|
KUALA LUMPUR – Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) bersedia memperkenalkan acara campuran lelaki dan wanita pada Sukan Asia Guangzhou 2010 yang berpotensi untuk menyegerakan kemasukannya sebagai acara pertandingan Sukan Olimpik 2016.
Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader berkata, kemasukan sepak takraw campuran pasti menarik lebih banyak negara Asia menyertainya dan jalan terbaik menjayakannya ialah mengadakan perbincangan dengan China yang juga tuan rumah Olimpik Beijing 2008.
Katanya, acara campuran boleh dipilih daripada cabang yang sedia ada seperti berpasukan, antara regu atau seelok-eloknya beregu yang lebih cepat dan menarik serta semakin popular sejak diperkenalkan dan menawarkan dua pingat emas dalam Sukan Asia ke-15 di Doha, baru-baru ini.
“Jika badminton beregu campuran sudah dipertandingkan pada Olimpik, mengapa tidak sepak takraw campuran (juga bergelanggang sama)? Jika lebih banyak negara yang menyertainya dan bersaing dengan sengit di Guangzhou, pasti pihak IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa) tertarik.
“Malah China telah membuktikan minatnya yang tinggi dengan sepak takraw. Selain berjaya meraih tiga gangsa di Doha menerusi skuad wanita, sepak takraw juga mula-mula muncul dalam Sukan Asia Beijing 1990 dengan dua pingat emas,” katanya kepada Utusan Malaysia dari Singapura, semalam.
China juga memiliki kekuatan skuad wanita yang pernah mencipta kejutan dengan meraih sebutir perak antara regu Sukan Asia Busan 2002 selepas tewas kepada Thailand sekalipun skuad lelakinya belum pernah memenangi sebarang pingat sejak 1990.
Menurut Halim, maklum balas positif ramai pegawai badan sukan ternama seperti IOC, Persekutuan Sukan-sukan Antarabangsa Dunia (WISF) dan Jawatankuasa Penganjur Olimpik Beijing dan Guangzhou serta pemimpin kerajaan yang menonton Sukan Asia Doha, meyakinkannya bahawa sepak takraw mampu ke Olimpik.
“Antara mereka ialah Emir Kuwait, Presiden WISF yang juga Pengerusi Suruhanjaya Penyelaras Olimpik Beijing, Hein Verbruggen; Pengarah Eksekutif Sukan Olimpik, Gilbert Feelli dan Menteri Sukan China, Lu Pung serta Naib Presiden Majlis Olimpik China, Tu Mingde,” kata beliau.
Jelas Halim, pembaharuan menurut perkembangan semasa termasuk dengan memperkenalkan acara campuran perlu dibuat sekalipun sepak takraw masih dianggap sukan tradisi Melayu dan kebanyakan negara Nusantara seperti Malaysia, Singapura dan Brunei kurang membangunkan skuad wanitanya.
Sementara itu, Halim turut mengalu-alukan daya usaha Persatuan Sepak Takraw Amatur Filipina yang menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia Pertama di Palawan dari 24 April hingga 1 Mei depan yang turut disokong Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).
“Ia akan melibatkan kategori lelaki dan wanita dengan 10 negara dijangka menyertainya. Kejohanan ini turut menjadi gelanggang persediaan pasukan terbabit sebelum sepak takraw pantai dipertandingkan pada Sukan Pantai Asia Pertama di Bali pada Oktober 2008,” kata beliau.
Jelas Halim selaku Presiden ASTAF, kali terakhir sepak takraw pantai dipertandingkan di peringkat Asia ialah di Pantai Sentosa, Singapura pada 2000 dengan disertai 11 negara bagi kedua-dua kategori berkenaan. Katanya, China, Jepun dan Korea Selatan mungkin menyertainya, tahun depan.
IKLAN@UTUSAN
|