|
Bersama Azman Ismail (adik1102@yahoo.com)
KENZABURO Oe. Beliau merupakan penerima Nobel Kesusasteraan 1994 dan merupakan rakyat Jepun kedua yang diberikan anugerah berprestij tersebut selepas Yasunari Kawabata pada 1968.
‘‘Aku hidup sebagai penulis dengan polarisasi budaya yang tercatat dengan goresan yang teramat dalam pada diri ini,” katanya pada pidato penerimaan anugerah itu dengan suara yang tersekat-sekat.
Nada suara Oe itu sebenarnya adalah rasa bangga terhadap kejayaannya mengenengahkan budaya, pemikiran dan bahasa Jepun ketika berkarya. Apa lagi beliau lahir daripada sebuah potret paling nyata modenisasi Jepun yang berusia lebih 120 tahun yang diasaskan oleh Maharaja Meiji.
Perlu diingatkan, Oe lahir pada 1935 dalam sebuah kepompong kebudayaan tradisional Jepun yang masih menebal sebelum negaranya terlibat secara langsung dalam Perang Dunia Kedua.
Mendapat pendidikan awal di pulau Shikoku dan seterusnya pendidikan menengah di Matsuyama serta pendidikan tinggi di Universiti Tokyo dalam bidang kesusasteraan Perancis.
Beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam kajian mengenai tokoh sastera dan falsafah Perancis, Jean-Paul Satre serta Albert Camus.
Novel pertamanya ialah Memushiri Kouchi yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris sebagai Pluck The Buck and Destroy the Offspring (1958).
Ketika karya itu lahir, pelbagai lapisan masyarakat Jepun berebut-rebut untuk membacanya. Hasilnya, kedai-kedai buku di negara itu terpaksa memohon cetakan tambahan bagi memenuhi pasaran.
Berapa jualan Memushiri Kaouchi? Lebih tiga juta naskhah di Jepun (belum termasuk yang diterjemahkan ke bahasa asing).
Begitu juga dengan beberapa karyanya yang lain. Misalnya, Hiroshima Nooto (1964) dan Sora No Kaibutsu Aguii’ (1964). Jumlah jualannya sangat luar biasa.
Dalam sebuah tulisannya, Oe menulis, ‘‘karya-karya saya menjadi kuat kerana saya menulis dalam bahasa Jepun dan dibaca oleh masyarakat saya sendiri kerana apa yang ditulis adalah tentang diri mereka.”
Secara umumnya tema yang diangkat dalam karya-karyanya menyentuh tentang kekerasan, jenayah seks dan jiwa anak-anak muda Jepun yang mulai kehilangan akar budaya selepas perang berakhir.
Cuba kita putarkan dunia pengkaryaan Oe tersebut ke dalam skop kesusasteraan Melayu, khususnya jumlah pembaca dan jualan karya. Jurangnya seperti langit dengan bumi bukan?
Kenapa karya sastera berbahasa Melayu tidak mempunyai pembaca yang ramai. Adakah mitos purata dua buah buku setahun yang dibaca oleh rakyat negara ini masih menjadi momok?
Kita mempunyai ramai penulis berbakat sama ada mapan atau muda. Mereka mampu menawarkan karya dalam pelbagai tema, gaya atau pendekatan. Tetapi masalahnya rakyat kita tidak gemar membaca seperti mana masyarakat Jepun atau negara-negara maju.
Lebih malang lagi, membaca karya berbahasa Melayu oleh segelintir rakyat negara ini dianggap sebagai sesuatu yang tidak berprestij dan tidak menguasai bahasa asing khususnya Inggeris.
Untuk melihat budaya ini dalam masyarakat Malaysia, kumpulan puisi Rainer Maria Rilke, Buku Catatan Malte Laurids Brigge agak menarik. Dalam sebuah puisinya, Reiner menulis;
Semuanya tidak akan membawa apa-apa erti,
Jika kemalasan terus menguasai,
Manusia akan sama seperti sarung tangan,
Untuk sebuah perjalanan panjang.
IKLAN@UTUSAN
|