Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
HIBURAN

ARKIB : 23/04/2007
AF5 gimik konsert keenam ‘menjadi’

AF5 gimik konsert keenam ‘menjadi’

Konsert keenam Akademi Fantasia musim ini (AF5) pada malam Sabtu lalu ‘menjadi’ dengan gimik yang menarik. Bermula dengan pengenalan para pelajar oleh beberapa kanak-kanak, Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBBJ) bertambah riuh apabila muncul pula seorang lagi kanak-kanak yang berangan menjadi pengacara, menggantikan Aznil Nawawi.

Penuh bersahaja dan berkeyakinan tinggi, Mohd. Haziq (dengan gaya pengenalan tangannya seperti Haziq AF4) benar-benar mencuit hati penonton apabila bersungguh-sungguh ‘berhujah’ dengan Aznil.

Seterusnya, buat pertama kali dalam sejarah AF, pengkritik boleh memilih pelajar yang memberikan persembahan terbaik dengan menekan butang lampu biru dan lampu merah untuk tidak baik.

Selesai persembahan, Mila, Candy dan Aizat berjaya meyakinkan pengkritik tetap (Ogy, Jee dan Hattan) serta pengkritik undangan Kudsia Kahar apabila mendapat empat lampu biru.

Konsert berkenaan juga bertambah meriah apabila menggunakan tema malam anugerah buat pelajar-pelajarnya. Gimiknya, apabila bintang-bintang terkenal tanah air menyerikan konsert sebagai penyampai anugerah yang memberikan amanat dan nasihat kepada para pelajar.

Tentunya malam tersebut menjadi kenangan indah buat pelajar-pelajar apabila dapat bertentang mata dengan Jalaluddin Hassan, Khatijah Ibrahim, Erra Fazira, Hans Isaac, Datuk Mustafa Maarof, Datuk A. Rahman Hassan, Ramlah Ram, Rahimah Rahim, Que Haidar, Sazzy Falak dan Farid Kamil.

Rizal tersingkir jua

Rizal seolah sudah dapat mengagak dia yang menjadi pelajar ketujuh tersingkir dari AF 5.

Sebelum Aznil mengumumkan namanya, jejaka berusia 19 tahun kelahiran Kuching, Sarawak itu sudah tersenyum memberi isyarat yang dia bakal mengikut jejak pelajar-pelajar lain yang terlebih dahulu tersingkir seperti Diya, Afiq, Fatin, Farha, Noni dan Dekna.

Apa pun, persembahan terakhir Rizal yang membawakan lagu That Thing You Do nyanyian The Wonders disifatkan Ogy sebagai terbaik sepanjang enam minggu konsert berlangsung.

Namun impian Rizal yang berasal dari keluarga anak nelayan untuk mengubah kehidupannya tidak kesampaian. Barangkali selepas ini, Rizal atau nama sebenarnya Hasfarizal Ayub mampu mencipta nama dalam bidang lakonan.

Prestasi pelajar minggu lalu
* AIZAT: Paling cemerlang. Bersandarkan lagu Perpisahan yang dipetik dari filem Cinta, Aizat telah melontarkan vokalnya sehingga mendapat standing ovation dari semua pengkritik.

Aizat berjaya membawakan lagu tersebut dengan penuh penghayatan dan menusuk kalbu penonton. Dia diberi markah penuh 10 oleh Ogy, Jee pula memberinya dua kali penghargaan standing ovation manakala Hattan terus kehilangan kata-kata.

* MILA: Menunjukkan peningkatan ketara apabila menyampaikan dengan penuh bertenaga lagu Drama yang asalnya didendangkan oleh tiga orang penyanyi, Ning Baizura, Nikki dan Yanie.

* CANDY: Menyerlah dengan aksi lincahnya menerusi lagu Gadis Dan Bunga. Vokal lantangnya dipergunakan sepenuhnya untuk mengelak daripada dikatakan meniru gaya penyanyi asalnya Rahimah Rahim yang turut berada di dewan itu.

* EBI: Persembahan yang mendatar. Tidak menampilkan sebarang keistimewaan minggu ini.

* HELIZA: Terus kekal ‘control cantik’ dan masih keliru dengan vokalnya yang sesekali kedengaran bagaikan suara Datuk Siti Nurhaliza.

* SHAWAL: Persembahan yang biasa-biasa sahaja namun nampak ringkas dengan gaya rocker melalui lagu Peronda Jaket Biru.

* DAFI: Ada peningkatan namun perlu berani mengambil risiko untuk mencabar vokalnya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN