VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KESIHATAN

ARKIB : 01/10/2006

Pertolongan cemas: Lecur & terbakar

BELUM apa-apa, dah pun meletup. Itulah yang terjadi kepada adik Mohd. Sidiq Ahmad, 13, dari Kampung Lebai Samad, Naka, Alor Star, Kedah.

Malang tidak berbau apabila tin berisi karbaid yang ditanam di dalam sebuah lubang untuk dijadikannya mercun, tiba-tiba sahaja meletup. Akibatnya, dia mengalami kesan melecur teruk pada muka dan tangan kirinya.

Dalam keadaan begitu, pertolongan cemas menjadi aspek penting yang mungkin dapat membantu memulihkan keadaan mangsa atau dapat meredakan kesakitan yang dialami mangsa.

Malah, bantuan kecemasan yang dilakukan dengan betul boleh menyelamatkan nyawa seseorang - antara hidup dengan mati - terutamanya jika mangsa mengalami pendarahan teruk, tidak boleh bernafas atau keracunan.

Cuma tiga, empat minit sahaja masa yang diambil sebelum saluran pernafasan tersumbat membunuh seseorang tetapi untuk membawa mangsa ke klinik atau hospital berhampiran ataupun menunggu ketibaan ambulans memerlukan masa yang jauh lebih lama.

Walau bagaimanapun, pertolongan cemas tidak boleh menggantikan penjagaan perubatan sebenar. Ia merujuk kepada tindakan awal atau pertama yang dilakukan dalam keadaan kecederaan perubatan sebelum campur tangan doktor atau paramedik ataupun sebelum dihantar ke klinik atau hospital berhampiran.

Dalam kes Mohd. Sidiq, mujurlah dia tidak mudah panik - satu lagi aspek paling penting dalam berhadapan dengan kes-kes kecemasan seumpamanya. Paling penting, orang yang memberikan bantuan itu sendiri perlu bertenang agar tidak merunsingkan mangsa.

Dalam kepanasan api yang menyambar muka dan tangannya itu, dia terus berlari pulang ke rumahnya sambil menjerit kepanasan. Luka terbakar di muka, tangan, kaki dan alat sulit adalah paling serius kerana ia boleh menyebabkan fungsinya hilang.

Memetik kenyataan Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan, anda perlu menentukan sejauh mana keterukan luka terbakar yang dialami oleh mangsa sebelum memberi sebarang pertolongan cemas.

“Di samping itu, cuba pastikan peringkat kecederaan yang berlaku di bahagian luka terbakar yang paling serius. Kemudian berikan rawatan yang sewajarnya.

“Mengetahui punca sesuatu luka terbakar itu adalah penting kerana punca berbeza akan memberikan kesan yang berbeza.’’

Jika anda masih ragu-ragu, rawatlah ia sebagai luka terbakar yang teruk. Jika luka terbakar itu tidak sembuh seperti kebiasaan, dapatkan nasihat doktor.

Untuk luka terbakar yang lebih menyeluruh tetapi melibatkan permukaan kulit sahaja, pastikan pembalutnya sentiasa kering dan bersih. Tukarkan dengan pembalut yang baru jika perlu. Dapatkan rawatan dengan segera jika berlakunya jangkitan.

Mangsa yang berumur bawah 4 tahun atau lebih 60 tahun berisiko tinggi menghadapi komplikasi. Sehubungan itu, golongan ini juga mempunyai kadar kematian yang tinggi.

Apa itu luka terbakar dan melecur?

Luka terbakar adalah kecederaan tisu yang berpunca dari pendedahan kepada haba, bahan kimia, arus elektrik atau agen radioaktif terlalu lama.

Sementara itu, melecur merupakan kecederaan yang disebabkan oleh wap yang panas seperti wap air dan juga bahan-bahan yang meruap.

Klasifikasi

- Luka terbakar peringkat pertama melibatkan lapisan luar kulit, menyebabkan kesakitan, kemerahan dan bengkak.

- Luka terbakar peringkat kedua memberikan kesan terhadap kedua-dua lapisan luar dan lapisan di bawah kulit, menyebabkan kesakitan, kemerahan, bengkak dan lepuh.

- Luka terbakar peringkat ketiga melibatkan tisu yang lebih dalam; menyebabkan kulit menjadi coklat atau kehitaman dan mungkin terasa kebas.

Penyebab

Luka terbakar ini disebabkan oleh:

- Haba kering seperti api dan haba dari elektrik.

- Bahan kimia seperti keracunan sianida dari kebakaran wol, sutera, nilon yang terdapat pada kerusi meja dan kertas.

- Sinaran atau radiasi termasuk cahaya matahari yang berlebihan.

- Kecederaan penyedutan yang dikaitkan dengan luka terbakar fasial dan penyedutan wasap toksik.

- Keracunan karbon monoksida apabila terdapatnya pendedahan kepada pembakaran.

Melecur pula disebabkan oleh:

- Haba panas seperti wap air.

- Bahan meruap yang panas.

Gejala

Gejala luka terbakar berbeza-beza mengikut keterukan kecederaan yang dialami.

Lazimnya luka terbakar tahap pertama menunjukkan kemerahan, kesakitan dan bengkak pada tempat yang tercedera.

Luka terbakar tahap kedua biasanya menunjukkan kemerahan dengan kulit yang melepuh, melecet dan juga mengelupas serta, kesakitan yang amat sangat.

Luka terbakar tahap ketiga akan menunjukkan gejala seperti kulit kelihatan putih, merah, perang dan kadang-kadang hitam; cecair badan meleleh keluar dari sesetengah tempat dan, bengkak yang serius. Tiada kesakitan disebabkan kebas yang dialami.

Pertolongan cemas

Luka terbakar yang ringan

Jika kulit tidak terkoyak, lalukan aliran air sejuk ke seluruh bahagian yang terbakar atau rendamkannya di dalam air sejuk (bukan air ais). Pastikan tempat luka direndam selama 5 minit.

Walau bagaimanapun, jika luka terbakar berlaku di persekitaran yang sejuk, jangan gunakan air. Gunakan tuala yang bersih, basah dan sejuk untuk mengurangkan kesakitan.

Tenangkan mangsa. Beri keyakinan padanya. Luka terbakar boleh menjadi teramat sakit.

Selepas melalukan air atau merendam luka tersebut untuk beberapa minit, tutup luka dengan pembalut yang steril atau kain yang bersih.

Lindungi luka daripada tekanan dan geseran.

Ambil ubat penghilang kesakitan yang boleh dibeli dari mana-mana kedai farmasi untuk meredakan kesakitan, keradangan atau bengkak.

Luka yang ringan biasanya akan sembuh tanpa memerlukan rawatan lanjut. Walau bagaimanapun, bagi luka terbakar peringkat kedua yang melibatkan keluasan kulit berjejari (diameter) 2 hingga 3 inci, atau ia berlaku pada tangan, kaki, muka, celah kelangkang, punggung atau sendi utama, rawatkannya sebagai luka terbakar yang teruk.

Luka terbakar yang teruk

Jika seseorang itu sedang terbakar, jiruskan mangsa dengan air (jika terdapat air), selimutkan mangsa dengan kain yang tebal dan tidak terbakar seperti kot bulu atau kapas, hambal (tikar tebal) atau gebar/selimut untuk memadamkan api atau baringkan mangsa dan gulingkannya di atas tanah.

Jika pakaian anda terbakar lakukan teknik berhenti, baring dan berguling. Jangan menanggalkan pakaian yang terbakar (kecuali ia mudah ditanggalkan), tetapi pastikan mangsa tidak bersentuh dengan bahan-bahan yang membara.

Pastikan mangsa masih bernafas. Jika pernafasan terhenti atau saluran udaranya tersekat, buka laluan udara. Jika perlu berikan bantuan pernafasan dan CPR.

Jika penafasan tidak menimbulkan masalah, tutup kawasan luka dengan pembalut yang sejuk, lembap dan steril atau kain yang bersih (jangan menggunakan tuala atau selimut; selapisan kain nipis telah memadai jika kawasan terbakar adalah luas).

Jangan sapu sebarang minyak atau salap. Jangan pecahkan lepuh pada luka tersebut.

Jika jari kaki atau tangan terbakar, balutkan jari-jemari berasingan dengan pembalut yang tidak melekat, kering dan steril.

Angkat sedikit atau tinggikan bahagian yang terbakar dan elakkan daripada tekanan dan geseran.

Ambil langkah-langkah untuk mencegah renjatan. Baringkan mangsa di atas permukaan atau lantai yang rata. Angkatkan kaki setinggi lebih kurang 12 inci dan tutup mangsa dengan kot atau selimut.

Jangan letakkan mangsa pada kedudukan ini jika kepala, leher, belakang atau kakinya disyaki tercedera atau jika ia boleh menyebabkan mangsa berasa tidak selesa.

Teruskan memantau/mengawasi tanda-tanda penting keadaan mangsa (nadi, kadar pernafasan, tekanan darah) sehingga bantuan perubatan tiba.

Elakkan perkara berikut:

- Jangan menyapu salap, mentega, ais, ubat, krim, sebarang ubat tradisional atau buatan sendiri ke atas luka terbakar, menyembur minyak atau membalut luka terbakar dengan pembalut kapas yang gebu atau pembalut yang melekat. Ia akan mengganggu proses penyembuhannya.

- Jangan biarkan luka dijangkiti. Elakkan bernafas atau batuk ke atas luka.

- Jangan mengganggu kulit yang melepuh atau membuang keruping.

- Jangan memberi makanan atau sebarang benda melalui mulut jika mulut mangsa terbakar teruk.

- Jangan menggunakan tuam sejuk dan jangan merendam luka terbakar yang teruk dalam air sejuk.

- Jangan meletakkan bantal di bawah kepala mangsa jika terdapat luka terbakar pada saluran udara (saluran pernafasan) dan mangsa sedang berbaring. Ini boleh menutup saluran udara.

Segeralah berjumpa doktor jika

- Luka terbakar besar atau teruk.

- Terdapat luka terbakar yang berpunca dari renjatan elektrik atau bahan kimia atau anda tidak pasti mengenai tahap keterukan luka yang dialami.

- Mangsa menunjukkan tanda-tanda renjatan.

Prognosis

Kesan luka terbakar dan melecur bergantung pada keterukan kecederaan yang berlaku. Luka terbakar dan melecur yang ringan tidak mempunyai kesan jangka panjang yang teruk kerana ia boleh sembuh dengan mudah.

Bagi kecederaan yang lebih teruk, mangsa mungkin memerlukan sedikit masa untuk pulih. Pengalaman mendapat kecederaan luka terbakar ataupun melecur yang teruk boleh menjadi satu pengalaman pahit dan menakutkan bagi sesetengah mangsa.

Jadi, masa yang lama mungkin diperlukan untuk memulihkan emosi mangsa seperti sedia kala.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.