|
DUA belas tahun lalu, Orak Arek hanya sekumpulan ‘budak kampung' yang suka-suka bermain muzik pada waktu lapang di bawah ketapang.
Hari ini, nasib membawa mereka kepada dunia yang lebih luas. Begitulah tuah kumpulan yang dianggotai 10 ahli ini.
Satu demi satu kenangan manis dicatat ketika Orak Arek melepasi usia satu dekad. Bermula dengan persembahan kenduri kahwin, Orak Arek kini sudah mampu berdiri megah apabila mereka sering dijemput pada majlis korporat dan kerajaan.
Paling dikenang apabila mereka diundang membuat persembahan di hadapan Yang di-Pertuan Agong dan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.
Terbaru, persembahan mereka dapat disaksikan pada majlis perkahwinan pelakon veteran popular Aziz Sattar dan penyanyi Nash akhir tahun lalu.
Namun 6 Mac ini bakal mengubah impian Orak Arek yang selama ini barangkali hanya bermimpi ke luar negara.
Kota London dan Manchester menunggu kehadiran mereka apabila kumpulan itu diundang membuat tiga persembahan di sana. Undangan tersebut dibuat oleh Persatuan Penduduk Melayu UK dan mereka akan beraksi di Malaysian Hall, London.
Tentunya orang yang paling bangga ialah Anjie, pengasas dan ketua kumpulan Orak Arek. Penat lelahnya selama ini berbaloi dengan kejayaan kumpulannya itu.
“Sebenarnya Orak Arek tidak pernah terfikir membuat persembahan di luar negara. Tujuan kami sewaktu awal kemunculan hanyalah untuk memperjuangkan irama muzik Melayu lama dan asli secara akustik.
“Tapi mungkin ini rezeki kami apabila mendapat perhatian orang luar walaupun kurang popular di negara sendiri,” katanya pada pertemuan di Cafe Orak Arek di Bangi Lama, Selangor baru-baru ini.
Selain Anjie, Orak Arek turut dianggotai Ucop, Azlan, Roslan, Halim, Jimi, Azira, Dila, Along dan Zul.
Bagi Anjie, undangan ke London dan Manchester membuktikan konsep muzik mereka dapat diterima seluruh dunia dan semakin dihargai ramai.
Paling penting, Anjie bangga apabila lagu-lagu Melayu dari tahun era 30-an hingga hari ini akan dipersembahkan di sana.
Dan kesempatan menonton persembahan Orak Arek baru-baru ini telah merungkai rahsia unik kumpulan ini.
Persembahan mereka begitu santai dan membuai perasaan melalui alatan muzik tanpa elektrik.
Mereka memang layak beraksi di luar negara dan tidak perlu malu dengan konsep kumpulan mereka. Kini, Orak Arek sedang meniti hari untuk terbang jauh beribu batu ke tempat yang sebelum ini hanya ditonton di kaca TV.
Kenali Orak Arek
*Mereka mula bermain muzik sejak 12 tahun lalu di pekan Bangi Lama, Selangor.
*Keunikan Orak Arek ini pastinya terletak pada alat muzik akustik yang mereka gunakan.
*Alat-alat muzik tersebut antaranya bongo, conga, seruling buluh, maracas, tambarin, darbuka, biola, gitar akustik dan gitar bass akustik.
*Orak Arek dianggotai 10 orang ahli (termasuk dua penyanyi) terdiri daripada pelbagai lapisan umur iaitu bermula 16 tahun hingga 55 tahun.
*Konsep lagu-lagu kumpulan ini ialah nusantara, tradisional, asli dan nostalgia.
MAKLUMAN: Kumpulan Orak Arek akan membuat persembahan di Lanai Seni (bersebelahan panggung Coliseum), Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur esok (Sabtu 17 Februari) dari pukul 8.30 malam hingga 10.30 malam.
IKLAN@UTUSAN
|