|
Apa sebenarnya yang dicari oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) daripada bengkel kajian novel popular ini? Sepanjang dua hari suntuk bengkel diadakan, para peserta bengkel masih tercari-cari apakah konsep novel popular itu?
Apakah ada garis pemisah di antara novel popular dan novel serius? Apakah landasan yang boleh dijadikan garis pemisah genre ini? Bolehkah disatukan di dalam satu kelompok tanpa dikelas-kelaskan?
Persoalan-persoalan inilah yang menebak-nebak jemala saya sepanjang dua hari itu, namun jalur-jalurnya masih kabur dan berjerebu.
Sepanjang dua hari itu pembentangannya agak hambar. Pembentang dan peserta tidak teruja dengan impak daripada kajian, kalau boleh ditakrifkan sebagai kajian terhadap 16 buah novel popular itu.
Yang ada cuma sorotan atau resensi terhadap novel-novel itu. Pembentang lebih menumpukan aspek komersialisme daripada intelektualisme dan semacam mahu lari daripada membicarakan estetika sastera dalam karya-karya novel popular. Atau mungkin nilai intelektualisme dan estetika seni sasteranya tidak begitu menonjol, justeru aspek ini tidak disentuh secara serius.
Ini terbukti apabila Profesor Mohd. Sahlan Mohd. Saman menyebut bahawa, “Sesuatu yang ketara ialah kurangnya nilai intelektual atau kesan pembangunan minda,” ketika membicarakan novel Anis Ayuni bertajuk Germesik Kalbu.
Menurut Sahlan lagi, “Ketinggian estetik bahasa dan kawalan emosi tidak berupaya mengangkat keseluruhan karya ini ke dalam novel ilmiah/serius. Saya tetap yakin isinya tetap tergolong dalam kelas novel popular.”
Pandangan ini disokong oleh Profesor Mohamad Mokhtar Hassan ketika membicarakan, Legenda Budak Setan, karya Ahadiat Akashah yang menyatakan, “Karya sastera dituntut memberikan peranan yang lebih besar kepada khalayak pembaca bukan membaca novel sekadar mahukan hiburan semata-mata.”
Hanya pembentang terakhir iaitu Dr. Kamariah Kamaruddin yang ada sedikit keberanian meluahkan dengan jelas bahawa pengarang seharusnya bertanggungjawab ke atas karya-karya mereka.
Katanya, menghasilkan sesebuah karya sastera bukan sekadar untuk memenuhi kehendak selera sendiri, keinginan selera ramai dan tuntutan selera penerbit tetapi keprihatinan mengangkat martabat kesusasteraan Melayu.
Sesebuah karya sastera itu seharusnya dapat membentuk masyarakat pembaca ke arah kebenaran (al-Haqq), kebaikan (al-Khayr) dan keindahan (al-Jamal).
Mungkin menyedari hakikat ini beliau yang pernah menulis novel popular suatu ketika dulu kembali ke landasan al-Haqq, al-Khayr dan al-Jamal.
Seramai 13 orang pengkaji yang terdiri daripada ahli akademik dan pengkritik sastera telah membentangkan kertas kajian mereka terhadap 16 buah novel popular yang dipilih untuk bengkel ini.
Rata-ratanya mereka mengklasifikasikan novel popular sebagai karya ringan, kisah cinta muda-mudi, bahasa mudah, tidak teruja untuk berfikir, santai serta berlatarkan kota, gaya hidup orang kota dan menyirat pandangan terhadap kota. Selain itu ia untuk memenuhi kehendak penerbit yang mementingkan keuntungan yang dikaitkan dengan nilai komersialisme tanpa mempedulikan gagasan fikiran dan falsafah kehidupan yang ditakrifkan sebagai nilai intelektualisme.
Tidak seorang pun daripada 13 pengkaji itu secara jelas dan polos membicarakan secara tuntas unsur-unsur atau nilai estetika sastera di dalam karya-karya yang mereka kaji. Meskipun mereka akui ada nilai intelektual di dalam karya-karya itu namun peratusannya amat rendah.
Walaupun ada yang mengelompok genre ini dalam ‘jalur kedua’, namun tidak ada seorang pun yang berani meletakkan karya-karya popular ini setaraf atau di takah yang sama dengan sastera serius.
Khalayak sastera ingin tahu di tahap manakah duduk sastera popular ini? Apa benarkah ia tidak mempunyai nilai sastera seperti yang diragui oleh sesetengah elit sastera? Patutkah ia dirangkumkan dalam satu kelompok tanpa dipisah-pisahkan? Inilah yang gagal dirungkai oleh pengkaji-pengkaji ini.
Apa yang dapat dirumuskan ialah, kajian ini membuktikan bahawa karya popular dan karya serius mempunyai jalur-jalur mereka tersendiri. Masih wujud jurang di antara novel popular dengan yang serius.
Mereka boleh berjalan beriringan tetapi tidak ada titik pertemuan. Ia ibarat landasan kereta api. Masing-masing mempunyai khalayak pembaca tersendiri yang tahap intelektual dan daya fikir yang berbeza. Matlamat dan arah tuju mereka juga tidak sehaluan. Satu kelompok dibumbui nilai komersialisme dan satu lagi mempertahankan estetika sasteranya atau nilai intelektualismenya.
