VERSI : Mobile | Akhbar Digital
18 April 2014 / 18 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 02/12/2006

Tenaga nuklear mampu ganti minyak

Forum Kerjasama Nuklear di Asia (FNCA) yang disertai peserta dari 10 negara benua Asia dan Agensi Penguat Kuasa Atom Antarabangsa (IAEA) pada 27 November 2006 telah memberi ruang kepada Malaysia untuk memberi komen dan pendapat mengenai sumber nuklear yang dapat memberi faedah kepada negara dan menentang pembangunan senjata nuklear yang mampu mengancam keselamatan dunia.

Fenomena kesan dan bahaya nuklear yang dipamerkan pada 6 dan 9 Ogos 1945 di Jepun yang mengorbankan nyawa yang melebihi 200,000 dan bencana kebocoran nuklear Chernobyl, Ukraine pada 26 April 1986 telah menyebabkan kepentingan nuklear sebagai sumber tenaga tidak mendapat perhatian masyarakat dunia. Rata-rata negara dunia, memberi pandangan negatif pembangunan nuklear sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

Hakikatnya nuklear merupakan sumber tenaga yang memberi impak yang positif kepada ekonomi, politik dan kemajuan sesebuah negara.

Sememangnya sumber nuklear telah disalahtafsirkan dan ia telah menjadi faktor yang menyebabkan kadar proses pembangunan Negara Dunia Ketiga (NDK) tidak sepantas negara-negara maju. Kejayaan-kejayaan NDK seperti Korea Selatan, Brazil, India dan Pakistan yang membangunkan nuklear telah memberi dampak perubahan dalam persepsi NDK terhadap kepentingan nuklear.

Kenaikan harga minyak yang mencecah AS$ 80 setong telah menyaksikan dunia global mengalami fenomena krisis tenaga akibat kenaikan harga minyak yang mendadak. Kesan kenaikan bahan api fosil ini telah mengundang cabaran ancaman keselamatan kepada negara dalam sustem antarabangsa apabila terpaksa menanggung kos kenaikan harga dan desakan rakyat yang terhimpit dengan kenaikan kos kehidupan seharian. Argentina dan Indonesia merupakan contoh terbaik dalam menilai kesan daripada kemelut kenaikan harga minyak dunia.

Krisis sumber tenaga ini telah memperlihatkan sesebuah negara terpaksa mengawal dan memperuntukkan jumlah perbelanjaan yang besar dalam menangani kebangkitan protes masyarakat. Masyarakat sememangnya tidak memahami senario sebenar krisis sumber yang dihadapi oleh sesebuah negara. Masyarakat seringkali menuding jari dan meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada kerajaan yang memerintah sedangkan fenomena kenaikan harga minyak antarabangsa adalah di luar kawalan kerajaan.

Kesan ancaman keselamatan dan kestabilan politik turut dialami Malaysia apabila rakyat mula mendesak kerajaan mengawal kenaikan harga keperluan domestik masyarakat. Kenaikan harga bahan api fosil ini sebenarnya telah mencabar kewibawaan kerajaan dalam mencari jalan penyelesaian. Kenaikan harga minyak domestik sebanyak RM0.30 sen seliter telah dijadikan sebagai pilihan yang mana dalam masa yang sama pihak kerajaan terpaksa menanggung kos sebenar harga minyak. Kerajaan dilihat terpaksa bergelut dengan kenaikan harga minyak di kala Malaysia yang masih dalam proses untuk bangun setelah kegawatan ekonomi yang melanda negara pada 1997.

Pihak kerajaan menyedari pendekatan yang diambil hanya dapat mengawal bagi jangka masa pendek dan realitinya kepupusan sumber ini akan mempengaruhi harga minyak terus meningkat di masa hadapan. Pengarah Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga (CETREE) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Kamarulazizi Ibrahim telah menyatakan bahawa sudah tiba masanya kerajaan Malaysia mempertimbangkan untuk menjalankan penyelidikan ke arah penggunaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga selaras dengan senario kegawatan sumber tenaga pada ketika ini.

Hakikatnya Malaysia telah dijangkakan akan mengalami kehausan rizab minyak mentahnya dalam tempoh 19 tahun akan datang dan dalam masa yang sama rizab gas asli Malaysia hanya mampu bertahan selama 33 tahun sahaja sekiranya pihak kerajaan tidak menemui sumber atau telaga yang baru sehingga tahun 2009.

Kenaikan harga minyak akan mengundang kepada kenaikan tarif elektrik yang secara langsung akan memberi kesan kepada pelaburan asing di negara ini. Kenaikan tarif akan mempengaruhi para pelabur asing akan mencari destinasi pelaburan ke negara lain.

Dalam Forum Kerjasama Nuklear di Asia yang diadakan di Pahang pada 27 November 2006, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi iaitu Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis telah menjelaskan bahawa dengan senario kenaikan harga minyak dunia yang semakin meningkat, Malaysia tidak boleh melihat alternatif penghasilan tenaga melalui nuklear sebagai sesuatu yang sangat jauh.

Ini kerana negara-negara di dunia kini telah mula bergerak ke arah penggunaan nuklear bagi menyalurkan sumber tenaga pada kadar yang sangat rendah dan menjimatkan. Tindakan pihak kerajaan yang memberi perhatian dalam masalah krisis tenaga ini merupakan titik permulaan keprihatinan kerajaan yang menilai kemungkinan dan cabaran negara untuk menghadapi krisis tenaga pada masa hadapan.

Apa yang dibimbangi kenaikan harga minyak ini akan membawa kesan besar kepada penjanaan tenaga yang akan turut membantutkan usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020.

Perbincangan kepentingan nuklear dalam Persidangan Akademi Sains Islam di Sarawak yang berlangsung pada 29 September 2003 telah mendedahkan bahaya bahan api fosil jauh melebihi sumber nuklear. Menurut pendapat Dr. Samia Rashad dari Pusat Kebangsaan Keselamatan Nuklear dan Kawalan Radiasi Mesir menjelaskan bahawa sebuah stesen jana kuasa arang batu (fosil) yang berkuasa 1,000 MW akan melepaskan 100 kali ganda bahan radioaktif kepada alam sekitar berbanding sebuah reaktor nuklear.

Dari sudut ekonomi, jurang kelebihan antara bahan api fosil dengan nuklear ternyata berbeza kerana bagi menjana 1,000 MW (Megawatt) bagi satu tahun berasaskan bahan api fosil ia memerlukan sebanyak 2.6 juta tan metrik arang batu atau dua juta tan metrik minyak.

Manakala bagi memenuhi keperluan yang sama, sebuah reaktor nuklear hanya memerlukan 27 tan metrik minyak setahun. Kepentingan nuklear tidak hanya terhad dalam aspek ekonomi sebaliknya ia turut memperkembangkan bidang perubatan.

Negara-negara maju telah pun mengaplikasikan sumber nuklear dalam aspek perubatan secara meluas. Kebimbangan kebocoron nuklear boleh diatasi dengan kaedah pengawasan dan kawalan teliti. Teknologi dan bantuan kepakaran mampu diperoleh daripada kuasa-kuasa nuklear dunia seperti Jepun, AS, Perancis dan Jerman yang mempunyai banyak pengalaman dan kepakaran bagi mengelakkan bencana nuklear.

Hakikatnya NDK telah mula menerima kehadiran sumber tenaga nuklear sebagai sumber tenaga alternatif. Negara-negara maju seperti AS, Perancis dan Jepun yang sehingga kini memiliki 55 buah loji tenaga nuklear telah mengecapi kemajuan pembangunan hasil daripada kecekapan pengurusan sumber tenaga yang dapat menjimatkan perbelanjaan negara.

China pada 7 April 2005 telah menyatakan hasrat dan sasaran pembangunan nuklear di negara komunis itu untuk memiliki 40 buah loji nuklear dalam tempoh 15 tahun bagi memenuhi keperluan domestik khususnya sumber tenaga. Manakala Korea Selatan pula telah memiliki 20 buah loji tenaga nuklear yang bertanggungjawab menyalurkan 40% keperluan sumber tenaga dan Taiwan sehingga kini telah memiliki 6 buah reaktor tenaga nuklear yang menggunakan teknologi tinggi dan mampu menjana 4,900 MW kuasa eletrik semenjak pertengahan 1980-an.

Indonesia yang merupakan mangsa parah akibat kenaikan harga minyak dunia telah mengumumkan untuk membina loji tenaga nuklear dalam Sidang Kemuncak Kelima Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) yang diadakan di Bali pada 13 Mei 2006 setelah gagal memiliki nuklear yang diumumkan oleh Sukarno pada tahun 1965. Keputusan Indonesia yang akan membina loji tenaga nuklear pertama di Semenanjung Muria, Jawa Timur dengan kerjasama Korea Selatan, Jepun dan Perancis perlu menjadi kayu pengukur kepada Malaysia dengan usaha yang dijalankan. Persoalan mengenai Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) yang dibentuk pada 1995 tidak timbul sekiranya negara anggota tidak membangunkan nuklear sebagai senjata.

Myanmar yang merupakan antara negara termiskin di dunia, kini telah pun memiliki mini reaktor nuklear. Myanmar telah dikaitkan dengan pembangunan nuklear apabila memberi perlindungan kepada dua orang saintis nuklear Pakistan yang melarikan diri ke Myanmar selepas peristiwa 11 September 2001. China, Rusia dan Korea Utara telah dilihat sebagai negara yang bertanggungjawab menyalurkan teknologi dan pembangunan nuklear Myanmar. Myanmar disyaki membangunkan nuklear lebih awal daripada 2001 berdasarkan peruntukan perbelanjaan pertahanan yang mencatakan AS$ 9.239 bilion pada 1996 yang merupakan peruntukan terbesar di kalangan negara ASEAN dan menyamai peruntukan pertahanan India yang merupakan kuasa nuklear Asia Selatan. Isu pembangunan nuklear Myanmar pernah dibincangkan dalam East Asian Summit yang berlangsung pada Disember 2005 di Kuala Lumpur.

Kesedaran kepentingan sumber tenaga nuklear di kalangan negara Asia Tenggara semakin berkembang apabila pada Ogos 2006, Vietnam yang merupakan negara yang menghadapi krisis tenaga telah membentangkan cadangan bagi membina reaktor tenaga nuklear bagi menjamin dan memastikan sumber tenaga dapat disediakan.

Tindakan pihak kerajaan yang mengeluarkan kenyataan dalam Forum Kerjasama Nuklear di Asia pada 27 November 2006 dan Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Sains dan Teknologi ASEAN (IAMMST) ke -4 pada 28 Ogos 2006 telah membuktikan pihak kerajaan mula memberi perhatian kepentingan sumber tenaga nuklear. Negara-negara membangun perlu menerima hakikat dan realiti terhadap keperluan nuklear sebagai sumber tenaga yang mana ia akan menjamin kemajuan sesebuah negara. Kejayaan negara-negara maju seperti AS, Britain, Perancis, Jerman, Jepun, China dan sebagainya adalah kesan daripada kebijaksanaan dalam pengagihan penggunaan sumber tenaga. Ia telah membawa kepada peningkatan aktiviti ekonomi pada kos yang lebih murah dan memastikan penyediaan sumber tenaga dapat disediakan secara berterusan. Justeru, sumber tenaga nuklear adalah sumber yang akan menjamin kemajuan dan memenuhi keperluan sesebuah negara khususnya dalam penyediaan sumber tenaga.

- MOHAMAD FAISOL KELING ialah Pensyarah Fakulti Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara

Malaysia (UUM).

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:15
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.