VERSI : Mobile | Akhbar Digital
29 Julai 2014 / 2 Syawal 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 22/03/2007

Kreativiti tudung menambah anggun si pemakai

MEMAKAI tudung merupakan satu keperluan untuk kaum muslimah. Bagaimanapun, kaum wanita kini semakin bijak menyesuaikan tuntutan agama itu dengan fesyen pakaian mereka.

Sehubungan itu, tidak hanya fesyen baju, fesyen tudung juga turut berubah-ubah mengikut peredaran masa. Jika suatu masa dulu wanita bertudung mengenakan mini telekung atau tudung labuh, kemudian beralih pada tudung persegi yang dihiasi sulaman, kini pemakaian tudung dipermudahkan dengan tudung siap pakai atau sesetengah orang menyebutnya sebagai ‘tudung malas’.

Tudung siap pakai dibuat daripada kain jenis `spandex’ yang lembut dan mudah mengikut bentuk kepala apabila disarungkan ke kepala.

Tudung bahagian kepala akan dijahit siap dengan bahagian depan di dahi yang diletakkan span nipis agar cantik terletak apabila memakainya. Jadi mereka yang memakai tudung sebegini tidak perlu mengambil masa yang lama untuk mengemaskan tudung di bahagian dahi. Mudah, cepat dan kemas.

Tudung siap pakai amat sesuai bagi wanita yang baru hendak belajar memakai tudung, wanita bekerjaya dan kanak-kanak. Selain mudah memakainya, tudung ini juga tidak perlu disematkan kerongsang kecil di bawah dagu kerana saiznya menepati bentuk muka orang yang memakainya.

USAH bimbang apabila mengambil keputusan untuk memakai tudung kerana takut tidak nampak cantik, nampak tua atau dipandang sebelah mata oleh sesetengah pihak.

Tidak ada sebab bagi wanita muslimah tidak nampak cantik semata-mata kerana bertudung. Mungkin pada awalnya anda nampak kekok dengan penampilan baru serta kurang pantas memakai tudung setiap hari apabila hendak keluar rumah.

Namun alah bisa tegal biasa. Hari-hari mengenakan tudung, lama-kelamaan anda pasti mahir dan boleh menggayakan beberapa fesyen mengikut kesesuaian tempat dan pakaian yang anda pakai.

Menurut pemilik Butik Atim-Agoy, Hamadah Datuk Ghazali, 61, busana muslimah merupakan trend terkini di kalangan wanita Islam di negara ini. Namun jika dilihat daripada sudut tuntutan agama, banyak rekaan fesyen terkini di pasaran bukanlah muslimah dalam erti kata sebenar.

Beliau berkata, kebanyakan busana muslimah yang ada lebih tepat dikatakan fesyen bertudung kerana hanya menekankan aspek ‘tidak nampak rambut’ sedangkan sudut-sudut lain yang masih dalam ruang lingkup aurat wanita tidak diambil kira dalam reka cipta busana tersebut.

“Daripada situ, saya mendapat suntikan semangat untuk mereka cipta ikatan tudung berdasarkan prinsip ‘Untuk kelihatan anggun dan mendapat keredhaan Tuhan hendaklah berjalan seiringan,’’ jelas Hamadah yang juga merupakan pakar tudung.

Tambah beliau: “Namun usaha mereka cipta ikatan tudung dalam pelbagai gaya untuk semua peringkat umur, status jawatan dan bidang kerjaya bukanlah tugas mudah.

“Cuma satu tujuan saya adalah untuk membantu para muslimah agar tetap kelihatan bergaya meskipun memakai tudung.”

Hamadah yang menerbitkan buku berjudul Bimbingan Pemakaian Tudung pada tahun lalu berkata, jika ditoleh kembali pada zaman sebelum merdeka, para isteri ulamak ketika itu pun masih belum memakai tudung yang menutup semua rambut. Sebaliknya mereka hanya memakai selendang panjang yang diletakkan di atas kepala dan menampakkan jambul di depan sementara lebihan selendang panjang ditolak ke belakang bahu.

“Kemudian pada tahun 1960 an, Ibu Halimah Noor yang menubuhkan Taman Pendidikan Islam (Tapis) di Kampung Bharu cuba mempromosikan mini telekung yang berbentuk seperti mini telekung di depan namun bahagian belakangnya diikat. Bagaimanapun mini telekung ini tidak mendapat sambutan,

“Mini telekung mula dipakai pada tahun 1970 an dan tahun 1980 an, tudung bawal dipakai oleh hampir semua wanita muslimah di Malaysia,’’ kata Hamadah.

Menurut beliau lagi, pemakaian tudung mula nampak cantik dan kemas pada penghujung tahun 1980 an dan awal 1990 an dan tudung bawal direka dengan bermacam-macam corak sulaman yang menarik.

Tudung ‘rugged’ atau tudung kecil ala skarf yang diimport daripada Turki, China, negara Barat dan sebagainya mula dipakai oleh generasi muda yang bertudung pada tahun-tahun 2000.

Bagi memudahkan wanita bertudung memakai tudung dan nampak cantik tanpa perlu membuang masa yang lama, Hamadah mencipta `Madah Awning’ pada tahun 1999.

`Madah Awning’ sesuai dengan semua bentuk muka, tidak menyakitkan kulit kepala ketika memakainya, tidak panas dan keras pada bahagian depan dahi agar depan tudung tidak jatuh atau lembik.

“Dengan mempelajari rahsia cara-cara membentuk wajah melalui pemakaian tudung, muka bulat seperti bulan penuh boleh kelihatan bujur sirih dan badan yang gempal dapat dibantu agar kelihatan langsing.

“Tidak ada bentuk wajah yang tidak sesuai memakai tudung. Dengan sedikit ilmu dan kreativiti, keanggunan anda akan menyerlah setiap kali anda tampil di khalayak ramai.

“Perlu diingatkan bahawa dengan bertudung, seseorang wanita muslimah bukan sahaja dapat menutup segala kekurangan mereka tetapi juga dapat menambah kejelitaan kepada mereka yang sedia jelita,’’ ujar Hamadah.

Hamadah turut mencipta Serkup Hana mengambil nama adiknya, Datin Hana, yang dibuat kajian lebih setahun. Ukuran serkup ini dibuat teliti hingga ke tulang pipi dan berfungsi sebagai penjinak tudung. Apabila dipakai bersama ‘Madah Awning’, pemakainya akan nampak lebih kemas dan jelita.

Bagi pemakaian aksesori tudung seperti kerongsang, kata Hamadah, wanita yang bertubuh gempal dinasihatkan supaya tidak memakai kerongsang besar kerana akan menampakkan kegempalan pemakainya. Gunakan kerongsang yang berpin tajam dan panjang supaya tudung tidak rosak.

Untuk bergaya

Menurut pemilik butik Koleksi Kuntum, Jameiyah Mohd. Jadi, 43, revolusi tudung sebenarnya sesuatu yang positif kerana ia menggalakkan lebih ramai wanita bertudung.

“Kekadang wanita bekerja ingin bergaya dan berminat untuk bertudung.

“Jika lebih banyak jenis ikatan tudung ditonjolkan, maka lebih banyak pilihan fesyen tudung. Ini akan menrik minat orang ramai memilih dan memakai tudung ke mana sahaja,’’ ujarnya.

Jameiyah menambah, sebuah butik tidak akan lengkap sekiranya tidak menjual tudung atau selendang.

Selain memenuhi permintaan yang kian meningkat, tudung juga menjadi satu keperluan fesyen wanita masa kini.

Jameiyah berkata, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada mereka yang bertudung dan ada juga segelintir yang tidak bertudung.

“Mereka yang datang ke butik saya kebanyakannya membeli tudung untuk digayakan ke pejabat atau ke majlis-majlis dan biasanya wanita yang ingin ke majlis akan memilih tudung yang dihiasi dengan manik-manik,’’ katanya.

Namun demikian, Jameiyah tidak menafikan ada juga antara pelanggannya yang bertudung hanya untuk menghadiri majlis tertentu seperti menziarahi upacara kematian dan beraya di kampung kerana masyarakat di sekitarnya bertudung.

Sementara itu, jurusolek Zulfazli Suhadi, berkata, kebanyakan wanita di Malaysia bertudung kerana fesyen semata-mata.

“Peratus wanita yang bertudung kerana menutup aurat terlalu sedikit. Tudung sebenarnya tidak padan digayakan dengan kemeja T lengan pendek atau jean.

“Malah ada juga trend memakai selendang yang menampakkan anak rambut dan susuk tubuh badan,’’ katanya.

Zulfazli menambah, tudung sebenarnya perlu digayakan dengan pakaian yang sesuai dengan penampilan seorang muslimah.

Bercerita tentang permintaan dandanan berkonsepkan tudung, Zulfazli berkata, ramai pelanggannya ingin mengenakan tudung pada hari nikah sahaja.

“Mungkin ia satu fesyen yang menjadi ikutan wanita pada hari ini yang hanya memilih hari-hari tertentu untuk bertudung,’’ katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:23
Asar 4:44
Maghrib 7:30
Isyak 8:43

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.