|
PETALING JAYA 13 Sept. – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kecewa dengan sikap rakyat Malaysia yang kebanyakannya kurang membaca.
Beliau berkata, berdasarkan satu kaji selidik yang dijalankan pada tahun lalu, secara purata rakyat negara ini hanya membaca dua buku setahun.
‘‘Ini sesuatu yang menyedihkan dan ia berlaku di kalangan rakyat negara kita. Sekalipun mereka membaca, bahan bacaannya amat ringan seperti majalah dan surat khabar dan bukannya yang membicarakan isu-isu yang berat.
‘‘Buku hanya berada pada kedudukan yang ketiga dalam konteks menjadi bahan bacaan atau rujukan oleh masyarakat di negara kita,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Kumpulan MPH sempena sambutan ulang tahun syarikat itu yang ke-100 di sini, malam ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MPH, Datuk Ng Tieh Chuan.
Kumpulan MPH merupakan sebuah syarikat yang dimiliki oleh tokoh korporat terkenal, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang merupakan antara pengedar buku utama di negara ini.
Pada majlis itu, MPH turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR), sebagai gedung buku tertua di negara ini dan sijil pengiktirafan disampaikan oleh Pengarah Urusan MBOR, Datuk Danny Ooi.
Najib berkata, kerajaan amat komited untuk membudayakan amalan membaca di kalangan masyarakat dan untuk itu satu peruntukan besar telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Katanya, dalam RMK-9, kerajaan telah memperuntukkan RM50 juta untuk menggerakkan usaha membaca melalui beberapa program yang telah disusun oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
‘‘Kita sedar situasi tersebut. Atas kesedaran inilah kerajaan telah memperuntukkan sejumlah wang yang besar dengan harapan rakyat Malaysia menjadi membaca sebagai satu amalan.
‘‘Usaha ini akan bertambah mudah jika ia melibatkan semua pihak khususnya di kalangan syarikat korporat seperti MPH,’’ tambahnya.
IKLAN@UTUSAN
|