|
BUKIT MERTAJAM 16 Okt. – Gejala samseng di kalangan mat rempit semakin menjadi-jadi.
Terbaru, sekumpulan mat rempit bertindak mengejar dan membaling batu ke arah polis kerana membawa dua rakan mereka yang ditahan ketika berlumba di atas jejantas Lebuh Raya Butterworth-Kulim Expressway (BKE) awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, dua anggota polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima aduan mengenai sekumpulan lelaki sedang berlumba.
Terkejut dengan ketibaan polis, kumpulan mat rempit berkenaan cuba melarikan diri, namun dua daripada mereka yang menaiki sebuah motosikal terlanggar motosikal polis lalu terjatuh.
Pemangku Ketua Polis Seberang Perai Tengah (SPT), Supritendan Zainal Abidin Nin berkata, kira-kira 20 mat rempit kemudian mengejar dua anggota polis berkenaan yang dalam perjalanan membawa dua rakan mereka itu ke Balai Polis Kubang Semang, dekat sini.
Katanya, menyedari tindakan agresif kumpulan terbabit, dua anggota polis berkenaan memasuki perkarangan sebuah masjid berhampiran sementara meminta bantuan.
“Kumpulan mat rempit yang menunggu di luar perkarangan masjid itu bagaimanapun lari lintang pukang apabila sekumpulan 10 anggota polis diketuai seorang pegawai tiba di tempat kejadian untuk memberi bantuan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, kerana masih tidak berpuas hati, mat-mat rempit terbabit sekali lagi mengekori polis hingga ke balai polis dan sempat membaling batu beberapa kali ke arah bangunan balai sambil melaungkan rasa tidak puas hati sebelum melarikan diri.
“Kita memandang serius perkara ini kerana kumpulan (mat rempit) berkenaan bertindak sesuatu yang boleh membahayakan nyawa anggota polis,” tegasnya.
Zainal Abidin berkata, pihaknya akan menyoal siasat kedua-dua lelaki terbabit bagi mencari saki-baki kumpulan mat rempit berkenaan.
Katanya, maklumat awal polis mendapati, kedua-dua lelaki tersebut adalah pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam dekat sini.
Menurut Zainal Abidin, kedua-dua lelaki itu disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan membahayakan.
IKLAN@UTUSAN
|