|
SUNGGUH tercabar mendengar seruan Ruzaidi Abd Rahman di kaca TV mengajak ahli seni bela diri tampil menonjolkan bakat dalam pertandingan Ultimate Warrior anjuran Kementerian Belia dan Sukan di Dataran Merdeka pada 15-17 September 2006.
Peserta-peserta dari seluruh negara datang penuh semangat kerana ini pertama kali pertandingan seumpama diadakan. Kita juga mahu melihat silat, kungfu, karate, silambam, taekwondo dan lain-lain beradu tenaga, kemahiran dan nasib bagi menentukan siapa yang terbaik.
Sayang seribu kali sayang, masa pendaftaran yang telah dihebahkan dalam akhbar (7 - 9 malam) telah diawalkan kepada 5 petang hingga 7 malam. Ramai yang datang pada 7 malam berasa tertipu.
Pihak bertugas memberikan alasan bahawa tidak logik pendaftaran dimulakan pada pukul 7 malam kerana peserta ramai. Yang menjadi kemusykilan, mengapa perubahan waktu pendaftaran tidak dibuat menerusi radio, televisyen atau Internet?
Kita sedang melalui satu zaman di mana teknologi untuk menyampaikan maklumat adalah begitu mudah.
Salah satu penganjur Ultimate Warrior ialah DiGi, sebuah syarikat telekomunikasi yang seharusnya lebih arif dan tahu tentang penyebaran maklumat secara pantas dan efektif.
Saya percaya sebilangan mereka yang gagal mendaftar itu datang dari jauh dan telah berlatih bersungguh-sungguh untuk pertandingan ini.
– PEJUANG HAMPA,
Kuala Lumpur.
IKLAN@UTUSAN
|