Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
RENCANA

ARKIB : 30/04/2007
Kenapa import lagu sampah?

Kenapa import lagu sampah?

KARYA seni sewajarnya mampu menyeberangi sempadan politik, geografi dan budaya. Karya yang baik mampu dihayati oleh khalayak di luar batas budaya sang karyawan.

Ini telah berlaku sejak lama dulu ketika era sebelum merdeka dulu. Ketika itu karya sastera dan muzik Indonesia menjadi sebahagian daripada santapan jiwa rakyat negara ini.

Lagu-lagu ciptaan Ismail Marzuki seperti Jangan Ditanya, Melati di Tapal Batas, Rindu Lukisan misalnya telah lama berkumandang di Malaya.

Malah Bengawan Solo ciptaan Gesang juga telah lama hidup di jiwa rakyat negara ini.

Ini antara lagu-lagu Melayu nyanyian dan ciptaan karyawan Indonesia yang membebaskan diri dari keindonesiaan.

Malah karya muzik yang lebih baru oleh Ebiet G. Ade berbicara tentang perihal manusia yang sejagat. Lagu-lagu begini wajar dihayati tanpa prejudis siapa dan di mana lagu ini dicipta.

Malah lagu-lagu nyanyian P. Ramlee pernah popular di Indonesia termasuk filem-filem P. Ramlee.

Tetapi selepas dekad 70-an hingga kini, Indonesia sangat prejudis dengan karya-karya dari negara berselera rendah.

Toleransi

Negara ini membuka pintu seluas-luasnya kepada karya muzik Indonesia. Keterbukaan dan toleransi ini disalahguna apabila sekian banyak lagu sampah mengalir keluar wang Malaysia ke Indonesia.

Malaysia mempunyai karya muzik yang jauh lebih baik dari Indonesia, M. Nasir misalnya. Tetapi karya yang masuk ke Indonesia bukanlah yang terhebat, cuma popular.

Maka apabila ada pihak yang menganggap karya muzik Malaysia ketinggalan zaman, penanda aras apa yang digunakan? Apakah lagu-lagu sampah dari Indonesia yang popular di sini dijadikan ukuran karya muzik tempatan lapuk dan tidak menepati selera?

Tanggapan bahawa karya muzik tempatan lapuk sebenarnya bertolak daripada sikap pengusaha dalam industri muzik kita.

Sebahagian besar daripada mereka ini akan membawa masuk apa saja yang boleh mendatangkan keuntungan.

Sementara karyawan muzik pula berjiwa kecil sehingga membiarkan kepala dipijak orang. Lihatlah bagaimana mereka ini mencanang kebanggaan hanya kerana ‘berjaya’ menembusi Indonesia.

Lagu Indonesia yang dibawa ke sini kelihatan besar kerana kita yang berjiwa kerdil dan berselera rendah. Masih tidak sedar lagi?

Sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-50, kita perlu kembali kepada jiwa merdeka. Untuk itu, kita wajar berjiwa besar.

E-mel: kuseman@pc.jaring.my

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN