VERSI : Mobile | Akhbar Digital
31 Ogos 2014 / 5 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 19/10/2006

Mazlan Hamzah kurang selesa cerita kisah peribadi


MAZLAN Hamzah bermain keyboard (kiri) bersama Mazuin (bermain drum) dan kakak-kakak mereka ketika menganggotai kumpulan Quinary M.


PENULIS hanya pernah mendengar namanya dan lagu-lagu ciptaannya sahaja. Itupun kerana dia merupakan abang kepada bekas penyanyi popular tahun 80-an yang juga penyanyi utama kumpulan Quinary M, Mazuin Hamzah.

Meskipun namanya tidak sepopular komposer yang sebaris dengannya di zaman itu, namun hasil kerjanya boleh dikatakan cukup hebat.

Malah sentuhan setiap lagu-lagunya berbeza dan mempunyai identiti tersendiri. Lagu-lagunya pernah dinyanyikan oleh sebahagian penyanyi terkenal seperti Aman Shah, Sheila Majid, Anita Sarawak, Fairuz Hussein, Allahyarham Seha, Feminin, Amy Mastura dan terkini, Dayang Nurfaizah.

Siapa sangka, pertemuan dengan penyanyi, komposer dan bekas pemain keyboard kumpulan Quinary M baru-baru ini, merungkai segala persoalan di hati penulis ke manakah dia menghilang dan menyepikan diri selama ini.

Bukan itu sahaja, pengetahuannya yang meluas dalam bidang muzik juga membuatkan penulis percaya bahawa dirinya bukan calang-calang artis. Dengan imej ala penyanyi reggae, rupanya Mazlan Hamzah senang untuk didekati dan ramah orangnya.

Membuka bicara tentang penglibatannya dalam bidang muzik, Mazlan Hamzah memberitahu semuanya bermula ketika dia bersama adiknya, Mazuin menyertai sebuah rancangan televisyen terbitan RTM pada tahun 1974.

“Ketika itu saya berumur 12 tahun, manakala adik saya pula berumur lapan tahun. Rancangan yang kami sertai itu merupakan sebuah rancangan bakat kanak-kanak kendalian Allahyarham Jamal Mohamad (Kerdil),” ceritanya yang bermain gitar dalam rancangan tersebut manakala adiknya pula menyanyi.

Kemudian, katanya, setahun selepas itu, mereka sekeluarga berpindah ke Moscow, Rusia kerana mengikut bapanya yang bertugas sebagai seorang diplomat ketika itu. Tambahnya, segalanya berubah ketika di Moscow dan perjalanan seninya pun bermula.

“Kami berada di Moscow selama tiga tahun. Arwah ayah kami, Hamzah Ramli yang memberikan galakan dan sokongan terhadap kami untuk meneruskan kegiatan seni kami. Itupun kerana dia melihat kami adik-beradik berbakat dalam bidang muzik dan bermula detik itu kami menubuhkan The M kerana pangkal nama kami yang bermula dengan huruf M,” jelasnya.

Apa yang membanggakan, ketika itu mereka sudah berpeluang mengadakan persembahan di stesen televisyen Moscow atas usaha ayah mereka.

Tiga tahun selepas itu, mereka berpindah semula ke Malaysia dan seterusnya, kerjaya seni mula berkembang selepas memenangi tempat keempat dalam pertandingan Bakat ‘78 terbitan RTM. Seiring itu, nama kumpulan mereka juga ditukar menjadi Quinary M.

“Quinary M diambil dari bahasa muzik yang membawa maksud lima. Kumpulan kami juga yang pertama seumpamanya di Malaysia yang menampilkan kesemua anggotanya adalah adik-beradik. Penyertaan kami dalam Bakat ‘78 rupanya mendapat perhatian dan seterusnya kami ditawarkan merakamkan album,” sambung Mazlan lagi.

