VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 April 2014 / 24 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
LAPORAN KHAS

ARKIB : 24/02/2007

10 juta rakyat Malaysia gemuk

KUALA LUMPUR 23 Feb. – Hampir 10 juta penduduk negara ini menghadapi masalah kegemukan, kebanyakannya berpunca daripada pengambilan makanan segera yang melampau.

Anggaran tersebut merangkumi mereka yang melebihi berat badan ideal melalui pengiraan Indeks Jisim Tubuh (BMI).

Pegawai Sains Bahagian Reproduksi Manusia Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Kamarul Faridah Kamarul Zaman berkata, masalah itu diburukkan dengan sikap ibu bapa yang mengambil jalan mudah memberikan anak mereka makanan segera untuk menjimatkan masa.

‘‘Setiap set hidangan tiga ketul ayam goreng mempunyai lebih 1,000 kalori sedangkan kita hanya memerlukan kira-kira 1,600 kalori setiap hari.

‘‘Ditambah pula dengan penyediaan khidmat penghantaran cepat oleh sesetengah restoran makanan segera, semakin ramai yang tidak mengamalkan cara pemakanan sihat.

‘‘Kajian terhadap aktiviti fizikal penduduk pula menunjukkan 70 peratus rakyat negara ini tidak bersenam, menggandakan risiko terhadap arteri koronari tersumbat dan kencing manis,” katanya kepada pemberita selepas ceramah cara mengatasi masalah 3G (gebu, gempal dan gemuk) di sini hari ini.

Beliau berkata, pengharaman iklan makanan segera juga tidak bermakna jika orang ramai tidak dididik mengubah cara pemakanan mereka, terutamanya bagi kanak-kanak sekolah.

Jelasnya, jika langkah tersebut diteruskan, pihak peniaga juga pasti dapat mencari cara lain untuk mempromosikan produk mereka seperti yang dilakukan dalam pemasaran rokok kini melalui mesej tersembunyi.

Cadangan menghentikan pengiklanan makanan segera dibuat Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek pada 16 Februari lalu dalam usaha meningkatkan mutu kesihatan penduduk negara ini.

Soi Lek juga telah mengesahkan cadangan itu akan dikemukakan ke Kabinet secepat mungkin.

Cadangan itu mendapat sokongan banyak pihak termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Penerangan, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Dalam pada itu, Kamarul Faridah turut mengingatkan orang ramai agar bijak memilih makanan ketika berada di luar, terutamanya untuk anak mereka.

‘‘Banyak pembuat biskut dan kek juga kini menggunakan lemak trans yang boleh menyebabkan masalah berat badan dan penyakit jantung.

‘‘Menggantikan nasi dengan mi juga tidak akan membantu menguruskan badan memandangkan kedua-duanya mempunyai jumlah kalori yang hampir sama,’’ katanya.

Menurutnya, setiap pinggan makanan berminyak seperti nasi, mi dan kuetiau goreng pula mempunyai jumlah kalori yang sangat tinggi, mencecah satu pertiga jumlah kalori yang sepatutnya diambil setiap hari.

Beliau turut menasihatkan orang ramai mendidik anak-anak memakan lebih banyak buah dan sayur dari usia muda bagi menjamin kesihatan mereka.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh
Zohor
Asar
Maghrib
Isyak
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.