|
LONDON 16 Okt. – Para pensyarah dan kakitangan universiti-universiti di Britain akan diminta mengintip para pelajar Islam dan “wajah Asia” yang mereka syaki menyokong tindakan kumpulan pengganas dan terbabit dalam kegiatan pelampau.
Akhbar The Guardian yang memetik satu dokumen yang dirangka oleh Kementerian Pelajaran Britain melaporkan, pihak universiti di negara ini telah diberi amaran mengenai kemungkinan pencarian pengikut dan melatih pelajar di kampus sebagai pengganas dan pelampau.
Dokumen 18 muka surat yang turut memaklumkan “keprihatinan terhadap polis menyasarkan kumpulan pelajar tertentu (pelajar Islam)” telah dihantar kepada badan-badan rasmi tertentu bulan lalu untuk tujuan perundingan.
Ia mendakwa, pelajar Islam yang mempunyai latar belakang “terasing” berkemungkinan besar menyokong pengganas berbanding rakan-rakan sebaya yang “bergaul secara meluas dalam masyarakat.”
The Guardian juga melaporkan, dokumen tersebut menggalakkan semua universiti bersikap proaktif dengan melaporkan para pelajar kepada cawangan khas polis tempatan yang menguruskan keselamatan negara.
Laporan itu mencadangkan universiti-universiti membuat pemeriksaan terhadap penceramah luar yang dijemput menyampaikan syarahan kepada pelajar Islam.
Bagaimanapun para pelajar menentang usaha itu apabila Presiden Kesatuan Pelajar Kebangsaan, Gemma Tumetly berkata: “Mereka mahu mengancam semua orang Islam yang disyaki hanya disebabkan oleh kepercayaan. Ia merupakan amalan ‘McCarthyism’ iaitu tindakan memburu suspek oleh anggota Kongres Amerika Syarikat pada era komunis.”
– AFP
IKLAN@UTUSAN
|