|
KUALA LUMPUR 14 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak terpengaruh dengan sebarang kaji selidik yang menggambarkan indeks rasuah di negara ini semakin tinggi.
Menurut beliau, indeks rasuah tersebut menggunakan metodologi yang tidak diketahui sedangkan kerajaan telah lama berusaha keras memerangi jenayah rasuah daripada berleluasa.
“Banyak perkhidmatan seperti ini ada dalam pasaran dan kita tidak tahu kaedah metodologi yang digunakan.
“Ini mungkin masalah persepsi yang kita hadapi,” kata beliau pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Sumbangan Mangsa Banjir daripada warga awam Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah badan Jururunding Risiko Ekonomi dan Politik Hong Kong yang menyebut kaji selidik mereka menunjukkan rasuah semakin buruk di Malaysia berbanding tahun lalu.
Dalam sistem penilaian kaji selidik itu yang bermula dari tempat pertama hingga 10, Malaysia diletakkan di tempat ketujuh.
Najib berkata, langkah memerangi rasuah merupakan usaha berterusan yang dilakukan dengan sehabis baik di semua peringkat.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|