|
TEHERAN 2 Nov. – Seorang pelukis Maghribi semalam memenangi hadiah utama dalam pertandingan karikatur mengenai peristiwa Holocaust.
Pertandingan anjuran Iran itu telah mendapat kecaman sesetengah pihak termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan.
Abdollah Derkaoui menerima hadiah wang tunai RM43,200 (AS$12,000) bagi karikaturnya yang menggambarkan sebuah kren Israel menimbunkan blok-blok konkrit pada tembok keselamatan Israel sehingga menyebabkan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis tidak lagi kelihatan.
Gambar kem tahanan Auschwitz zaman Nazi Jerman muncul pada tembok itu.
Carlos Latuff dari Brazil dan A. Chard dari Perancis berkongsi hadiah kedua bernilai RM28,800 (AS$8,000) manakala pelukis Iran, Shahram Rezai mendapat tempat ketiga untuk menerima RM18,000 (AS$5,000).
Pertandingan itu diadakan sebagai respons terhadap karikatur Nabi Muhammad s.a.w. yang disiarkan oleh akhbar Denmark, Jyllands-Posten sehingga mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Penaja bersama pertandingan itu, akhbar Hamshahri di Teheran menyatakan, pertandingan tersebut diadakan dengan tujuan untuk menguji toleransi Barat terhadap lukisan mengenai peristiwa Holocaust di mana enam juta orang Yahudi dikatakan dibunuh oleh tentera Nazi semasa Perang Dunia Kedua.
Teheran telah beberapa kali mengumumkan rancangan untuk menganjurkan persidangan bagi mengkaji bukti saintifik yang menyokong kewujudan Holocaust.
Iran menganggap peristiwa itu telah dibesar-besarkan.
Kurator pameran, Masoud Shojai berkata, pertandingan itu akan dijadikan acara tahunan.
“Sebenarnya kami akan terus mengadakannya sehingga Israel dimusnahkan.”
– Agensi
IKLAN@UTUSAN
|