VERSI : Mobile | Akhbar Digital
21 April 2014 / 21 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
SASTERA

ARKIB : 07/01/2007

Pendekatan menangani plagiat

Dalam Glosari Istilah Kesusasteraan (1988) menyatakan plagiat sebagai: penciplakan atau kegiatan dalam kesusasteraan yakni mengambil karya ciptaan orang lain yang pernah tersiar atau diterbitkan yang dianggap mungkin sudah dilupakan oleh pembaca lalu diakui oleh penulis itu sebagai karyanya yang asli. Penulis berkenaan mungkin mencedok cerita dari segi plot dan sebagainya dan kemudian mengolahnya semula tetapi pembaca atau pengkaji sastera yang teliti dapat mengesan sumber yang asal diambil oleh penciplak.

Dalam Akta Hak Cipta 1987 tiada makna ciplak digunakan. Bagaimanapun terdapat satu peruntukan dalam Seksyen 36 (1) Akta Hak Cipta menyebut: pelanggaran terhadap hak cipta berlaku apabila seseorang tanpa lesen tuan punya hak cipta itu melakukan atau menyebabkan orang lain melakukan perbuatan yang perlakuannya dikawal oleh hak cipta di bawah akta ini.

Seksyen 13 (1) (a) pula menyatakan dalam keadaan manakah ciplak atau pelanggaran hak cipta berlaku: Hak cipta mengenai karya sastera, muzik atau seni, filem, rakaman bunyi atau karya terbitan adalah hak eksklusif bagi mengawal dalam Malaysia, pengeluaran semula dalam apa-apa bentuk bahan keseluruhan atau sebahagian besar karya itu sama ada dalam bentuk asal atau terbitan.

Rumusannya ciplak atau plagiat itu berlaku apabila individu tersebut meniru bulat-

bulat atau sebahagian ayat atau baris atau perenggan dalam karya yang asli lalu memperakuinya sebagai karyanya tanpa izin daripada penulis asalnya. Hal ini kerana hak cipta itu menjadi seperti “harta” mereka dan mereka berhak melindunginya. Namun demikian undang-undang hak cipta tidak melindungi pernyataan idea. Ini berbeza dengan “patent” kerana undang-undang berkaitan “patent” melindungi ideanya sekali. Dengan perkataan lain, jika seseorang itu menemui sesuatu idea atau konsep baharu, maka undang-undang hak cipta tidak melindunginya, tetapi jika idea atau konsep itu dinyatakan dalam bentuk tulisan, maka undang-undang hak cipta memberikan perlindungan terhadap pernyataan tersebut.

Saya memilih contoh bagaimana plagiat ke atas genre cerpen berlaku iaitu “Mimpi Syahwal” oleh Salina Ibrahim dalam Al-Islam Januari 2002 telah dan “Mimpi Syahwal” oleh Noraini Beran dalam Dewan Siswa November 2003. Di sini diperturunkan bahagian atau perenggan cerpen yang pertama dengan cerpen kedua agar dapat dilihat dengan lebih jelas lagi.

Cerpen “Mimpi Syahwal” (Cerpen asal)

(Perenggan kedua)

Saya tidak tahu dan tidak kenal siapa dia. Tetapi dia menyinggahi lena saya sejak 15 Ramadan lalu, dalam kabus nipis yang mengaburi pandangan saya untuk melihat tepat ke wajahnya. Dia tidak memberikan apa-apa isyarat, jauh sekali mengeluarkan suara dan berkata sesuatu.

Cerpen “Mimpi Syahwal”

(Juga perenggan kedua)

Aku tidak tahu dan tidak kenal siapa. Tetapi dia datang dalam tidurku sejak 10 Ramadan lalu, dalam kabus nipis yang mengaburi pandangan untuk aku melihat tepat wajahnya. Dia tidak memberikan sebarang isyarat, jauh sekali untuk bersuara dan berkata sesuatu.

Berdasarkan contoh perenggan di atas didapati menukar kata ganti nama diri daripada kata ganti nama ‘saya‘dalam cerpen asal kepada kata ganti nama ‘aku’ dalam cerpen versi barunya.

Kes seterusnya membabitkan cerpen “Ana” oleh Aminah Mokhtar dalam Jelita Ogos 1999 dan “Najwa” oleh Zimie Abadi dalam Al-Islam Ogos 2000.

Cerpen “Ana” (Cerpen asal)

(Perenggan pertama)

Kejengkelan yang lama menunjang hulu hati, datang lagi. Tidak tahu mengapa begitu payah kupujuk damai di hati untuk menerima dia seperti adanya. Semakin kupujuk, semakin pantas kenangan itu datang bergulung.

(dan perenggan keempat)

Dia punya alasan berbuat begitu. Aku menyedapkan hati sendiri. Menjadi pembela yang terpaksa.

Cerpen “Najwa”

(Perenggan pertama)

Tidak kutahu mengapa begitu payah sekali untuk kupujuk damai hati agar menerima dia seadanya. Semakin kupujuk semakin jengkel rasa di hati. Semakin pantas kenangan datang bergulung.

(dan perenggan keenam)

Dia punya alasan berbuat begitu. Aku menyedapkan hati sendiri. Cuba menjadi peguam bela yang terpaksa.

Berdasarkan petikan di atas telah berlakunya modifikasi, pengguguran dan penambahan beberapa perkataan dan ayat. Cerpen “Ana” menggunakan watak ‘Aku’ dan ‘Dalminder Kaur’ manakala cerpen “Najwa” menggunakan watak ‘Aku’ dan ‘Reena Kaur’.

Langkah pertama yang boleh diambil untuk menangani palagiat ialah dengan mengadakan simposium dan seminar. Pihak yang berwibawa seperti badan-badan penulis kerabat Gapena, Dewan Bahasa dan Pustaka, institusi-institusi pengajian tinggi serti setiap individu perlu mengambil langkah yang serius bagi memastikan ciplak atau plagiat tidak berlaku. Contohnya melalui seminar dan simposium, garis panduan tentang konsep ciplak atau plagiat, cuplik dan interteks dapat ditentukan. Piagam atau tribunal khas dapat diwujudkan untuk faedah penulis dan penerbit yang akan menentukan tindakan dan hukuman yang wajar diambil terhadap penulis yang didapati bersalah menciplak karya penulis lain.

Langkah yang kedua ialah dengan menentukan satu garis panduan yang jelas berhubung dengan ciplak dalam dunia kreatif agar para penulis mengetahui batas dalam proses penciptaan karya. Dengan adanya garis panduan ini, fenomena rompakan dan pencabulan dalam proses pengkaryaan dapat dibendung. Langkah ketiga ialah peranan badan berwibawa dalam menangani gejala ciplak. Kini sudah tiba masanya kita menubuhkan satu badan khas yang berwibawa serta bertanggungjawab menangangi jenayah dalam dunia kreatif ini. Ia akan menjadi badan yang memperjuangkan segala hal yang berkaitan dengan penulis dan masalah yang dihadapinya.

Langkah keempat ialah membetulkan sikap penulis itu sendiri. Rata-rata jenayah ciplak berlaku dalam kalangan penulis muda yang baharu hendak mencipta nama dalam dunia kesusasteraan tanah air. Ada dalam kalangan mereka mempunyai penulis yang menjadi idola sehingga meminati segala hasil karyanya.

Lantaran mereka terpengaruh dan mereka cuba menghasilkan karya sebagaimana penulis idola mereka. Hasil karya penulis muda ini tidak ubah seperti cermin yang memantulkan gaya penulis idola mereka. Sama ada bahasa sehingga gaya bahasa segala-galanya mengikut cara penulis idola mereka. Penulis muda juga berharap karyanya mendapat tempat di dada media.

Justeru ada kalangan mereka yang sanggup mencuri idea penulis terkenal dengan tujuan karya mereka tidak terpinggir. Dalam menangani hal ini, penulis muda haruslah difahamkan bahawa betapa pentingnya mereka membina identiti mereka sendiri. Trait penulisan diperoleh daripada kerja mengarang sepanjang masa, tanpa jemu, tanpa berputus asa bila karya tidak disiarkan, memperbaiki diri dengan meneliti kelemahan dan memperbaikinya dan menonjolkan kelebihan gaya penulisan yang dapat diperkembangkan yang mungkin tidak dimiliki oleh penulis lain. Perkara ini perlu ditekankan kepada penulis muda dan diberikan motivasi bahawa mereka juga boleh berjaya dengan cara dan gaya sendiri.

Langkah kelima ialah peranan editor sastera itu sendiri. hal ini kerana para editorlah yang bertanggungjawab memilih karya yang perlu disiarkan ataupun tidak. Jika terdapat antara karya yang dikirimkan itu adalah hasil plagiat maka editor bukan sahaja bertindak tidak menyiarkan karya tersebut malah memberikan amaran kepada penulis tersebut agar tidak lagi melakukannya atau namanya akan disenaraihitamkan. Bagi saya perbuatan menyenaraihitamkan nama penulis yang mengirim karya ciplak perlu dijalankan dengan bijaksana bukannya secara mandatori.

Jika editor terus menyenaraihitamkan nama penulis tersebut selamanya ia tentu akan merugikan bakat penulis itu sendiri dan kepada dunia sastera kerana sesiapa pun tidak tahu atau menjangka siapakah dan dari kalangan siapakah pengarang besar akan muncul. Mungkin dengan memberi amaran bagi kesalahan kali pertama dan kedua dan jika diingkari juga bolehlah disenaraihitamkan namanya tetapi dalam jangka masa tertentu.

Langkah keenam melalui sistem pendidikan. Tiga daripada objektif Kompenan Wajib Kesusasteraan Melayu dalam Matapelajaran Bahasa Melayu (dari tingkatan 1-5).

Objektif ini nyata memberikan satu isyarat KOMSAS bertujuan melahirkan penulis-penulis muda yang bakal mewarisi dunia kesusasteraan tanah air. Tanpa barisan penulis pelapis dunia sastera kita akan mengalami dekadensi kerana proses kelahiran pengarang itu secara tradisinya adalah lahir daripada tekanan hidup dan keboborokan masyarakat. Kini negara sedang menikmati keamanan dan kemakmuran ekonomi dan ini dijadikan alasan oleh sesetengah pihak menyebabkan pengarang kita gagal menghasilkan karya yang berkualiti dan bermutu melainkan karya yang bersifat picisan dan popular semata-mata. Justeru proses kelahiran pengarang melalui saluran pendidikan adalah satu-satunya cara berkesan kerana bukan sahaja pelajar didedahkan dengan hasil sastera bangsa malah diberi kesedaran untuk menjadi penulis yang profesional dan berkesedaran tinggi terhadap perubahan atau fenomena yang berlaku dalam masyarakat.

Namun demikian adalah dikhuatirkan pendedahan pelajar terhadap hasil sastera tidak menjadi seperti yang diharapkan sebaliknya menjadi kilang pengeluar penulis ciplak atau plagiat. Justeru itu bagi menangani hal ini adalah penting dalam silibus KOMSAS ditambah bahagian berkaitan jenayah plagiat atau ciplak dan hak cipta secara mudah, ringkas dan tepat tetapi mencukupi agar pelajar dididik agar menyedari ciplak atau plagiat merupakan suatu jenayah yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Langkah ketujuh dan terakhir ialah melalui saluran undang-undang. Undang-undang berkenaan hak cipta mesti diperketatkan kerana apa yang dapat dilihat kini tidak ada satu pun kes plagiat bagi genre puisi dan cerpen dibawakan ke mahkamah lalu dijatuhkan hukuman. Ia sekadar heboh untuk seketika dan menggelombangkan sedikit polemik di dada akhbar selepas beberapa ketika ia menghilang begitu sahaja tanpa apa-apa tindakan ke atas para penciplak itu.

Ini tentulah akan menyediakan tanah yang subur untuk aktiviti memplagiat memandangkan dirinya berasa tidak terancam dengan undang-undang malah mungkin tidak menyedari kewujudannya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.