|
KUCHING 9 Mac – Sebagai satu usaha untuk meningkatkan motivasi polis Sarawak, isteri anggota polis di negeri ini disaran supaya ‘memarahi’ suami mereka yang pulang awal atau ponteng tugas.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Talib Jamal berkata, tindakan isteri memarahi suami mereka yang pulang awal atau ponteng kerja merupakan budaya suri rumah di Jepun.
Katanya, cara itu berkesan dalam memberikan motivasi kepada suami supaya berkhidmat lebih cemerlang dalam kerjaya yang menjadi tunjang kecemerlangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
‘‘Diharap isteri anggota polis tidak akan marah jika suami mereka pulang lewat daripada bertugas sebaliknya marahilah suami mereka yang pulang kerja awal iaitu sebelum tamat waktu kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Agung Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Polis (Perkep) Kontinjen Sarawak di sini semalam.
Tambah Talib, isteri anggota polis perlu menegur suami yang alpa dalam tugas kerana kejayaan anggota polis membimbing dan mendisiplinkan keluarga akan memberi gambaran positif kepada masyarakat.
Beliau berkata, isteri anggota polis berperanan membantu meningkatkan produktiviti dengan memberikan galakan supaya bekerja bersungguh-sungguh, ikhlas, menolak rasuah dan tidak menyalahgunakan kuasa.
‘‘Dorongan isteri supaya suami mereka bertugas dengan penuh dedikasi bakal memberikan peluang lebih cerah untuk suami naik pangkat,” katanya.
IKLAN@UTUSAN
|