Dari aspek kelarisan jualan novel-novel popular, ia dikatakan telah terjual puluhan ribu kalaupun tidak ratusan ribu dan sudah diulang cetak beberapa kali. Ramai terpesona dan kagum dengan fenomena ini yang memungkinkan DBP juga turut dibuai pesona ini sehinggakan sanggup membelanjakan banyak wang bagi membicarakan novel-novel popular ini dalam bengkel yang julung-julung kali diadakan dalam sejarah DBP.
Sejauh manakah larisnya novel-novel popular ini? Meskipun banyak digembar-gemburkan kelarisan penjualannya, namun ia tidak disokong oleh data atau angka sebagai bukti. Belum ada statistik rasmi bagi menyokong dakwaan ini.
Kertas kerja Prof. Mokhtar yang sarat dengan angka-angka, namun beliau mengakui tidak memperoleh data-data tersebut. Apakah ini satu gimik atau strategi pemasaran? Dalam dunia korporat ia serba mungkin. Kita jangan terpesona dengan gimik ini seperti terpesonanya kita dengan hiasan kulit novel-novel ini.
Mungkin apa yang didakwanya itu benar, tetapi hendaklah disokong dengan fakta dan bukti.
Ke mana DBP mahu membawa khalayak pembaca? Ada suara-suara dari DBP sendiri mahu memartabatkan sastera popular ini malah mahu menerbitkannya. Meskipun ini dinafikan oleh Siti Aishah Murad, Penanggungjawab Ketua Bahagian Kesusateraan Moden namun ada suara-suara ghaib dari dalam dewan yang mahukan sastera popular ini diiktraf sama tarafnya dengan sastera serius.
Objektif keempat bengkel ini menguatkan lagi andaian ini. Ada yang mengsyaki bengkel ini semacam wadah yang akan mewajarkan pengiktirafan itu nanti.
A. Rahim Abdullah dengan sinis memberi reaksi terhadap ura-ura ini.
“Kalau DBP banyak duit bolehlah terbitkan, tetapi jangan terperanjat novel-novel itu akan lapuk tersimpan di dalam stor DBP.”
Ini kerana penerbit-penerbit yang menerbitkan novel-novel jenis ini sudah ada labelnya tersendiri. Penerbit seperti Alaf 21, Creative Enterprise, Roket Kertas dan lain-lain memang sinonim sebagai penerbit novel-novel popular.
DBP janganlah sibuk-sibuk pula mahu memasuki bidang komersial ini kerana DBP sendiri ada obligasi sosialnya terhadap perkembangan kesusasteraan dan khalayak pembaca.
DBP tidak sepatutnya terpesona dan hanyut dibawa arus bersama gelombang komersialisme yang sarat dengan nilai materialistik itu. Apatah lagi menurunkan martabatnya sebagai penerbit yang berprestij dan sentiasa menjaga dan mengekalkan mutu sasteranya.
Tidak payahlah DBP sibuk-sibuk mahu menyediakan anugerah khas untuk mereka. Penerbit dan penulisnya sudah mengaut keuntungan yang besar, biarlah penerbit mereka sendiri memikirkan perkara itu. Biaya untuk itu boleh dimanfaatkan DBP bagi mempromosikan karya serius.
Tidak salah bagi DBP membuat kajian, seminar, bengkel dan seumpamanya terhadap novel-novel popular ini. Malah membimbing penulis-penulis ini ke arah penulisan yang lebih serius sangat digalakkan. Tetapi sanggupkah mereka meninggalkan gelanggang penulisan yang menjadi wadah mereka mengumpul kekayaan? Sanggupkah mereka ‘syok sendiri’ menghasilkan karya serius tetapi tidak laku dijual? Ini terbukti apabila dikatakan Ahadiat Akashah pernah cuba menulis novel serius, malangnya tidak mendapat sambutan.
Bagi mereka yang telah menempa nama dalam kategori ini dan mendapat royalti beribu-ribu ringgit, setakat hadiah pertama sayembara sastera sebanyak
RM50,000.00 adalah kacang bagi mereka.
Saya tidak fikir mereka sanggup meninggalkan dunia glamor dan material itu, kecuali suara hati atau kesedaran batin mereka benar-benar memberi keinsafan kepada mereka.
DBP boleh menjadi badan pemantau kepada perkembangan novel-novel popular ini. Lambakannya di pasaran buku tanpa dikawal selia dengan struktur penulisan yang baik akan meruntuhkan pembinaan hasil karya itu sendiri.
Pencemaran bahasa dan penggunaan bahasa rojak yang berleluasa di dalam novel-novel ini seharusnya ditegur. Setiap pengarang mempunyai tanggungjawab dan obligasi sosialnya terhadap masyarakat.
Persaingan yang mulia bukan terletak pada larisnya buku-buku di pasaran yang tidak dapat mengubah persekitaran kehidupan tetapi bahan bacaan yang dapat membuka cakerawala dengan rasa insaf dan falsafah yang tinggi.
IKLAN@UTUSAN
|