|
ARKIB : 03/11/2006 ‘Saya tidak pernah salah guna kuasa untuk anak-anak’KUALA LUMPUR 2 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri dengan membuat tindakan yang menguntungkan anak-anaknya. ‘‘Saya tidak pernah membuat keputusan yang menyalahi dan menyalahgunakan kuasa saya dalam hal berkaitan dengan anak-anak saya,’’ ujarnya. Presiden UMNO itu berkata, tindakan ahli keluarganya, terutama anak-anak dan menantunya memiliki harta bukan merupakan satu kesalahan dan beliau tidak berhasrat mencampuri urusan mereka. Menurutnya, ahli keluarganya mempunyai hak sama seperti orang lain, bebas untuk memiliki harta. Sehubungan itu, Abdullah menegaskan, beliau tidak bercadang membuat pendedahan tentang harta yang dimiliki oleh anak-anak mahupun menantunya. ‘‘Itu (harta) adalah hak ahli keluarga saya, tak payahlah saya umumkan harta yang mereka miliki,’’ katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini. Tambahan pula, katanya, tindakan ahli keluarganya untuk memiliki harta bukanlah satu perbuatan yang salah. Perdana Menteri berkata, begitu juga dengan anak-anak dan menantunya, mereka tidak perlu mengambil tindakan mengisytiharkan harta mereka. Abdullah mengulas dakwaan Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak), Ezam Mohd Noor bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, dan Abdullah melakukan penyelewengan serta menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan anak-anak mereka.
IKLAN@UTUSAN
IKLAN@UTUSAN
BANCIAN
IKLAN@UTUSAN
IKLAN@UTUSAN
Utusan Online on Facebook
|