VERSI : Mobile | Akhbar Digital
22 Ogos 2014 / 26 Syawal 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 01/03/2007

Menghadapi cabaran negara maju

SEMALAM genap 16 tahun usia Wawasan 2020 setelah ia dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 28 Februari 1991.

Jika semua yang dirancang berjalan lancar, Malaysia akan menjadi negara Islam pertama muncul sebagai negara maju dalam tempoh 13 tahun lagi.

Ketika itu, Malaysia akan duduk sebaris dengan negara-negara maju lain, yang kebanyakannya terdiri daripada negara Barat.

Tempoh 13 tahun itu dianggap kritikal kerana ia bukanlah jangka masa yang lama, dan memerlukan setiap rakyat bersungguh-sungguh berusaha menjayakan impian tersebut.

Pada waktu ini, ekonomi negara berada dalam kedudukan yang memberangsangkan dengan semua asas ekonomi memberi petunjuk yang positif.

Jika keadaan ini berterusan ia akan membantu menjayakan misi nasional untuk mencapai matlamat ke arah menjadi negara maju.

Walaupun tidak ada kriteria khusus bagi menilai sesebuah negara itu maju atau tidak, tetapi kriteria umum berikut sering dipakai bagi menentukan status sesebuah negara itu:

* Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)

* Indeks Pembangunan Manusia (HDI)

* Pendapatan Per Kapita

* Status Negara Perindustrian dan Berorientasikan Perkhidmatan

* Taraf Hidup yang Tinggi

* Pengagihan Kekayaan yang Seimbang.

Kriteria lain ialah, menikmati pembangunan ekonomi yang tinggi dan pesat, mengamalkan demokrasi dan pasaran ekonomi bebas, serta tidak berlaku rasuah dan penyelewengan.

Taraf hidup yang tinggi bukan sahaja dari segi majoriti rakyatnya memiliki pekerjaan yang baik dan dibayar gaji yang berpatutan, tetapi juga menikmati kualiti hidup yang tinggi.

Ini termasuk keupayaan kerajaan menyediakan kemudahan infra

struktur yang lengkap dan moden bagi dinikmati oleh rakyat.

Selain itu, rakyatnya mempunyai taraf pendidikan yang tinggi dan pengangguran yang hampir sifar.

Secara umumnya, ukuran standard yang digunakan oleh badan-badan antarabangsa itu adalah ukuran bersifat kemajuan fizikal.

Dalam konteks Malaysia, negara maju yang diimpikan ialah negara maju mengikut acuan sendiri, iaitu sebuah negara yang maju bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga maju dari segi rohaninya.

Maka jelaslah satu ukuran standard perlu digunakan terutama bagi mengukur unsur-unsur kemajuan bersifat holistik.

Jika negara-negara Barat yang dikenali sebagai Negara-Negara yang Ekonominya Lebih Maju (MEDC) digolongkan sebagai negara maju atau Negara Dunia Pertama, sudah hilang identiti diri, dan berlaku gejala sosial yang membimbangkan, tetapi Malaysia memilih untuk memulihara institusi kekeluargaan melalui ikatan kasih sayang.

Nilai-nilai murni dan keagamaan akan dipupuk sebagai benteng kerosakan akhlak dan mencegah gejala sosial.

Mengikut ukuran Barat, apabila sesebuah negara itu memperoleh pendapatan per kapita dan HDI yang tinggi melebihi 0.8 mata, negara itu dianggap sebagai negara maju.

Ia juga selalu dikaitkan dengan negara yang mempunyai KDNK per kapita yang tinggi.

Negara Dunia Pertama juga dikenali sebagai negara perindustrian atau negara Utara.

Lawan bagi Negara Dunia Pertama ialah Negara Dunia Kedua - negara-negara komunis (semasa Perang Dingin) dan Negara Dunia Ketiga (negara Selatan) - negara mundur dan miskin.

Negara yang mencatat HDI antara 0.5 dan 0.8 mata (termasuk kebanyakan negara bekas Kesatuan Soviet dan blok Timur) dianggap mengalami pembangunan yang sederhana.

Pertubuhan seperti Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Agensi Perisikan Pusat (CIA), secara umum bersetuju menerima negara-negara berikut yang mempunyai HDI melebihi 0.8 mata sebagai negara maju:

Andorra, Australia, Austria, Belgium, Kanada, Denmark, Finland, Perancis, Jerman, Greece, Iceland, Ireland, Israel, Itali, Jepun, Liechtenstein, Luxembourg, Monaco, Belanda, New Zealand, Norway, Portugal, San Marino, Singapura, Korea Selatan, Sepanyol, Sweden, Switzerland, Taiwan, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Vatican City.

Daripada senarai negara maju itu antara negara yang menikmati KDNK per kapita yang tinggi ialah: Luxembourg (AS$55,100), Amerika Syarikat (AS$37,800) dan Norway (AS$37,800)

Semua negara anggota Kesatuan Eropah (EU) juga mempunyai KDNK per kapita yang tinggi daripada purata global dan pembangunan sumber manusia yang tinggi.

Rusia juga dianggap negara maju oleh sesetengah pertubuhan dan terdiri daripada kelompok G8. Ini kerana negara itu pada satu ketika merupakan negara kuasa besar.

Berbalik kepada Malaysia, negara maju yang ingin dicapai adalah mengikut acuan sendiri, bukan sahaja bermaksud melahirkan negara yang maju dan moden tetapi melahirkan masyarakat yang percaya kepada Tuhan dan berakhlak.

Ini diselaras dengan prinsip Rukun Negara yang pertama dan kelima iaitu Kepercayaan kepada Tuhan dan Kesopanan dan Kesusilaan.

Salah satu daripada 10 prinsip yang terkandung di dalam Islam Hadhari juga menekankan tentang kepentingan akhlak iaitu prinsip kelapan yang menekankan keutuhan budaya dan moral.

Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang masyarakatnya mempunyai akhlak selaras dengan ajaran agama dan budaya pelbagai kaum di negara ini.

Dasar Sosial Negara (DSN) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 19 Ogos 2003, yang ketika itu menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri, mengukuhkan lagi usaha itu.

Maka budaya yang dimaksudkan dalam Wawasan 2020 itu sebenarnya adalah satu budaya hidup yang tinggi nilainya, merangkumi aspek pemikiran, falsafah, etika dan moral.

Di sinilah penekanan diberikan oleh Abdullah dalam dasar pentadbirannya tentang pentingnya usaha melahirkan modal insan kelas pertama dan bertaraf dunia.

Bagaimanapun, penekanan kepada pembangunan fizikal turut diberi perhatian bagi meningkatkan pendapatan per kapita.

Pembangunan kemudahan infrastruktur yang canggih terutama kemudahan pengangkutan awam yang sempurna merupakan pembangunan yang diberi tumpuan.

Pelbagai projek pembangunan ekonomi yang dirancang sama ada di bawah rancangan pembangunan lima tahun turut diberi perhatian bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Kerajaan telah melancarkan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bernilai RM200 bilion bagi menjayakan Misi Nasional ke arah mempercepatkan usaha mencapai status negara maju.

Bagi tempoh 13 tahun akan datang terdapat dua lagi rancangan pembangunan lima tahun iaitu Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) selain RMK-9.

Kepesatan pembangunan ekonomi amat perlu bagi memastikan peningkatan KDNK negara.

Keadaan ekonomi yang mapan, inflasi yang terkawal, di samping perpaduan dan keadaan sosiopolitik yang stabil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan menarik pelaburan asing.

Bagaimanapun, cabaran utama Wawasan 2020 ialah memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus berkembang.

Negara mencatat KDNK sebanyak lima peratus pada tahun 2005 dan 5.5 peratus pada tahun lalu.

Cabaran-cabaran lain bagi Malaysia bergerak ke hadapan, ialah harga minyak yang tinggi, ketegasan dasar kewangan khususnya di Amerika Syarikat dan tekanan geopolitik.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:19
Asar 4:32
Maghrib 7:24
Isyak 8:35

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.