|
SURAT Norhayati Kaprawi, Pengurus Program, Sisters in Islam (SIS) yang disiarkan dalam Forum, Utusan Malaysia 29 November 2006 atas tajuk Sisters in Islam kesal dilempar pelbagai tuduhan menarik perhatian saya.
Saya ingin menyahut cabaran penulis daripada SIS itu yang berkata: “Jadi, bagaimanakah SIS dikatakan mencabar dan menghina undang-undang Syariah? Hanya kerana sekadar menuntut keadilan?"
Sila baca satu artikel dalam akhbar International Herald Tribune (IHT) bertarikh 16 Februari 2006 dengan tajuk Letter from Malaysia: Malaysia‘s big sister shakes up Islam rule, hasil tulisan wartawan IHT Jane Perlez yang menemubual Zainah Anwar, Pengarah Eksekutif Sisters in Islam (SIS).
Antara lain ditulis: ‘‘With the acid touch that has made her an accomplished campaigner, Zainah Anwar calls the officials in the government religious departments ‘those Taliban-minded bureaucrats.’’
Tidakkah itu menghina dan mempersendakan pegawai-pegawai kerajaan di Jabatan Agama Islam?
Kenyataan seperti ini boleh menyelewengkan ajaran Islam dan membahayakan keharmonian rakyat khususnya umat Islam di negara ini.
Ini telah memberikan gambaran negatif terhadap perkhidmatan kerajaan di mata dunia luar.
Tuduhan Zainah bahawa kakitangan kerajaan ‘berpemikiran seperti Taliban’ adalah keterlaluan dan seolah-olah memberi gambaran adanya unsur-unsur keganasan dan pelanggaran hak manusia dalam pentadbiran jabatan agama.
Juga ditulis: ‘‘She (Zainah) has not married, saying to people: I don‘t want to be a slave to man .’’
Janganlah soal peribadi turut terbawa-bawa dengan matlamat perjuangan SIS.
Masalah peribadi beliau yang tidak mahu berkahwin kerana tidak mahu menjadi hamba lelaki adalah bercanggah dengan Islam yang menganggap perkahwinan suatu yang mulia dan jalan keluar daripada maksiat.
Kenyataan Zainah tidak mahu berkahwin disebabkan tidak mahu menjadi hamba lelaki adalah kenyataan kedua daripada beliau selepas kenyataan yang sama di Mingguan Malaysia pada 12 Februari 2006.
Persoalan SIS berfungsi sebagai sebuah pertubuhan NGO atau bukan, boleh menimbulkan berbagai-bagai pertanyaan terhadap Zainah.
Saya ingin bertanya kepada Pengarah Eksekutif SIS :
* Berapa ramai ahli SIS?
* Siapa yang boleh menjadi ahli?
* Adakah dikenakan yuran tahunan kepada ahli?
Pertanyaan ini timbul kerana daripada semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), SIS berdaftar di atas nama SIS Forum (Malaysia) Berhad dan ditubuhkan pada 1988.
Lebih menghairankan tiada nama Sisters in Islam yang berdaftar dengan pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Mengiktiraf
Jadi bagaimana SIS itu sendiri boleh membawa nama “Islam” di dalam nama dan aktivitinya dan siapakah yang mengiktiraf SIS Forum (Malaysia) Berhad sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO)?
Sebelum memikirkan untuk menjadi juara di dalam hal-hal agama Islam, saya minta Zainah menjawab pertanyaan tersebut untuk dimaklumkan ke seluruh rakyat Malaysia siapakah SIS sebenarnya?.
Harapan saya kepada Zainah supaya eloklah berfikiran terbuka dalam membicarakan soal perundangan Islam.
Kita masih ada ulama syarie yang boleh kita rujuk untuk mendapatkan pandangan. Tidak semua teori yang dibaca akan sama dengan kehidupan sebenar atau praktikal yang kita hadapi.
SIS eloklah perjuangkan nasib wanita Islam yang kematian suami tetapi tiada pekerjaan, wanita yang ada masalah mendapatkan peguam untuk kes perceraian dan selamatkan wanita Islam yang terjerumus ke lembah maksiat seperti yang menjadi GRO dan pelacur.
Bawalah mereka ke jalan yang sebenar dan bimbing mereka dengan mengadakan aktiviti yang lebih suci lagi.
Saya melihat SIS lebih kepada menegakkan persamaan gender daripada perundangan Islam sebenarnya.
Malah mereka juga menjurus kepada melahirkan kenyataan yang menjurus kepada membenci kaum Adam dan seolah-olah semua yang berlaku kepincangan dalam kehidupan kaum Hawa adalah disebabkan oleh perilaku kaum Adam semata-mata.
Apakah sentimen kebencian kepada kaum Adam yang sudah ada di hati pemimpin SIS akibat sejarah silam membuatkan mereka menuntut dan menyarankan kesaksamaan dan keadilan kaum Hawa dengan mengenepikan perundangan syarie dan memperlekehkan mahkamah syariah?
– ZIKRI AZIQ YUSOF,
Cheras,
Kuala Lumpur.
IKLAN@UTUSAN
|