Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 23/02/2007
‘Malaysia-Indonesia tetap sahabat sejati’

‘Malaysia-Indonesia tetap sahabat sejati’


ABDULLAH Ahmad Badawi menerima anugerah tertinggi Indonesia, Bintang Republik Indonesia Adipradana daripada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono di Jakarta, semalam. – Gambar AFP.


JAKARTA 22 Feb. – Malaysia dan Indonesia akan terus menjadi sahabat sejati dan tetap bersama semasa susah atau senang.

Komitmen itu ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono di sini hari ini.

Kata Abdullah, persahabatan Malaysia dan Indonesia akan sentiasa berkekalan tanpa mengira waktu – sama ada semasa susah atau senang.

Ini dibuktikan apabila kedua-dua negara saling memberikan bantuan semasa berlaku bencana alam seperti banjir, gempa bumi dan tsunami selain kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan dan keselamatan, kata Perdana Menteri.

Katanya, sewaktu banjir di Johor, Indonesia turut menghantar bantuan sementara dan semasa banjir di Jakarta baru-baru ini, kerajaan Malaysia pula membantunya.

Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap selepas menerima anugerah tertinggi Indonesia untuk tokoh luar negara, Bintang Republik Indonesia Adipradana daripada Susilo di Istana Merdeka di sini hari ini.

Anugerah itu sebagai penghargaan atas jasa-jasa Abdullah terhadap negara dan bangsa Indonesia.

Abdullah merupakan pemimpin Malaysia pertama menerima anugerah utama republik itu, yang disifatkan Susilo sebagai mencerminkan keakraban dua negara yang bukan sahaja serumpun tetapi bersaudara.

Perdana Menteri mengharapkan agar kerajaan yang beliau pimpin akan menjalin hubungan dua hala yang lebih baik dengan Indonesia dalam bidang ekonomi dan bidang-bidang lain.

‘‘Saya amat terharu dan bersyukur ke hadrat Ilahi kerana apabila banjir berlaku di Johor baru-baru ini, kerajaan Indonesia telah menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir,” kata Abdullah.

Katanya, hubungan Malaysia dan Indonesia pada waktu ini amat baik sekali dan ia memberikan kebaikan serta keuntungan kepada kedua buah negara.

Beliau yakin kerjasama Malaysia dan Indonesia mampu diperluas dan dipertingkatkan lagi di peringkat menteri, swasta, ahli perniagaan dan perusahaan selain di peringkat rakyat untuk membuktikan dua buah negara anggota OIC dapat bekerjasama.

Sementara itu, Susilo menyatakan beliau terharu dengan pendirian Abdullah untuk menjadikan Malaysia dan Indonesia sebagai sahabat sejati semasa susah dan senang.

‘‘Terima kasih bapak Perdana Menteri, kami semua cukup tersentuh dengan pernyataan bapak (Abdullah) bahawa sahabat sejati adalah sahabat dalam suka dan duka,’’ ujar Susilo.

Beliau juga berterima kasih di atas bantuan Malaysia, baik pemerintah mahupun rakyat terhadap Indonesia kerana membantu semasa tsunami di Aceh, gempa di Yogyakarta serta bantuan banjir di Jakarta.

Susilo percaya kerjasama Indonesia dan Malaysia akan menjadikan kedua-dua negara lebih sejahtera ke arah mencapai tahap “rahmatan lilalami” (kerahmatan untuk seluruh alam).

Beliau berkata, kerjasama yang dibangunkan dalam suasana penuh persahabatan dan kekeluargaan telah mewujudkan banyak kefahaman dan kesepakatan dalam pelbagai bidang kerjasama seperti ekonomi, perdagangan, pelaburan, pertahanan dan keamanan.

Selain itu, katanya, Malaysia dan Indonesia juga mahu meningkatkan hubungan erat dalam kerjasama tenaga kerja, pendidikan, perbatasan (sempadan) dan imigresen.

“Kepelbagaian kefahaman menunjukkan betapa kukuhnya hubungan kerjasama lateral (dua hala). Kerjasama yang erat, saya percaya pelbagai isu atau persoalan yang belum diselesaikan boleh diselesaikan dengan penuh semangat persahabatan dan persaudaraan,” katanya.

Sebelum majlis anugerah itu, Susilo dan Abdullah mengadakan pertemuan dua hala bagi membincang dan menilai bidang kerjasama antara dua negara yang terjalin sehingga kini.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN