Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
FORUM

ARKIB : 02/02/2007
Lagi reaksi terhadap Rosnah

Lagi reaksi terhadap Rosnah

NOTA
RUANGAN Forum Utusan Malaysia menerima banyak reaksi menerusi e-mel dan surat berhubung kenyataan aktres Rosnah Mat Aris yang menyentuh secara sensitif status usia isteri Nabi Muhammad s.a.w, Siti Khadijah.

Kenyataan Rosnah itu dibuat ketika beliau menjawab soalan dalam segmen bual bicara, program Sensasi terbitan TV3, Selasa lalu.

Berikut adalah empat daripada sebahagian reaksi, yang dapat disiarkan.

– Pengarang.

REAKSI 1

Program Sensasi TV3 perlu kawalan
SEGALA puji serta selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w serta keluarga dan para sahabat.

Saya terpanggil mengulas kenyataan yang menggunakan Nabi junjungan kita sebagai contoh persamaan. Pada saya itu perbuatan tidak bermoral dan tidak bermaruah.

Sebaik sahaja mendengar kenyataan Rosnah Mat Aris disusuli dengan tepukan para penonton di studio, saya berasa teramat kecewa kerana bukan sahaja artis yang membuat kenyataan menghina Nabi junjungan kita, malahan kumpulan manusia yang berada dalam studio semasa program tersebut terlibat kerana bertepuk tangan dengan gembira menyetujui kenyataan Rosnah.

Kenyataan artis yang dangkal ini amat berbahaya. Kita telah lihat banyak kejadian lepas yang menghina Rasulullah s.a.w mendapat tentangan daripada umat Islam yang prihatin.

Perkara yang sama perlu dikenakan kepada artis berkenaan agar beliau sedar dan tidak terus terlanjur.

Program Sensasi terbitan TV3 perlu ada sedikit kawalan, walaupun berkonsepkan terbuka dalam mengeluarkan pendapat. Ternyata kenyataan sedemikian adalah memudaratkan dan tidak bermanfaat kepada masyarakat Islam terutamanya.

– MALEK DAUD,

Kuala Lumpur.

REAKSI 2

Jangan cakap ikut sedap mulut
SAYA menyokong komen Azman Zakaria dari Semenyih, Selangor dalam ruangan ini (semalam) mengenai kenyataan Rosnah Mat Aris yang pada hemah saya tidak sepatutnya disiarkan oleh TV3.

Apatah lagi ia datang daripada seorang Melayu yang begitu jahil tentang sejarah Islam dan juga sejarah Rasulullah.

Kenyataan Rosnah bukan setakat menghina Rasulullah tetapi juga mempersendakan agama Islam apabila menjawab soalan-soalan lain mengenai Islam.

Semoga Rosnah mendapat hidayat Allah dan supaya Rosnah tidak lagi bercakap ikut sedap mulut sahaja.

– LATIFAH ROSLE,

Shah Alam.

REAKSI 3

Jabatan agama diminta bertindak
PADA Selasa lalu, saya sekeluarga menonton program Sensasi terbitan TV3. Amatlah terkejut dan kesalnya saya mendengar kenyataan Rosnah Mat Aris yang pada saya menghina isteri Rasulullah.

Mengapakah kenyataan seperti ini tidak disekat oleh syarikat televisyen tersebut?

Apakah ia sengaja dilakukan untuk mendapatkan publisiti terhadap rancangan itu?

Tidakkah Rosnah Mat Aris tahu kenyataan tersebut boleh mengakibatkan kesan buruk terhadap Islam?

Saya berharap semoga pihak-pihak yang berkaitan mengambil perhatian agar perkara sebegini tidak berulang.

Kepada Rosnah Mat Aris, janganlah bersikap ‘murahan’ yang ingin mencari publisiti dengan cara itu.

Maruah umat Islam semakin hari semakin dicabar.

Kalau tiada tindakan yang diambil maka tiadalah fungsi jabatan agama di Malaysia ini yang setiap tahun mendapat peruntukan besar daripada kerajaan.

– AHMAD TALIB,

Melaka.

REAKSI 4

Mohon maaf secara terbuka
SAYA sebagai salah seorang daripada jutaan rakyat Malaysia dan merupakan umat Islam merasa terhina terhadap kenyataan Rosnah Mat Aris dalam program Sensasi di TV3.

Saya minta agar beliau buat permohonan maaf kepada kita semua yang merasa terhina dengan kenyataan beliau.

Pada masa depan, saya harap Rosnah lebih beradab dalam tutur kata. Ini kerana kata-kata beliau yang menghina isteri Rasulullah boleh merosakkan iman. Ingat, hati-hati bila beremosi dan bercakap.

– MANSPIDER,

Kuala Lumpur.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN