VERSI : Mobile | Akhbar Digital
21 September 2014 / 26 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
PENDIDIKAN

ARKIB : 18/01/2007

Membangunkan modal insan

DASAR Kementerian Pelajaran adalah membangunkan modal insan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran serta menghayati nilai-nilai murni.

Matlamat kementerian untuk memupuk semangat menguasai ilmu pengetahuan, kemahiran kompetensi, menerapkan nilai, moral dan sikap positif serta membina disiplin diri di kalangan pelajar.

Pembangunan modal insan bertujuan memastikan anak bangsa Malaysia mempunyai ilmu pengetahuan serta kepakaran tinggi bagi penyediaan guna tenaga dalam pelbagai jenis pekerjaan.

Di samping itu, pelajar-pelajar ini akan dilengkapi kemahiran, komunikasi berkesan, kebolehan menggunakan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dengan baik, berupaya berfikir secara kreatif dan kritis serta mampu bertindak secara rasional, mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat, mempunyai nilai tinggi serta berupaya menjadi pemimpin berkesan dalam keluarga dan masyarakat.

Bagi mencapai dasar dan matlamat tersebut, fokus pembangunan modal insan kementerian sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) adalah:

l Mengadakan lebih banyak pilihan pendidikan kepada ibu bapa dan pelajar.

Kementerian akan meneruskan kewujudan pelbagai jenis sekolah, aliran, mata pelajaran dan bidang pengkhususan.

Peruntukan belanja mengurus akan ditingkatkan bagi sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

Sehingga tahun 2005, terdapat 5,761 sekolah kebangsaan (SK), 1,287 sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), 525 sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT), 36 sekolah rendah agama negeri (SRAN), 42 sekolah rendah agama rakyat (SRAR).

Manakala di peringkat menengah, terdapat 1,823 sekolah menengah kebangsaan (SMK), 54 sekolah berasrama penuh (SBP), 90 sekolah menengah teknik (SMT), 55 sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan dua sekolah sukan.

Kesemua sekolah ini merupakan sekolah kerajaan.

Selain sekolah kerajaan, kementerian juga akan meningkatkan peruntukan belanja mengurus sekolah bantuan kerajaan dengan mengkaji keperluan setiap sekolah.

Pendaftaran sekolah agama rakyat (SAR) dan sekolah agama negeri (SAN) di seluruh negara juga akan diteruskan.

Sehingga tahun lalu, sebanyak 1,996 kelas aliran agama (KAA) telah ditawarkan di sekolah menengah kebangsaan (SMK) harian.

Kementerian juga akan memperluas dan memantapkan lagi pelaksanaan mata pelajaran vokasional (MPV) di sekolah-sekolah.

l Meningkatkan keupayaan dan minat pelajar untuk menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran.

Kementerian akan mengkaji pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) yang lebih menekankan kemahiran berfikir aras tinggi.

Selain itu, budaya cintakan ilmu pengetahuan akan dipupuk dengan menggalakkan tabiat membaca melalui program Nilam dan kempen membaca.

Penerbitan dan penterjemahan pelbagai jenis bahan bacaan sama ada dalam bentuk bercetak atau bukan bercetak akan dipergiatkan.

Bagi menjayakan Program Pembestarian Sekolah, infrastruktur serta perkakasan yang mencukupi akan disediakan dengan pembinaan pusat akses dan meningkatkan penggunaan komputer, televisyen, cakera video digital (DVD).

Kementerian turut akan menyediakan perisian dan bahan digital seperti perisian sistem dan aplikasi lengkap.

Bagi memastikan kesemua kemudahan ini dapat beroperasi dengan lancar, program latihan dan bimbingan akan diadakan iaitu Latihan Asas Penggunaan Komputer, Latihan Penggunaan Komputer untuk pengajaran dan pembelajaran (P&P), Latihan Penggunaan Perisian Khusus dan Latihan Penggunaan Televisyen Pendidikan (TVP) dalam P&P.

Sistem penyelenggaraan berterusan turut bakal diwujudkan.

Kementerian juga akan memantapkan program latihan dan bimbingan ICT kepada pentadbir sekolah, guru dan pelajar serta menggalakkan perkongsian pintar dengan pihak luar.

88 sekolah di bawah projek rintis sekolah bestari akan dijadikan sebagai penanda aras kepada kejayaan program ini.

Di samping itu peruntukan sebanyak RM80 juta disediakan untuk pembinaan Pusat Latihan Bahasa Inggeris (ELTC) di Nilai, Negeri Sembilan serta RM10 juta bagi memperluaskan Pusat Pengajian dan Latihan Bahasa Inggeris (TELTTraC) di Terengganu.

Kementerian juga akan memperkenalkan beberapa pendekatan pengajaran dan pembelajaran (P&P) baru supaya dapat menarik minat para pelajar seperti program F1 Technology Challenge dan Robotik.

l Memupuk pelajar supaya memiliki kemahiran dan keterampilan.

Kementerian akan membina kemahiran berkomunikasi merentas kurikulum dan kokurikulum dengan memperbanyak aktiviti literasi dan secara langsung.

Mata pelajaran teknikal akan dijadikan penanda aras kepada Mayer Competences (Aus) dan SCAN (US) untuk melaksanakan kurikulum baru berteraskan kompetensi.

MPV akan diperluas dan dimantap di sekolah-sekolah selain memastikan pelajar menguasai kemahiran ICT.

Bagi membina penampilan diri yang positif, aktiviti bina diri seperti kerja berpasukan dan pembinaan karakter akan diperbanyakkan.

Ceramah, seminar, motivasi dan bengkel berunsur pembangunan insan akan ditingkatkan bagi memupuk pelajar supaya menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni, budi bahasa dan adab.

Kerja amal dalam masyarakat setempat seperti di rumah orang tua dan anak yatim juga akan diperbanyakkan.

Kementerian akan menekankan penghayatan aspek keselamatan, kesihatan dan kebersihan (3K) dalam P&P kokurikulum bagi menekankan aspek penghayatan nilai-nilai murni.

Sepanjang tempoh RMKe-9, kementerian akan memantapkan lagi Program Amalan Kebersihan Sekolah melalui penyelarasan di bawah Jawatankuasa Kabinet Kebersihan dan Kesihatan Nasional.

l Memantapkan sistem pentaksiran dan penilaian supaya lebih holistik.

Kementerian akan mengubah penekanan peperiksaan awam daripada berasaskan kandungan kepada kemahiran atau daripada bersifat ujian kepada kebolehan am.

Bilangan mata pelajaran dalam peperiksaan awam juga akan dikurangkan bagi mata pelajaran tertentu.

Sistem penggal akan dikaji semula dan digantikan dengan sistem semester bagi menjadikan suasana persekolahan tidak berorientasikan peperiksaan.

Bagi memantapkan kualiti sistem pentaksiran dan penilaian, standard prestasi kebangsaan bakal diperkenalkan untuk dibandingkan dengan standard negara lain.

l Memantapkan program kokurikulum dan sukan.

Budaya bersukan dan kokurikulum akan diterapkan kepada pelajar dengan menyediakan kemudahan serta peralatan sukan yang mencukupi di semua sekolah tidak kira lokasinya.

Dua sekolah sukan sedia ada dan sebuah lagi yang akan dibina dalam RMK-9 bakal dijadikan Pusat Pembangunan Sukan Elit manakala Pusat Sukan Negeri dan SBP menjadi feeder.

Program keguruan dalam kokurikulum dan sukan serta kejurulatihan akan dimantapkan.

Kementerian akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara untuk melaksanakan program pembangunan sukan lebih menyeluruh di samping mengenal pasti sekolah yang dapat dijadikan Pusat Sukan Daerah dan Negeri.

Bagi meningkatkan semangat patriotik, Rukun Negara akan dipastikan dipelajari dan dihayati dari peringkat awal persekolahan.

Penubuhan Kelab Rukun Negara akan dilaksanakan di sekolah rendah dan menengah.

l Memperkukuh disiplin pelajar.

Kementerian akan memperhebatkan Kempen Anti Buli, Kempen Anti Ponteng, kempen meningkatkan penglibatan ibu bapa dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Kempen Pencegahan Salah Laku.

Kementerian juga akan mewartakan Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) yang baru dan mencadangkan pindaan terhadap undang-undang kecil di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) berhubung pengeluaran lesen dan pengenaan syarat-syarat ke atas kafe siber, Akta Polis 1967 (Akta 344) dan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

Dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, warden trafik sekolah adakan dilantik untuk membantu memastikan keselamatan pelajar di sekolah.

Program rintis Pendidikan Keselamatan Jalan Raya yang dilancarkan pada 2005 akan dilaksanakan tahun depan di sekolah rendah secara berperingkat kepada pelajar Tahap 1 dengan menerapkannya ke dalam mata pelajaran bahasa Melayu.

Sebanyak 590 jejantas akan dibina bagi sekolah-sekolah yang memerlukan dengan bantuan Kementerian Kerja Raya.

Bagi sekolah-sekolah lain, sistem lampu isyarat dan lintasan pejalan kaki akan dibina.

l Mempercepat perkhidmatan sistem aduan masalah disiplin dengan mempelbagaikan saluran aduan terus.

Saluran aduan terus akan dipelbagaikan termasuk talian terus, emel, faks dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

l Memantapkan kurikulum.

Kementerian akan memperluas pelaksanaan j-QAF kepada murid Islam dan Pendidikan Moral kepada bukan Islam.

Selain itu, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan akan diperluas pelaksanaan ke Tahap 2 sekolah rendah dan sekolah menengah.

l Meningkatkan kerjasama Kementerian Pelajaran dengan pelbagai agensi.

Ini akan dilakukan dengan menjalankan pelbagai aktiviti bagi membangunkan modal insan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.