|
Pendapat
KAJIAN Dr. Khaidzir Ismail, Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati 886 dari 887 pelajar perempuan kategori ‘berisiko tinggi’ yang ditemu bual di sekolah menengah sebuah negeri mengaku pernah melakukan seks bebas, adalah amat memeranjatkan, memalukan serta membimbangkan kita semua.
Antara punca kemerosotan akhlak ini yang dikenal pasti penyumbang terbesarnya adalah keluarga bermasalah seperti ibu bapa bercerai, masalah psikologi, tekanan perasaan, kewangan dan kebanyakannya berasal daripada keluarga miskin.
Di sini saya ingin mengajak pembaca menilai kembali kesilapan yang sering kita lakukan sehingga menyumbang kepada permasalahan ini. Pertamanya peranan ibu bapa yang tidak meletakkan perkembangan sahsiah insan dan jati diri anak sebagai keutamaan lagi. Anak-anak menjadi terbiar membangun modal insan sendiri mengikut cita rasa dan acuan sendiri dan ibu bapa tak peduli.
Keduanya peranan guru-guru yang sudah tidak meletakkan pendidikan modal insan secara berpakej lengkap dengan pembangunan moral sekali sebagai matlamat utama pendidikan di sekolah sebaliknya mengutamakan kecemerlangan akademik demi mengejar straight A’s semata-mata. Begitu juga peranan PIBG yang lebih mementingkan kecemerlangan akademik dengan meletakkan agenda mengejar ‘A’ juga matlamat utama.
Akhirnya fokus pendidikan di sekolah hanya tertumpu kepada pelajar terbaik harapan atau kelas-kelas elit sahaja dalam masa yang sama pelajar yang tidak cemerlang akan hanyut tanpa cita-cita dan pedoman serta panduan daripada guru-guru. Anak-anak tiri ini akan hilang fokus pada pelajaran dan motivasi membangun insan di sekolah kerana guru sering tidak mengajar atau mengajar sambil lewa kerana mereka bukanlah aset penting kepada sekolah lagi.
Jika ada peluang kursus motivasi atau bengkel kecemerlangan, pelajar-pelajar ini sering tersisih. Hasilnya separuh daripada mereka akan suka ponteng sekolah dan menumpukan minat mereka pada aktiviti liar di luar sekolah dengan menipu ibu bapa keluar rumah dengan pakaian seragam sebaliknya menukar baju di kompleks-kompleks perniagaan dan seterusnya berseronok dengan rakan-rakan.
Kepincangan pendekatan kita mengurus anak-anak remaja adalah kunci kepada kemerosotan mendadak nilai moral mereka. Peruntukan masa di rumah dan masa di sekolah tidak digunakan sebaik mungkin membentuk sahsiah terbaik mereka. Matlamat kita membesarkan anak-anak sudah mula terpesong jauh dan saya amat yakin kebejatan nilai moral remaja pada hari ini khususnya yang terjebak dengan ‘mat rempit’ dan ‘bohsia’ berpunca dari kesilapan acuan pembentukan sahsiah tersebut.
Melalui temu bual saya dengan beberapa orang anak-anak muda berumur 15 hingga 17 tahun yang gemar merempit di kawasan ini, ternyata mereka amat terbuka berbicara topik melakukan seks bebas dengan mana-mana gadis yang mereka berkenan. Malah mereka bebas bertukar-tukar pasangan dan kebiasaannya mereka tidak pernah gagal memujuk pasangan melakukan seks tanpa rasa bersalah atau takut jika diketahui ibu bapa atau penjaga mereka.
Keterbukaan yang dipamerkan oleh remaja ini amat memeranjatkan saya malah mereka mampu menyenaraikan mana-mana satu bohsia dalam kelompok mereka yang hebat dan yang mana teruk.
Nyata dan jelas kajian serta statistik yang menggemparkan berkaitan keruntuhan moral anak muda kita pada hari ini sudah sampai ke tahap kronik dan amat membimbangkan.
Gejala dadah dan membuang bayi adalah antara implikasi yang terhasil dari masalah sosial ini, dan yang paling membimbangkan adalah peratusan tinggi anak-anak muda generasi pelapis Melayu yang bakal rosak menjadi sampah dalam masyarakat dan membebankan kerajaan bagi mengurus dan memulihkan mereka semua.
Pembangunan modal insan akan gagal, Agenda Melayu akan gagal dan akhirnya pembentukan sebuah bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang juga akan terbantut.
Melentur buluh sedari rebung adalah pendekatan terbaik. Kaji dan bangunkan semula sistem keluarga dan pendidikan di sekolah yang semakin pincang pada hari ini.
– SAMSUDIN ISMAIL,
Gelang Patah, Johor.
IKLAN@UTUSAN
|