|
KUALA LUMPUR 23 Sept. – Penyelidikan untuk menyediakan teh tarik dan roti canai bagi angkasawan negara akan diteruskan meskipun sesetengah pihak menganggapnya tidak masuk akal.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Angkasawan Negara, Tun Haniff Omar berkata, tidak ada masalah menyediakan teh tarik dan roti canai yang boleh diolah dalam bentuk lain, sesuai dengan keadaan di angkasa lepas.
Beliau berkata, setiap program penghantaran angkasawan akan mendapati liputan meluas dan kesempatan perlu digunakan untuk menonjolkan keistimewaan makanan negara ini.
“Saya tidak nampak perkara ini tidak boleh dilaksanakan, kita berusaha teruskan penyelidikan untuk menjayakan cadangan ini,’’ katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan cek bantuan perubatan berjumlah RM50,300 bagi membiayai pembedahan tiga pesakit jantung berlubang serta seorang yang memerlukan bantuan kaki palsu di sini hari ini.
Sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada tabung bantuan yang dikendalikan oleh Kumpulan New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) dengan kerjasama Persatuan Bekas Pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCOBA).
Beliau sebelum itu diminta mengulas cadangan Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Datuk Dr. Mazlan Othman supaya angkasawan negara dibekalkan teh tarik dan roti canai.
Mereka juga dicadang membawa sambal belacan dan batik semasa menyertai misi angkasa lepas bersama Agensi Angkasa Lepas Rusia (RSA) ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 2 September 2007.
Angkasawan Itali membawa piza semasa di angkasa, angkasawan Perancis bersama keju dan terbaru angkasawan Jepun membawa mi sup negara itu yang dinamakan ramen.
Dalam pada itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sedang menjalankan kajian terhadap dua jenis makanan itu membabitkan keadaan mikro graviti.
Haniff berkata, program angkasawan tersebut tidak hanya membabitkan penyelidikan makanan sahaja malah perubatan dan lain-lain.
‘‘Penyelidikan dan kajian lain dalam bidang tertentu akan ditumpukan sepanjang misi ini yang mana kita harap hasilnya dapat dimanfaatkan rakyat negara ini,’’ ujarnya.
IKLAN@UTUSAN
|