Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 23/11/2006
RM900 juta bina enam institut latihan industri

RM900 juta bina enam institut latihan industri

PUTRAJAYA 22 Nov. – Kerajaan memperuntukkan RM900 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk pembinaan enam institut latihan perindustrian di seluruh negara tahun depan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Fong Chan Onn berkata, institut tersebut yang dijangka beroperasi akhir 2008, membolehkan jumlah pengambilan pelatih ditambah kepada 40,000 orang setahun.

Beliau berkata, empat dari institut latihan itu akan dibina di Kedah, Perak, Kelantan dan Sarawak manakala dua buah lagi akan dibangunkan di Terengganu.

‘‘Kementerian telah mengenal pasti tapak bagi institut latihan baru itu dan kini, kami dalam proses mengenal pasti kontraktor yang layak untuk melaksanakan projek itu.

‘‘Oleh kerana ia adalah antara projek utama kementerian, proses pembinaan enam institut latihan baru itu akan dipantau dengan teliti supaya berjalan mengikut jadual,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di sini, hari ini.

Ketika ini Kementerian Sumber Manusia telah membina 21 buah institut latihan perindustrian yang telah beroperasi di seluruh negara.

Sementara itu, Chan Onn memberitahu, kementerian terpaksa memperuntukkan sebanyak RM200 juta untuk kerja-kerja membaik pulih peralatan latihan dan bangunan di Institut Latihan Perindustrian Prai (ILPP).

Peruntukan sebanyak itu, katanya terpaksa dibelanjakan kerana syarikat swasta yang dilantik untuk melaksanakan projek institut tersebut gagal melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

Beliau berkata, ILPP yang diswastakan pada 1990 itu merupakan satu-satunya institut latihan perindustrian di bawah Kementerian Sumber Manusia yang terlibat dalam program Dasar Penswastaan Negara.

‘‘Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah mengarahkan kami mengambil alih pengurusan institut latihan perindustrian itu.

‘‘Kami akan bermesyuarat dengan bahagian EPU pada minggu depan bagi membincangkan cara terbaik untuk mengurus dan melaksanakan kerja-kerja membaik pulih institut berkenaan,” katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN