Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 26/03/2007
Lepasan IPT digalak cari kerja di negara ASEAN

Lepasan IPT digalak cari kerja di negara ASEAN

KUALA LUMPUR 25 Mac – Lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia perlu bersedia untuk bekerja di negara-negara ASEAN bagi mengurangkan pengangguran di kalangan mereka yang kini meningkat kepada 59,000 orang.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said berkata, sudah sampai masanya lepasan IPT mencari pekerjaan di luar Malaysia selaras dengan program melampaui sempadan.

‘‘Amalan ini sudah lama dilakukan oleh golongan muda di negara-negara Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat yang mencari pengalaman merantau ke luar negara selepas menamatkan pengajian sekolah tinggi sebelum memasuki IPT.

‘‘Mereka mempelajari lebih daripada satu bahasa di samping memahami pelbagai budaya bangsa bagi memudahkan peluang untuk mendapat pekerjaan selepas menamatkan pengajian di IPT.

‘‘Budaya ini perlu dicontohi oleh golongan muda Malaysia dan negara-negara ASEAN lain supaya mereka tidak terlalu tertumpu kepada negara masing-masing bagi mendapatkan pekerjaan,’’ kata Azalina ketika berucap pada acara penutup Konvensyen Rakan Sebaya ASEAN Kedua di sini hari ini.

Konvensyen anjuran Kumpulan Rakan Sebaya Universiti Multimedia itu turut dihadiri 150 peserta termasuk wakil dari Filipina, Indonesia, Singapura, Thailand dan Malaysia.

Konvensyen ketiga program itu akan diadakan di Singapura sebelum Filipina dan Indonesia menjadi tuan rumah.

Azalina seterusnya menggesa golongan muda supaya berani menceburkan diri dalam bidang yang mencabar jika mereka mempunyai ilmu secukupnya dan yakin dapat melakukannya.

Sambil menyuntik semangat agar golongan muda tidak terlalu bersikap malu, Azalina berkata, golongan muda perlu mempelajari sejarah bagaimana dan mengapa ASEAN terbentuk.

Dengan mengetahui sejarah pembentukan ASEAN pada 1967 itu, kata beliau, barulah golongan muda mengetahui arah tuju pembangunan yang akan dibentuk untuk masa depan mereka.

‘‘Tiada siapa yang akan mengambil tahu tentang masa depan anda melainkan diri anda sendiri dan kerana itu, jangan lepaskan sebarang peluang yang diberikan kepada anda hari ini,’’ katanya.

Menurut beliau, dengan menyedari betapa pentingnya golongan muda untuk pembangunan masa depan, para pemimpin negara-negara ASEAN telah menggalakkan agar mereka (golongan muda) membuat jaringan hubungan di rantau ini.

Ketetapan itu dibuat pada Mesyuarat Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur tahun lalu.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN