|
KUALA LUMPUR 27 Mac – Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) tidak lama lagi akan mengemukakan satu kertas Kabinet untuk mengambil alih fungsi-fungsi pengesahan halal yang kini dikendalikan bersama oleh Jabatan Pembangunan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jamil Bidin berkata, terdapat keperluan untuk mempercepatkan proses persijilan kepada enam bulan daripada sembilan bulan.
Syarikat-syarikat antarabangsa yang bercadang untuk menubuhkan operasi di Malaysia kerap kali tertunda oleh proses yang lama dan membosankan untuk mendapat persijilan halal, katanya pada jamuan makan tengah hari dengan editor-editor kanan di Carcosa Seri Negara di sini hari ini.
Jamil berkata, terdapat keperluan untuk lebih memudahkan proses, oleh itu HDC akan menggariskan cadangan-cadangannya kepada Kabinet untuk mempertingkatkan lagi pembangunan industri makanan dan perkhidmatan halal di Malaysia.
Berucap pada majlis jamuan makan tengah hari yang diraikan oleh World Halal Forum (WHF) 2007 itu, beliau berkata, HDC yang ditubuhkan bulan September lalu adalah bukti kepada wawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
“Ideanya (Abdullah), pandangan jauh dan tekad beliau telah memandu penubuhan HDC yang tangkas dan pantas. Tugas kami ialah untuk membawa hasil wawasan Perdana Menteri itu untuk menjadi Ma- laysia pusat halal global,’’ kata Jamil.
Menerangkan yang HDC masih dalam peringkat mencari fakta, katanya: “Kami bekerja keras mengumpul maklumat daripada pelbagai pihak berkuasa di Malaysia dan seluruh dunia juga mengadakan perbincangan dengan penggiat industri.
“Kami mempelajari banyak aplikasi dan definisi halal yang berlainan secepat mungkin, sambil membangunkan HDC daripada peringkat awal menerusi bidang-bidang yang belum diterokai,”
Tugas HDC, jelas beliau, ialah megumpul dan membangun penggiat industri tempatan ke arah memainkan peranan penting dalam ekonomi negara, dan ia telah mengenal pasti tiga bidang tumpuan khusus - integriti halal, pembangunan kapasiti, serta penjenamaan dan penggalakan.
“HDC adalah komited 100 peratus kepada kejayaan misi kami, dan untuk merealisasikan wawasan Perdana Menteri sebagai pusat kecemerlangan halal global,” tegas beliau.
Mengenai WHF 2007, Jamil berkata: “Menjadi tuan rumah kepada pembuat- keputusan terbaik dan paling cemerlang dalam pelbagai industri dengan serta- merta meletakkan Malaysia pada teras utama pasaran yang sedang muncul ini.”
Ia juga mengesahkan peranan kepimpinan Malaysia sebagai pemaju kepakaran pasaran halal dalam perkara seperti standard (piawaian), pengesahan, penyelidikan dan risikan pasaran juga mendedahkan penggiat tempatan kepada beberapa ide serta amalan terbaik dalam industri itu, tambahnya.
WHF 2007, bertema Mengharmonikan Pasaran Halal Global akan diadakan pada 7-8 Mei di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
– Bernama
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|