Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 08/02/2007
Cuma pekerja layak -- Perlu ditawar bekerja di sektor awam hingga umur 60 tahun

Cuma pekerja layak -- Perlu ditawar bekerja di sektor awam hingga umur 60 tahun

KUALA LUMPUR 7 Feb. – Cadangan melanjutkan tempoh persaraan kakitangan awam daripada umur 55 kepada 60 tahun perlu dibuat secara terpilih dengan mereka yang berkebolehan dan berkemampuan sahaja ‘dipelawa’ untuk terus berkhidmat hingga usia tersebut.

Ini kerana, tidak semua kakitangan di sektor awam mempunyai keupayaan untuk berkhidmat hingga berumur 60 tahun berdasarkan faktor produktiviti dan kesihatan.

Cadangan tersebut jika dilaksanakan dibimbangi boleh menjejaskan produktiviti berdasarkan tempoh perkhidmatan terlalu panjang sehingga melebihi 35 tahun selain ada yang terpaksa bergelut dengan masalah kesihatan hingga membebankan kerajaan.

Oleh itu, pelanjutan tempoh persaraan berasaskan tawaran itu akan memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dan diperlukan sahaja ‘dipelawa’ untuk terus berkerja hingga usia 60 tahun.

Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Hashim Mohd. Ali berkata, tidak semua jawatan boleh dipertimbangkan untuk dilanjutkan tempoh perkhidmatan.

“Ini perlu diteliti dan dipertimbangkan mengikut tugas yang mereka pikul,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Bagi ATM, katanya, mungkin tidak sesuai jika menghantar tentera yang sudah berusia ke medan perang yang mana tugas itu seharusnya dipikul oleh anggota muda.

Tetapi cadangan itu, katanya, sesuai dilaksanakan untuk jawatan tertinggi dalam pasukan bersenjata seperti panglima.

“Ia bagi membolehkan seseorang pemerintah tertinggi tentera melaksanakan segala perancangan yang telah dibuat sebelum ini,” katanya.

Isnin lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyuarakan pendapat bahawa usia persaraan 55 atau 56 tahun untuk kakitangan awam adalah terlalu awal dan ‘muda’.

Abdullah berkata demikian sebagai reaksi kepada cadangan Presiden Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Malaysia (PPTD), Tan Sri Aseh Che Mat supaya umur persaraan kakitangan awam dinaikkan kepada 60 tahun.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan berkata, produktiviti dan prestasi pekerja perlu dititikberatkan sebelum sesuatu kontrak perkhidmatan ditawarkan kepada pekerja yang telah mencecah usia 55 tahun.

“Kita tidak mahu pekerja yang bekerja sambil lewa dan menunggu masa untuk bersara pada usia wajib 55. Apa yang kita mahukan ialah mereka yang sihat dan bekerja bersungguh-sungguh untuk kemajuan syarikat,” katanya.

Menurut Shamsuddin, sekiranya jangka hayat penduduk Malaysia yang semakin panjang iaitu 74 tahun bagi wanita dan 72 tahun bagi lelaki dijadikan asas melaksanakan cadangan itu, ia perlu dilakukan secara berperingkat.

“Hanya dengan cara ini kerajaan boleh membuat perancangan bagaimana untuk menyediakan pekerjaan kepada ribuan lepasan sekolah dan universiti,” katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Loke Yim Pheng juga berpendapat bahawa lanjutan tempoh perkhidmatan kakitangan awam perlu dilakukan secara terpilih dengan memberi keutamaan kepada bidang yang kritikal.

Dalam bidang perguruan katanya, lanjutan tempoh perkhidmatan boleh dijadikan pilihan kepada guru yang mengajar mata pelajaran kritikal seperti Matematik dan Sains bagi menampung kekurangan tenaga pengajar.

“Mereka yang mengajar subjek kritikal sahaja wajar dipertimbangkan supaya tidak menjejaskan peluang bekerja bagi graduan yang baru keluar dari institusi perguruan,” jelasnya.

Bagaimanapun, Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang mewakili lebih sejuta kakitangan awam mengalu-alukan cadangan melanjutkan usia persaraan kepada 60 kerana selaras dengan perjuangan kesatuan itu sejak 1999.

Beliau menyangkal dakwaan jika umur persaraan dilanjutkan sehingga 60 tahun, golongan muda tidak berpeluang untuk bekerja di sektor awam.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pegawai Kanan Polis Cawangan Inspektor, Cif Inspektor Basharuddin Mohd. Nordin berpendapat, semua peringkat pegawai dan bukan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkemampuan untuk berkhidmat sehingga umur 60 tahun.

“Saya lihat ramai anggota polis apabila bersara menceburi sektor keselamatan di syarikat-syarikat swasta.

“Ini membuktikan mereka masih mampu untuk memberikan khidmat pada usia tersebut,” ujarnya.

Beliau menarik perhatian di negara-negara maju seperti United Kingdom telah melaksanakan had usia persaraan anggota polis pada 60 tahun.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN