|
MARI andaikan bahawa tidak ada kewajaran untuk tidak berpihak. Setiap siapa saja harus selalu berpihak, kepada kebenaran sekurang-kurangnya. Begitu pun, memihak kepada kebenaran tidak sentiasa neutral seperti yang biasa dibayangkan.
Kebenaran selalu ditakrifkan secara relatif, menjadi “salah satu wajah dari wajah-wajah kebenaran.” Maka, sekali lagi, ayuh kita andaikan saja bahawa berpihak itu wajar.
Menilai kajian yang telah Muhammad Imarah jalankan lebih 30 tahun lalu iaitu sekurang-kurangnya 47 tahun setelah Syeikh Ali Abdul Raziq dibicarakan dan setelah itu dihukum dengan hukuman yang menafikan hak-hak asasi beliau sebagai warga Mesir tampak kepada kita yang kontroversi sekitar Al-Islam wa Usul al-Hukm telah dinyalakan oleh sentimen.
Sebelum itu, penterjemahan dan penerbitan ‘buku lama’ ini yang diberi tajuk Polemik Islam dan Dasar Pemerintahan Karya Ali Raziq, serta usaha membongkar karya dan ‘menghidupkan semula’ nama Ali Abdul Raziq barangkali menuntut penjelasan atau justifikasi.
Sejak berakhirnya zaman khalifah, dengan Istanbul menjadi pusatnya yang terakhir, nama Ali Abdul Raziq selalu disebut dalam khutbah tentang khalifah, negara Islam, dan sejurus setelah itu, hujah anti-negara sekular. Dianggap sebagai ulama yang sesat jalan, nama Ali Abdul Raziq beransur-ansur menjadi tangkal azimat untuk menghambat sebarang idea dan pemikiran baru yang di luar kerangka ‘pemikiran politik Islam’. Hari ini, namanya sahaja sudah cukup untuk menjauhkan orang dari pemikiran politik moden dan mengakibatkan hujah-hujah lebih ilmiah akan jatuh darjatnya di barisan kedua.
Kena pula pada masanya apabila sebelum itu, pada 2004, Institut Kajian Dasar (IKD) telah menerbitkan terjemahan karya Ali Abdul Raziq itu dengan tajuk Islam dan Dasar Pemerintahan. Tindakan menterjemahkan dan menerbitkan buku tersebut telah dipersoalkan dan dikecam oleh beberapa pihak.
Sentimen politik dan keagamaan bercampur-baur dalam serangan para ulama Al-Azhar terhadap Ali Raziq. Di barisan depan penentang-penentangnya terdiri dari kalangan mereka yang cuba menghidupkan semula sistem khalifah dengan memindahkan takhta khalifah Islam ke Mesir, kepada Raja Fuad.
Tetapi, sekurang-kurangnya di kalangan mereka ada yang berusaha menunaikan tanggungjawab keilmuan dengan menjawab hujah-hujah Ali Raziq, meskipun ada antara mereka yang menghadiahkan jawaban terhadap buku itu sebagai “ke hadrat baginda tuanku Raja Fuad I, raja Mesir yang dimuliakan.” Berdakwat emas di kulit buku mereka. Antara yang mengarang jawaban balas ialah Syeikh Khidr Al-Hussein dan Syeikh Rasyid Rida.
Oleh kerana kita telah andaikan bahawa berpihak tidak terelakkan, maka segala hujahan yang menerjang pihak Ali Abdul Raziq itu hampir termaafi. Cumanya, pembaca tidak mampu mengelakkan rasa sedih pilu mengenang nasib Ali Raziq, atau merasa gelisah dan hiba mengenang ulama-ulama Al-Azhar yang tergamak menjatuhkan hukuman sebegitu keras terhadap Ali Raziq semata-mata kerana dorongan politik.
Alasan politik atau agama akan sentiasa memedihkan jika ia sampai menafikan hak manusia yang asasi. Setakat yang kita maklumi, Ali Raziq diharamkan dari memakai gelar ‘ulama Al-Azhar’. Rupa-rupanya pengharaman itu punya akibat yang mengerikan: Peruntukan 101, Kanun Al-Azhar Bil. 10 (tahun 1911), memperincikan bahawa setiap ulama yang dilucutkan gelar ulama oleh Majlis Tertinggi Ulama, namanya “akan dipadam dari rekod Al-Azhar dan institusi-institusi lain, dan dibuang beliau dari segala pekerjaannya, dan dipotong pendapatannya tidak kira dari mana sumbernya, dan dicabut kelayakannya untuk membuat apa jua pekerjaan umum sama ada bersangkutan agama atau tidak.”
Muhammad Imarah seorang peneliti yang berhak dipuji. Beliau telah mencungkil sebanyak mungkin sumber untuk tujuan kajian. Siapa saja, penganut ideologi apa pun, dapat merasa aman membaca buku ini. Jelas bahawa buku ini memberikan keutamaan kepada fakta-fakta sejarah seadanya. Bukan Imarah langsung tidak berpihak, tetapi sifat memihaknya tidak berlebih-lebihan.
IKLAN@UTUSAN
|