|
![]() |
|
FARAH Asyikin dan Fariz di majlis pernikahan mereka. |
DALAM dunia yang serba moden ini, bagi pasangan yang bercinta tidak lengkap rasanya hidup mereka tanpa telefon dan komputer.
Jika tanpa alat teknologi ini, sudah pasti amat sukar bagi mereka untuk memadu kasih dan bertanyakan khabar.
Malah, menerusi komputer dan telefon jugalah, ia mampu membangkitkan rasa sayang yang mendalam meskipun hanya melalui kata-kata dan ayat yang ditaip menerusi skrin komputer.
Itulah yang berlaku dalam dunia percintaan antara finalis Malaysian Idol 2 dan One In A Million, Farah Asyikin Zulkifli, 28, atau mesra dengan panggilan Farah dan pasangannya, Dr. Fariz Yahya, 29, yang telah pun selamat menjadi suami isteri pada Sabtu lalu.
Ketika ditemui selepas majlis pernikahannya, Farah menceritakan segalanya bagaimana detik pertemuannya bersama suami tercinta.
“Kami mula bertemu pada tahun 2002 iaitu di majlis hari jadi kawan saya. Kebetulan pada waktu itu, Fariz duduk di sebelah saya dan kawan saya itu memperkenalkan Fariz kepada saya.
“Kemudian, kami bertemu semula pada majlis perkahwinan rakan kami pada Mei 2005 dan bermula dari situ, kami mula mengenali antara satu sama lain dengan lebih mendalam. Dari situ juga, barulah saya tahu rupanya dia sedang mengikuti pengajiannya di Dublin, Ireland dalam bidang perubatan,” cerita Farah sambil ketawa kecil dengan disaksikan suaminya yang berada di sebelahnya.
Farah juga berkata, mereka banyak berhubung menerusi internet dan telefon memandangkan Fariz jarang pulang ke Malaysia. Dari situlah, bibit-bibit cinta mula terbit di hati pasangan mempelai muda ini.
“Percintaan saya dengan Fariz terlalu singkat sebelum kami mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan pada Disember 2006 dan kini, Alhamdulillah, kami sah menjadi suami isteri setelah lima bulan bertunang,” kata anak sulung daripada empat beradik itu lagi.
Malah, sifat rendah diri, penyayang dan kesederhanaan yang ada dalam diri Fariz membuatkan dia tertarik kepada jejaka tampan itu.
Pada majlis pernikahan itu, Farah yang menerima mas kahwin sebanyak RM155 turut menerima tujuh dulang hantaran yang terdiri daripada wang hantaran berjumlah RM15,555, sebiji kek, barangan kecantikan, cincin berlian, tas tangan dan telefon bimbit, sirih junjung dan gubahan coklat.
Farah yang dinikahkan oleh bapanya, Datuk Zulkifli Mohamad pula membalas sembilan dulang kepada Fariz yang merangkumi sepasang baju Melayu berwarna ungu cerah, kain songket ungu, set minyak wangi, set dompet dan kaflink, sirih junjung, kek, buah-buahan, jam tangan dan coklat.
Farah Asyikin sememangnya sungguh optimistik memberikan penjelasannya apabila ditanya tentang keputusannya membina istana cinta dalam usia yang muda.
“Bagi saya tidak timbul isu menyesal atau tidak kerana saya percaya kepada ketentuan Ilahi yang sudah tertulis bahawa saya akan berkahwin pada hari ini. Tuhan sudah membuka pintu hati saya untuk menerima Fariz,” ujar penyanyi itu yang anggun mengenakan busana dari Cosry.
Bagi Fariz yang kini bertugas di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dia tidak kisah beristerikan seorang artis kerana yang penting adalah persefahaman dan perlunya ada tolak ansur dalam menjalani kehidupan sebagai suami isteri.
“Pada mulanya, saya tidak mengetahui Farah seorang artis sehinggalah kami mengenali antara satu sama lain. Saya menerimanya bukan kerana dia seorang artis tetapi adalah wanita yang bernama Farah Asyikin Zulkifli. Tetapi saya akan sentiasa memberi sokongan kepada isteri saya meneruskan kariernya asalkan dia tahu membahagikan masa dan tugasnya sebagai seorang isteri,” kata Fariz yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu.
Bulan madu merupakan satu kemestian bagi pasangan yang baru berkahwin tetapi bagi Farah dan Fariz, mereka akan menghabiskan masa berbulan madu di rumah baru mereka yang dibeli oleh Fariz di Bukit Jelutong, Shah Alam sebagai hadiah perkahwinan mereka.
“Bagi kami, duit yang digunakan untuk berbulan madu itu lebih baik jika kami gunakan untuk menghias rumah. Bulan madu pada masa lain pun boleh juga. Kami mengamalkan percintaan selepas berkahwin,” ujar Farah lagi.
Penantian Farah Asyikin selama lapan tahun berakhir apabila album sulungnya yang berjudul Farah Asyikin kini berada di pasaran.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana akhirnya album sulung saya sudah berada di pasaran dan saya menganggap ini sebagai hadiah perkahwinan saya,” jelas penyanyi yang pernah menyertai pertandingan TV realiti Malaysian Idol 2 dan One In A Million ini.
Single pertamanya iaitu Dari Sini Ke Bintang-Bintang yang dicipta oleh Audi Mok dan lirik oleh Rafidah Abdullah kini sedang ligat berputar di corong radio dan mula mendaki carta lagu popular.
Malah, Farah turut menyumbang lirik untuk lagu Sempurna yang ditujukan khas buat suami tercinta.
IKLAN@UTUSAN
|