VERSI : Mobile | Akhbar Digital
19 April 2014 / 19 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
FORUM

ARKIB : 23/02/2007

Kaji punca sebenar tubuh jadi gemuk

SEJAK kebelakangan ini, berita-berita berkenaan program melangsingkan badan dan kesan buruknya hangat diperkatakan.

Angka RM9 juta setahun perbelanjaan melangsingkan badan tentunya amat konservatif berbanding keadaan sebenar.

Jika dianggarkan 15 ke 18 peratus daripada 24 juta orang penduduk Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan, ini menjadikan jumlah mereka 3.6 ke 4.32 juta orang.

Sekiranya setiap orang boleh membelanjakan RM500 sahaja untuk sekali pembelian produk melangsingkan badan, maka jumlah perbelanjaan menjadi RM1.8 bilion ke RM2.16 bilion.

Maka, tidaklah memeranjatkan sekiranya terdapat begitu banyak syarikat dan orang persendirian yang mengambil kesempatan ke atas mereka.

Tambahan pula, tiga hingga empat peratus daripada mereka berada pada tahap kritikal dan tidak tahu apa yang perlu dibuat.

Mereka terpaksa memikirkan yang mereka ditakdirkan menjadi obes. Mereka rela hidup terseksa dengan keadaan mereka, berjalan termengah-mengah, terpaksa mencari pakaian bersaiz XXXL, menghabiskan satu pertiga daripada pendapatan untuk makanan dan menanggung pelbagai penyakit dan kanser yang berkaitan dengan obesiti.

Sebenarnya menjadi kurus, gemuk atau obes adalah suatu pilihan. Setiap orang boleh memilih untuk menjadi kurus atau gemuk. Perbezaannya, pemilihan ini boleh dibuat secara sedar atau tidak. Ia bergantung kepada pengetahuan yang mereka peroleh.

Sekiranya mereka memahami dan mengkaji bagaimana badan boleh gemuk dan kurus, mereka boleh memilih apakah jenis badan yang mereka kehendaki.

Banyak faktor yang menyebabkan manusia menjadi gemuk. Faktor-faktor dalaman seperti genetik dan penyakit memerlukan rawatan khusus dari pakar perubatan. Akan tetapi ramai yang menjadi gemuk disebabkan faktor luaran yang berkaitan perangai pemakanan keluarga, adat resam, kebudayaan, pengaruh rakan sebaya dan persekitaran yang menjadikan mereka cenderung menjadi obes.

Sekiranya mereka ini dilengkapkan dengan pengetahuan yang betul sejak dari kecil, tentunya mereka dapat membuat pilihan yang bijak dan tepat.

Malangnya dalam banyak keadaan, mereka mendapat maklumat yang salah dan mengelirukan. Mereka yang terlibat dengan industri ini memberikan maklumat yang jauh menyimpang dari yang sepatutnya.

Mungkin mereka sendiri tidak tahu atau sengaja melindunginya demi kepentingan diri. Mereka lebih menitikberatkan penjualan produk yang diragui keselamatan dan keberkesanannya tanpa mengira akibatnya kepada pengguna.

Selalunya pengguna seolah-olah terjerat dan terpaksa menggunakan produk secara berterusan. Sekiranya tidak, berat badan mereka akan naik semula secara mendadak.

Malah, kajian ada menunjukkan hampir 90 peratus pengguna produk atau program melangsingkan badan akan kembali ke berat asal selepas 5 tahun. Ini adalah satu pembaziran yang ketara.

Masalah ini dapat dielakkan dan diperbetulkan semula hanya dengan satu cara iaitu pendidikan dan pengetahuan.

Pengalaman yang ringkas, tepat, menyeluruh dan boleh difahami dan dipraktikkan oleh semua peringkat adalah jawapan kepada masalah ini. Pepatah ada menyatakan “anda adalah apa yang anda baca dan anda adalah apa yang anda makan” menepati falsafah ini.

Oleh yang demikian, dinasihatkan supaya pengguna mencari pengetahuan khusus tentang obesiti dan cara mengatasinya daripada mereka yang berkelayakan dan diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan.

Penggunaan produk atau pil (walaupun ia sah) hanyalah satu jalan pintas jangka pendek yang kerap kali mengundang kekecewaan.

Tetapi sekiranya anda “tahu bagaimana badan boleh kurus” anda akan kurus sepanjang hayat tanpa produk dan pil.

Maka dengan ini, saya sebagai pengamal perubatan berdaftar menawarkan khidmat nasihat dan tip-tip untuk mengurangkan berat badan dengan cepat dan selamat melalui pengetahuan khusus secara percuma.

Mereka yang memerlukan boleh menulis kepada saya, Dr. Othman Suleiman di alamat No. 27, Sirusa Jaya, Bt. 6, Jalan Pantai, 71050 Sirusa Port Dickson atau email obsulyman23@yahoo.com.

Insya-Allah, semoga sumbangan yang sedikit ini dapat membantu mereka yang memerlukan dan mengelakkan mereka dari pihak yang tamak dan mengaut keuntungan dari masalah orang lain.

– DR. OTHMAN SULEIMAN,

Port Dickson,

Negeri Sembilan.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.