|
MELAKA 5 April – Kerajaan negeri meluluskan permohonan lot tanah di kawasan Felda Bukit Bulat di sini untuk 50 peneroka berketurunan Cina.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Felda berhubung perkara berkenaan dan dipersetujui oleh agensi itu.
“Sebelum ini kita telah beri kelulusan untuk permohonan 102 lot tanah bagi peneroka di kawasan berkenaan.
“Dahulu 50 peneroka ini tidak berminat, tetapi selepas dikemukakan permohonan baru, kita tiada halangan untuk luluskannya kerana mereka memang layak untuk menerimanya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini semalam.
Menurut Mohd. Ali, kesemua peneroka tersebut akan menerima lot tanah secara berasingan, bagaimanapun kos membina rumah akan ditanggung sendiri oleh mereka.
“Ketika ini mereka tinggal di luar Felda berkenaan iaitu 27 orang di Machap Baru, 18 di Machap Umboo, satu di Bachang, Batu Enam dan Nyalas manakala dua lagi di kawasan lain,” katanya.
Sementara itu, kerajaan negeri juga bersetuju meluluskan kawasan tanah seluas 2,508 meter persegi di hadapan Tokong San Nui di Machap Baru di sini untuk dijadikan kawasan meletak kenderaan.
“Kita juga akan beri bantuan kewangan sebanyak RM7,000 untuk mereka, substesen Tenaga Nasional Berhad yang terletak berhampiran tokong itu juga akan ditambah kapasiti kuasanya supaya bekalan tenaga elektrik ke kawasan itu tidak terjejas,” kata beliau.
Pada masa yang sama kerajaan negeri, katanya, turut bersetuju menerima permohonan pelebaran beberapa kawasan kubur masyarakat Cina di Machap.
“Bagi Machap Umboo, kawasan kubur di sana akan ditambah seluas 2 hektar, Machap Baru seluas empat hektar manakala sebuah kawasan perkuburan masyarakat Hainan pula seluas 2.8 hektar,” ujar beliau.
IKLAN@UTUSAN
|