|
![]() |
|
Abdul Manap Abd. Wahab. |
KUALA LUMPUR 19 Feb. – Harapan Bank Muamalat Malaysia Bhd. (Bank Muamalat), bank Islam kedua terbesar di negara ini untuk terus mengukuhkan kedudukan kewangannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2006 dilihat bakal menjadi kenyataan.
Ini berikutan kejayaan bank itu melaksanakan strategi memberi fokus kepada sektor pembiayaan perniagaan.
Bank milik tokoh korporat tempatan, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary itu akan mengumumkan keputusan kewangannya pada akhir bulan ini dengan angka-angka yang dijangka lebih baik berbanding tahun sebelumnya, termasuk kadar pertumbuhan pinjaman, aset dan deposit yang membanggakan.
Prestasi kewangan Bank Muamalat kembali pulih selepas mencatat keuntungan bersih sebanyak RM32.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2005 berbanding kerugian bersih sebanyak RM27.3 juta pada tahun sebelumnya.
Keuntungan pada tempoh tersebut merupakan yang terbaik sejak ia mula beroperasi pada tahun 1999 dan antara faktor kejayaan itu adalah kerana langkah memperkemaskan operasi perniagaannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Abdul Manap Abd. Wahab berkata, antara penyumbang terbesar kepada pengukuhan kewangan Bank Muamalat pada tahun lalu adalah daripada sektor pembiayaan perniagaannya yang menguasai hampir 40 peratus daripada aktiviti perbankan.
Jelasnya, sektor itu mula diberi tumpuan pada awal tahun 2005 setelah bank itu menjalankan kajian mendalam dalam sektor berkenaan bagi mencari kelainan berbanding produk-produk perbankan Islam yang ada di pasaran.
‘‘Semua produk yang ditawarkan oleh perbankan Islam sekarang boleh kita anggap sama sahaja tetapi perbezaannya adalah terletak pada kelainan cara yang diperkenalkan oleh bank itu kepada pelanggan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Bank Muamalat yang pernah membelanjakan sebanyak RM34 juta bagi skim pemberhentian sukarela (VSS) melibatkan 230 kakitangannya pada bulan Jun 2004 itu kini mempunyai 1,300 kakitangan yang berkhidmat di 43 cawangan dan tujuh buah pusat perkhidmatannya di seluruh negara.
Daripada 43 cawangan itu, 17 daripadanya terletak di Lembah Klang.
Abdul Manap yang memiliki pengalaman selama 20 tahun di arena perbankan dan kewangan itu berkata, Bank Muamalat kini menetapkan sasaran 60 peratus daripada perniagaannya difokuskan kepada sektor berkenaan manakala 40 peratus untuk sektor pembiayaan peribadi.
Antara usaha agresif bank berkenaan dalam sektor tersebut ialah menubuhkan lebih banyak pusat pembiayaan perniagaan yang kini terdapat sebuah cawangan masing-masing di Kuala Lumpur dan Shah Alam, Selangor.
Selain cawangan terbarunya di Pulau Pinang, bank itu bakal membuka pusat pembiayaan perniagaan di Kota Bharu, Kelantan, Johor Bharu, Johor dan Kuching, Sarawak.
Menurut Abdul Manap, melalui pusat pembiayaan perniagaan yang dikendalikan oleh kira-kira lima hingga lapan kakitangan itu, kumpulan berkenaan akan mencari ahli-ahli perniagaan yang berpotensi untuk melanggan pelbagai produk dalam sektor berkenaan.
‘‘Tahun lalu pertumbuhan pinjaman dalam sektor itu adalah lebih RM300 juta dan ini adalah angka yang membanggakan untuk tahun permulaan. Kita jangkakan pertumbuhan pinjaman bagi sektor berkenaan bertambah kepada RM500 juta pada tahun 2006,” ujarnya.
Antara produk popular dalam sektor tersebut ialah M-Cash atau overdraf (produk perbankan konvensional), pembiayaan perdagangan, jaminan bank dan pembiayaan kontrak.
‘‘Kelainan produk kita jika dibandingkan dengan bank-bank lain ialah terletak pada perkhidmatan dan layanan yang diberikan kepada pelanggan serta kecepatan masa yang diambil untuk memproses mana-mana permohonan serta transaksi perbankan,’’ tambahnya.
IKLAN@UTUSAN
|