Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
EKONOMI

ARKIB : 27/03/2007
Galak siswazah bekerja di luar negara cuma dalam sektor tertentu

Galak siswazah bekerja di luar negara cuma dalam sektor tertentu

BANGI 26 Mac – Galakan supaya siswazah institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan mendapatkan pekerjaan di negara lain cuma untuk sektor tertentu, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar.

Beliau berkata, galakan itu hanya melibatkan sektor separa mahir yang telah kukuh seperti perkhidmatan, pengangkutan, perladangan dan pembinaan.

Katanya, pekerja sektor kritikal seperti perubatan, geologi dan perundangan tidak digalakkan mencari kerja di negara lain kerana Malaysia masih kekurangan pekerja dalam bidang-bidang itu.

‘‘Lebih 300,000 rakyat Malaysia bekerja di luar negara pada masa ini. Walaupun siswazah sektor tertentu digalakkan bekerja di negara lain, kerajaan berharap mereka tidak akan menetap terus di sana,” kata Abdul Rahman kepada pemberita selepas melawat Kompleks Percetakan Sri Utusan di sini, hari ini.

Menurut beliau, dengan bekerja di luar negara, rakyat Malaysia boleh mendapat banyak pengalaman di samping membawa masuk mata wang asing ke Malaysia.

Tambahnya, kerajaan tidak akan mengehadkan jumlah pekerja yang boleh bekerja di seberang laut tetapi satu sistem pertukaran pekerja akan diadakan dengan beberapa negara di Asia dan Eropah bagi memelihara kualiti dan kecekapan pekerja dari Malaysia.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said yang menggalakkan lepasan IPT di Malaysia bekerja di negara ASEAN bagi mengurangkan pengangguran siswazah di negara ini yang kini mencecah 59,000 orang.

Abdul Rahman yang merupakan Pengerusi Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan hari ini mengetuai delegasi para pegawai majlis itu meninjau operasi dan pengurusan keselamatan di kompleks Sri Utusan.

Selain diberi taklimat tentang tahap keselamatan pekerja, ahli-ahli majlis tersebut turut menyaksikan tayangan video sejarah penubuhan Kumpulan Utusan dan perkembangannya sebagai sebuah syarikat media.

Turut menyambut beliau di Sri Utusan ialah Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Khalid Mohd.; Pengarah Urusan Utusan Media Sales Sdn. Bhd., Adi Satria Ahmad dan Pengurus Kumpulan Perolehan dan Pentadbiran Utusan, Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar.

Pada sidang akhbar selepas itu, Abdul Rahman turut menggesa majikan yang mempunyai loji pemprosesan dengan lebih 100 pekerja mewujudkan anugerah keselamatan dan kesihatan untuk para pekerja mereka.

‘‘Jumlah kemalangan semasa bekerja di negara ini masih tinggi dan industri perkilangan dan pembuatan merekodkan jumlah kemalangan tertinggi melebihi 26,000 kes setahun mengikut perangkaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada tahun 2004.

‘‘Anugerah seperti itu jika diperkenalkan adalah satu penghargaan kepada pekerja yang mementingkan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Ia boleh dijadikan satu kempen bagi meningkatkan kesedaran pekerja dalam mengurangkan kadar kemalangan di negara ini,” ujarnya.

Sambil memuji kecekapan pengurusan keselamatan pekerja di Kompleks Percetakan Sri Utusan, Abdul Rahman berkata, majikan di negara ini perlu mematuhi piawaian Kementerian Sumber Manusia bagi mengurangkan jumlah kemalangan pekerja.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN