Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
LUAR NEGARA

ARKIB : 05/03/2007
Gerhana bulan penuh dalam tempoh tiga tahun

Gerhana bulan penuh dalam tempoh tiga tahun


KOMBINASI lapan keping gambar dari kiri ke kanan menunjukkan perubahan bayang bulan sewaktu gerhana penuh yang dirakamkan dari atas Gunung Vodno, selatan Skoje, ibu negara Macedonia, awal pagi semalam. – AP.


LONDON 4 Mac. – Ahli-ahli kaji bintang amatur seluruh dunia semalam dilihat begitu teruja bersama-sama dengan teleskop dan teropong masing-masing menyaksikan gerhana bulan pertama yang berlaku dalam tempoh tiga tahun.

Dalam kejadian ini, bulan beransur-ansur berubah menjadi warna merah tembaga ketika terkena cahaya matahari yang hampir sepenuhnya ditutupi bumi.

Cahaya matahari memancar ke bulan semasa gerhana penuh tetapi cahaya itu terbias oleh atmosfera bumi menyebabkan cahaya merah menyelubungi bulan.

Gerhana ini dapat dilihat sebahagian atau sepenuhnya di semua benua tetapi penduduk di Eropah, Afrika dan Timur Tengah dapat melihat dengan lebih jelas jika cuaca cerah dan tidak berawan.

Gerhana bulan berlaku apabila bumi berada di antara matahari dan bulan dalam satu garisan lurus.

Dalam kata lain, bulan berada dalam kedudukan bertentangan dengan bumi dan terlindung dari matahari.

Walaupun keadaan berawan dilihat di kebanyakan negara Eropah, pelbagai penyiar laman web telah menyiarkan siaran langsung gerhana ini dan ahli kaji bintang menggesa orang ramai supaya tidak ketinggalan menyaksikan peristiwa menarik itu.

“Ia bukanlah sekadar satu peristiwa yang mempunyai nilai saintifik tetapi merupakan peristiwa yang dapat dinikmati dan menghiburkan semua orang,” kata jurucakap Persatuan Astronomi Diraja Britain, Robert Massey.

Bayangan bumi dilihat mula bergerak melintasi bulan pada pukul 4.18 pagi waktu Malaysia dan gerhana penuh berlaku pada pukul 6.44 pagi waktu Malaysia selama lebih sejam.

Penduduk di timur Asia dapat melihat seketika gerhana ini semasa bulan terbenam manakala penduduk di timur bahagian utara dan selatan Amerika dapat melihat sebahagian atau sepenuhnya gerhana bulan ini.

Penduduk di timur Australia, Alaska dan New Zealand yang tidak dapat menyaksikan gerhana ini mungkin akan dapat menyaksikan gerhana kedua yang dijadualkan pada 28 Ogos ini dengan jelas.

– AP

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN