Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 23/03/2007
Insentif pengecualian cukai -- PM umum langkah baru rangsang pertumbuhan Wilayah Pembangunan Iskandar

Insentif pengecualian cukai -- PM umum langkah baru rangsang pertumbuhan Wilayah Pembangunan Iskandar

KUALA LUMPUR 22 Mac – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan beberapa langkah baru untuk merangsang pertumbuhan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor termasuk membenarkan syarikat-syarikat yang beroperasi di sana mengambil rakyat asing bekerja tanpa had.

Menurut Perdana Menteri, pakej insentif WPI itu turut membolehkan syarikat-syarikat yang layak beroperasi di kawasan tersebut mendapatkan sumber modal secara global dan mengecualikan mereka daripada peraturan-peraturan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC).

‘‘Syarikat-syarikat yang layak menikmati insentif itu dikhususkan untuk enam sektor sasaran iaitu industri kreatif, perkhidmatan pendidikan, perunding dan penasihat kewangan, perubatan, perkhidmatan berkaitan logistik dan pelancongan,’’ kata Abdullah dalam ucaptama Persidangan Invest Malaysia 2007 di sini hari ini.

Beliau berkata, syarikat-syarikat yang layak beroperasi di WPI juga akan dikecualikan daripada cukai pemegangan bagi pembayaran tertentu selama 10 tahun sekiranya mereka memulakan operasi di wilayah pembangunan baru itu sebelum 2015.

Dalam pengumuman tersebut, Abdullah turut berkata, syarikat-syarikat yang beroperasi di WPI akan dikecualikan daripada cukai pendapatan korporat bagi aktiviti-aktiviti dalam zon dan di luar Malaysia selama 10 tahun.

Katanya, maklumat lanjut mengenai insentif dan pakej itu akan diumumkan oleh pusat sehenti Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (LPWPI).

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan akan memastikan WPI mengekalkan kelebihan persaingannya walaupun pertumbuhan banyak hab komersial di seluruh dunia pada masa kini menjadikan persaingan untuk merebut pelaburan global semakin sengit.

WPI ialah pelan pembangunan bernilai lebih RM47 bilion untuk mengubah sebuah kawasan seluas 2,217 kilometer persegi atau 2 1/2 kali keluasan Singapura di selatan Johor menjadi sebuah bandar raya metropolis menjelang tahun 2025.

Pembangunan itu merangkumi lokasi segi tiga di antara Lapangan Terbang Senai di utara Johor Bahru, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di barat daya dan Pelabuhan Pasir Gudang (PPG) di tenggara.

Dalam ucaptamanya, Perdana Menteri turut mengumumkan langkah kerajaan menghapuskan cukai keuntungan hartanah mulai 1 April ini yang bertujuan merangsang pertumbuhan sektor hartanah negara.

‘‘Ini merupakan berita yang telah lama dinanti-nantikan bagi pemaju dan pelabur, dan saya harap ia akan menyuntik lebih banyak tarikan dan dinamika ke dalam sektor hartanah dan kewangan,’’ kata beliau yang juga Menteri Kewangan.

Sebagai contoh, kata Abdullah, kelonggaran peraturan FIC yang membolehkan warga asing membeli hartanah kediaman melebihi RM250,000 tanpa kelulusan jawatankuasa FIC mendapat respons yang positif.

‘‘Berdasarkan maklum balas yang diterima, kerajaan negeri juga diminta melonggarkan syarat-syarat pemilikan untuk hartanah kediaman,’’ katanya.

Perdana Menteri juga mengumumkan peraturan baru yang akan diperkenalkan oleh Bursa Malaysia bagi mengawal akses pasaran langsung untuk menambah kecekapan dagangan serta meningkatkan aktiviti dagangan nilai tambah di bursa itu.

‘‘Bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa, Suruhanjaya Sekuriti dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Dubai akan mewujudkan rejim pengiktirafan bersama bagi memudahkan pemasaran rentas sempadan dana Islam antara Malaysia dan Dubai,’’ kata Abdullah.

Beliau menjelaskan, langkah-langkah itu diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan daya saing dan kecekapan pasaran modal Malaysia.

Katanya, kerajaan akan meneruskan usaha mengurangkan pegangannya dalam syarikat-syarikat milik kerajaan yang mempunyai tumpuan yang tinggi dalam pemilikan berkait dengan kerajaan.

Beliau berkata, usaha mengurangkan pemilikan kerajaan dapat mengelakkan ‘gangguan pasaran yang dibesar-besarkan’ dan membenarkan jalinan strategik dilakukan.

‘‘Proses berkenaan akan dilaksanakan dengan cara yang tersusun melalui gabungan tawaran persendirian dan komitmen yang distruktur bagi penjualan melalui penerbitan oleh Khazanah Nasional (cabang pelaburan kerajaan) bagi bon boleh ubah PLUS dan Telekom Malaysia,’’ kata beliau.

Abdullah seterusnya memberitahu, kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha menyediakan persekitaran yang kondusif bagi menarik sektor swasta dan pelaburan langsung asing baru.

‘‘Penekanan akan diberikan kepada projek-projek atau industri yang boleh bertindak sebagai pemangkin kepada pelaburan berikutnya dan pengembangan kawasan-kawasan yang hendak dibangunkan,’’ katanya.

Beliau berkata, langkah-langkah itu merupakan antara pelan tindakan segera yang disusun bagi meningkatkan nilai pelaburan dan memudahkan pelaburan masuk ke Malaysia.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN