penguatkuasa, dan berbelanjalah di tempat lain. Pengguna harus menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna secara bijaksana.

“Dedahkan mereka yang tidak bertanggunjawab supaya penguna-penguna lain tidak akan lagi berurusan dengan mereka. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga harus meningkatkan pemantauan serta mendidik pengguna tentang hak dan kuasa mereka,” katanya.

Katanya, kerajaan mahu agar sektor awam Malaysia mampu menjadi sektor awam yang terbilang di dunia.

“Selain daripada menyediakan sistem penyampaian perkhidmatan yang terbaik, kerajaan amat berharap anggota sektor awam akan lebih menekankan aspek perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah kepada perkhidmatan termasuk mengurangkan karenah birokrasi, sentiasa mesra, telus, responsif, kreatif dan sentiasa mementingkan pelanggan,” kata Abdullah.

Katanya, perubahan minda dan persaingan ekonomi menuntut transformasi sektor awam kepada satu perkhidmatan pantas dan responsif, dan ini memerlukan perubahan minda yang menjurus kepada peranan sebagai pemudah cara dan rakan kongsi kepada rakyat dan sektor swasta.

“Transformasi sektor awam juga menuntut anggota sektor awam yang berkelayakan dan bermotivasi,” kata Perdana Menteri.

Mengenai kenaikan kadar COLA, Abdullah menjelaskan dalam dalam satu kenyataan kemudian bahawa kakitangan awam yang tinggal di bandar-bandar utama yang dikategorikan Kawasan A akan menerima kenaikan dari RM150 kepada RM300 sebulan, Kawasan B dari RM100 kepada RM200, dan Kawasan C, dari RM50 kepada RM100.

Mengikut Pekeliling Perkhidmatan Awam, Kawasan A meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya, Pulau Pinang, Seberang Perai, Ampang Jaya, Kajang, Klang, Petaling Jaya, Selayang, Sepang, Shah Alam, Subang Jaya dan Johor Bahru.

Kawasan B meliputi Batu Pahat, Johor Bahru Tengah, Kluang, Kulai, Muar, Alor Star, Kulim, Langkawi, Sungai Petani, Kota Bharu, Alor Gajah, bandar Melaka, Nilai, Port Dickson, Seremban, Ipoh, Kuala Kangsar, Manjung, Taiping, Teluk Intan, Bentong, Kuantan, Temerloh, Kangar, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Kawasan C rangkumi kawasan-kawasan selain daripada Kawasan A dan Kawasan B.

Abdullah berkata, bagi mereka yang menduduki kuarters kerajaan pula kadar baru ialah separuh daripada kadar tersebut iaitu peningkatan sebanyak 50 peratus. - Bernama

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.