Quinary M dianggotai oleh Mahani yang bermain percussion, Mahayon (bass), Maznah (gitar), Mazlan (keyboard) dan Mazuin (drum dan vokal). Mereka mula merakamkan album pertama pada tahun 1979 yang diberi judul Cinta Palsu dan sempat merakamkan dua buah album lagi iaitu Kasihku Bagaikan Debu pada tahun 1980 dan Kini Kau Berubah (1981).

“Kemudian, kami membubarkan kumpulan itu kerana pemergian ayah kami ke Rahmatullah pada 1981. Lagipun, kakak-kakak saya mahu menumpukan perhatian kepada kerjaya mereka sebagai guru. Sejak itu, saya pun bergerak secara solo,” jelas anak kelahiran Ipoh, Perak ini.

Dia mula merakamkan album solonya yang pertama berjudul Aku dan Diriku pada tahun 1984. Album keduanya, Refleksi pula menyusul tiga tahun kemudian. Mengapa dia mahu jadi penyanyi sedangkan dia hanya bermain keyboard sewaktu bersama kumpulannya dulu?

“Dalam muzik, kita mesti berani mencuba cabang-cabang yang ada. Jadi, saya rasa dengan menjadi penyanyi, ia dapat menguji diri saya selain bermain muzik dan mencipta lagu,” jelasnya yang pernah mengikuti kursus muzik ketika di Moscow.

Lagu Aku Cinta Padamu ciptaan komposer hebat Indonesia, Odie Agam nyanyian Sheila Majid berjaya melonjakkan nama penyanyi wanita itu tetapi tahukah anda bahawa penyanyi asal lagu itu sebenarnya adalah Mazlan Hamzah yang merakamkannya pada tahun 1987?

“Saya sedar dan tahu ramai yang menyangka Sheila Majid merupakan penyanyi asal lagu itu. Tidak timbul pun rasa terkilan bila orang berfikiran sebegitu. Apa pun, saya yakin orang akan tetap tahu bahawa saya adalah penyanyi asalnya.

“Sheila amat sukakan lagu itu dan saya kagum dengannya kerana berjaya membawakan lagu itu dengan cara yang tersendiri,” jelasnya yang gemar mencipta lagu untuk penyanyi wanita berbanding lelaki.

Seperti tahu apa yang bersarang di hati penulis yang mahu mencungkil rahsia tentang perihal terkini adiknya, Mazlan dengan segera memberitahu dia lebih selesa berbicara tentang kerjaya, berbanding kisah peribadinya dan keluarganya.

“Saya tahu anda pasti akan bertanyakan soalan itu. Apa yang boleh saya katakan, Mazuin kini berada dalam keadaan sihat dan selamat. Dia tidak berada di ibu negara seperti yang dikhabarkan tetapi sebaliknya kini menetap di luar negara. Kami juga sering berhubung,” jawabnya tersenyum bagai beri petanda kisah Mazuin harus dinoktahkan.

Kisah peribadinya juga enggan diulas lanjut. Apa yang boleh diberitahunya ialah dia telah mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita Filipina pada tahun 1989 dan mereka hanya dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia tujuh tahun.

“Saya juga tidak menghilangkan diri. Cuma saya suka mengambil sikap low profile. Saya juga melakukan perniagaan sendiri di samping mencipta lagu-lagu baru,” ujarnya.

Dia masih mahu menerbitkan album tetapi baginya biarlah masa yang menentukan bilakah akan menjadi kenyataan.

“Bagi saya, untuk membuat album bukan satu kerja yang mudah. Saya amat mementingkan kualiti. Biarlah hanya muncul sebuah album dalam lima tahun, yang penting kualiti dan kekal lama. Begitu juga dengan penciptaan lagu. Lagu yang simple dan sedap, akan tahan lama dan dapat diterima.

“Saya juga bersikap terbuka kepada mana-mana artis yang mahu menyanyikan lagu-lagu ciptaan saya. Saya senang untuk bekerjasama dan teringin berkolaborasi dengan komposer muda juga,” ujarnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:25
Maghrib 7:21
Isyak 8:31


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.